A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Jom Jaga Suara!

Suara terhasil daripada getaran peti suara apabila udara dari paru-paru melalui peti suara yang terbuka dan tertutup.

Definisi suara

Suara terhasil daripada getaran peti suara apabila udara dari paru-paru melalui peti suara yang terbuka dan tertutup.

Kepentingan suara

Suara sangat berharga bagi setiap individu. Kita menggunakan suara untuk:

  • Bercakap

  • Bekerja. Contoh: guru, penyanyi, pelakon, peguam, jurujual

Bagaimana masalah suara boleh terjadi?

Peti suara terdiri daripada lapisan tisu yang sangat nipis. Lapisan tisu peti suara ini boleh cedera, mengalami keradangan atau kurang selesa akibat daripada faktor-faktor berikut:

  • Keadaan kesihatan: jangkitan kuman, alahan, kanser, ketidakseimbangan hormon dan kesan ubat

  • Keadaan persekitaran: tempat tinggal/kerja yang bising, berhabuk, kering atau terdedah kepada bahan kimia

  • Tingkahlaku penyalahgunaan suara seperti menjerit dengan kuat, bercakap yang berlebihan dan bercakap dengan kuat.

Kesan masalah suara yang berpanjangan

Masalah suara selalunya disedari oleh penutur sendiri, ahli keluarga atau  rakan-rakan yang rapat. Masalah suara yang berpanjangan akan memberi kesan kepada:

  • Interaksi sosial. Pesakit mengelak daripada bercakap dengan orang lain. Pesakit bimbang percakapan mereka kurang difahami.

  • Prestasi kerja. Bayangkan seorang guru menghadapi kesusahan untuk mengajar sekiranya kehilangan suara. Mereka mungkin tidak dapat mengajar. Ini menyebabkan prestasi kerja menurun.

Oleh itu, penjagaan dan penggunaan suara amat penting bagi mengekalkan suara yang sihat.

Tip-tip penjagaan suara

Tip-tip penjagaan suara adalah seperti berikut:

  1. Kesihatan

  • Amalkan cara hidup sihat. Lakukan senaman, amalkan diet yang sihat, rehat yang secukupnya serta urus/ kawal emosi atau tekanan dengan bijak.

  • Berhenti merokok. Merokok boleh menyebabkan risiko  mendapat kanser paru-paru dan kanser tekak. Keradangan dan ‘polyps’ (benjolan kecil) pada lapisan peti suara juga boleh berlaku. Ini akan menyebabkan suara menjadi serak, kasar dan lemah.

  • Bagi sesiapa yang mengalami tanda-tanda pedih ulu hati, anda perlu:

    • Jumpa doktor untuk mendapat nasihat tentang ubat

    • Makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap.

    • Elak makan tiga jam sebelum tidur.

    • Duduk, berdiri atau berjalan selepas makan.

    • Elak dari makan makanan yang pedas, masam, berlemak serta minuman yang mengandungi kafein, alkohol dan berkarbonat.

    • Elak daripada memakai pakaian yang ketat di  bahagian pinggang.

  1. Pemakanan

  • Minum air masak sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas setiap hari. Ini dapat memberikan kelembapan dan melincirkan peti suara. Minum air masak dengan kuantiti banyak jika keadaan persekitaran tempat tinggal dan tempat kerja adalah kering atau berhabuk.

  • Elakkan minum air yang mengandungi kafein (seperti teh, kopi dan nescafe), alkohol dan minuman berkarbonat. Ini kerana pengambilan minuman-minuman ini boleh menyebabkan peti suara kering.

  1. Penggunaan suara

  • Rehatkan suara. Kurangkan bercakap dalam satu jangka masa.  Kurangkan bercakap semasa selesema, batuk, sakit tekak dan demam.

  • Elakkan daripada menjerit atau bercakap dengan kuat. Berhenti bercakap dan berehat seketika apabila tekak terasa kering atau penat.

  • Elakkan daripada berbisik. Berbisik akan menyebabkan ketegangan pada peti suara. Maka, perlahankan suara sahaja semasa bercakap.

  • Kurangkan berdehem (throat clearing) dan batuk dengan kuat. Berdehem atau batuk yang berlebihan akan menyebabkan kecederaan pada peti suara. Minum air atau menelan air liur untuk mengurangkan kekerapan berdehem atau batuk.

  • Gunakan pernafasan dan postur/kedudukan badan yang betul semasa bercakap. Aliran pernafasan yang baik boleh membantu penghasilan suara dengan lebih baik. Penghasilan suara yang baik adalah semasa menghembus nafas dan bukan semasa menarik nafas.

  • Gunakan mikrofon apabila bercakap di hadapan kumpulan orang yang ramai atau membuat pembentangan. Penggunaan mikrofon dapat membantu mengurangkan ketegangan pada peti suara anda.

Rujukan

  1. Fact Sheet: About Your Voice. Diperolehi 5 September 2012 dari http://www.entnet.org/HealthInformation/aboutVoice.cfm.

  2. Fact Sheet: Keeping your voice healthy. Diperolehi 5 September 2012 dari http://www.entnet.org/HealthInformation/Keeping-Your-Voice-Healthy.cfm.

  3. Fact Sheet: Tips for healthy voices. Diperolehi 5 September 2012 dari http://www.entnet.org/HealthInformation/Tips-for-Healthy-Voices.cfm.

  4. Duke Voice Care Centre: Vocal Health Information. Diperolehi 5 September 2012 dari http://www.dukehealth.org/repository/dukehealth/2010/12/22/13/57/10/0598/DVCC%20vocal%20health.pdf.

  5. Gallena S.K. 2007. Voice and Laryngeal Disorders A Problem-Based Clinical Guide with Voice Samples. Mosby Inc.

  6. Rammage L. Morrison M., Nichol H. et al. 2001. Management of the voice and its disorder. Edisi ke-2. Vancouver, Canada, Singular.

Rujukan Gambar

  1. Staff, H. (2012). Normal Vocal Cords. Retrieved July 4, 2013, from https://myhealth.alberta.ca/

  2. Tripod (2013). Electronic Cigarette- 15% off Coupon – E- Cigarettes. Retrieved July 4, 2013 from http://electroniccigarettes.tripod.com/

Rujukan video

  1. Normal vocal cords. http://www.youtube.com/watch?v=bCKb1I_jjS4

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nurbaiti bt. Mohamad Ali
Akreditor : Raphidah bt. Rusly
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

Artikel Berkaitan

Lemah Jantung

Lemah jantung adalah satu keadaan yang kompleks. Ia disebabkan oleh penyakit yang boleh mempengaruhi keupayaan jantung untuk mengepam darah yang secukupnya untuk memenuhi keperluan badan. Kadar kejadian meningkat dengan peningkatan umur.

Kembali Bekerja selepas Kecederaan

Pemulihan Perubatan (Carakerja) akan menilai keupayaan fizikal klien menggunakan alat-alat khusus dan menyeluruh. Ini termasuk penilaian julat pergerakan badan, toleransi semasa duduk yang statik, sensasi tangan dan ketangkasan tangan, kekuatan mengangkat dan menolak, ketahanan fizikal, emosi dan fungsi kognitif.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,119

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia