Apa Itu Juling?
Juling adalah keadaan dimana kedua-dua mata tidak berada dalam keadaan selari/sejajar apabila melihat ke arah sesuatu objek.
pautan : mata juling
Apa Itu Juling Bergilir-Gilir?
Juling bergilir-gilir merujuk kepada keadaan dimana pesakit mempunyai mata juling secara bergilir-gilir antara mata kanan dan mata kiri. Satu mata digunakan untuk melihat objek pada sesuatu masa dan kemudiannya mata yang satu lagi digunakan pada masa yang lain.
Contohnya, jika mata kanan pesakit memandang anda, maka mata kiri pesakit akan juling (melihat ke arah lain). Pada pesakit yang sama, jika mata kirinya memandang anda, mata kanannya pula yang juling.
Juling bergilir-gilir boleh terdapat dalam keadaan berikut :
- Juling ke luar bergilir-gilir (alternating exotropia)
- Juling ke dalam bergilir-gilir (alternating esotropia); atau
- Juling ke atas dan ke bawah (alternating vertical squint) bergilir-gilir. Contohnya pesakit mempunyai juling ke atas (hypertropia) di mata kanan kemudian bertukar menjadi juling ke bawah (hypotropia) di mata kirinya pula secara bergilir-gilir.
Gambar 1 : Mata juling ke luar bergilir-gilir
Gambar 2 : Juling ke dalam bergilir-gilir
Juling bergilir-gilir boleh berlaku untuk semua peringkat umur.
Punca Atau Faktor Penyebab
- Rabun dekat (Hiperopia), rabun jauh (miopia), atau tahap rabun yang berbeza antara kedua mata (anisometropia) yang tidak dibetulkan dengan cermin mata.
- Faktor keturunan (hereditary). Risiko untuk berlakunya mata juling adalah lebih tinggi sekiranya terdapat ahli keluarga yang mempunyai masalah mata juling.
Tanda Dan Gejala?
Pesakit yang ada juling bergilir-gilir tidak dapat menggunakan kedua-dua mata untuk melihat secara serentak. Akibatnya pesakit tidak mempunyai penglihatan tiga dimensi (3D) dan mungkin mempunyai masalah untuk menganggarkan jarak.
Tahap penglihatan di kedua-dua belah mata selalunya adalah setara kerana kedua – dua mata mendapat stimulasi. Oleh itu risiko untuk mendapat mata malas akibat juling adalah pada tahap minima. (hyperlink mata malas ke portal myhealth – mata malas)
Rawatan
-
Pesakit juling bergilir-gilir yang mempunyai rabun mata perlu memakai cermin mata atau kanta sentuh untuk membetulkan sebarang rabun mata. Ini adalah penting supaya pesakit dapat melihat dengan jelas. (hyperlink ke http://myhealth.moh.gov.my/v2/index.php/my/rabun-mata)
-
Terapi untuk mata malas perlu diberi sekiranya kanak-kanak yang mempunyai juling bergilir-gilir juga mempunyai masalah mata malas. (hyperlink ke portal myhealth – mata malas)
-
Pembedahan boleh membetulkan kedudukan mata juling agar kedua-dua mata kembali selari. Pembedahan dilakukan sekiranya saiz juling adalah ketara. Walaupun pembedahan telah dilakukan, penggunaan cermin mata atau rawatan untuk mata malas perlu diteruskan.
Komplikasi
Pesakit juling bergilir-gilir mungkin akan mempunyai perasaan rendah diri akibat dari kedudukan kedua mata yang tidak sejajar/selari. Oleh itu pemeriksaan dan rawatan awal adalah amat penting.
Rujukan :
- Rajah 1 : Jabatan Oftalmologi, Hospital Kuala Lumpur
- Rajah 2 : Jabatan Oftalmologi, Hospital Kuala Lumpur
- http://myhealth.moh.gov.my/v2/index.php/my/strabismus-squint
- http://myhealth.moh.gov.my/v2/index.php/en/kids-refractive
Semakan Akhir | : | 18 April 2014 |
Penulis | : | Pn. Nor Aishah binti A. Wahab |
Akreditor | : | Pn. Che Ruhani Binti Che Jaafar |