Pengenalan
Pergerakan mata untuk memandang keluar dan ke dalam dikawal oleh 6 jenis otot pada setiap mata.
Gambar 1: Mata Kanan Juling Ke Dalam
Juling ke dalam mungkin disebabkan oleh rabun yang tidak dibetulkan, masalah otot yang mengawal pergerakan mata atau saraf yang tidak normal.
Juling ke dalam kerap terjadi di kalangan bayi dan kanak-kanak. Juling ke dalam bersaiz kecil yang kelihatan sekali-sekala pada bayi yang berumur di bawah 20 minggu biasanya akan hilang dengan sendiri.
Juling ke dalam yang hadir sejak lahir biasanya mempunyai saiz yang besar dan kelihatan sangat ketara. Juling ini adalah juling yang tetap dan mata boleh digunakan secara bergilir-gilir.
Juling ke dalam juga boleh berlaku pada satu mata atau kedua-dua mata secara bergilir-gilir. Juling jenis ini juga boleh hadir secara tetap atau hanya kelihatan sekali-sekala.
Individu yang juling biasanya tidak mempunyai penglihatan tiga dimensi, menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk menganggarkan jarak dan kedudukan sesuatu objek.
Juling yang tetap dan hanya melibatkan sebelah mata sahaja dikalangan kanak-kanak dan bayi boleh mengakibatkan mata malas.
Pseudoesotropia adalah keadaan di mana mata bayi atau kanak-kanak kelihatan seperti juling ke dalam disebabkan oleh bentuk wajah. Pemeriksaan mata akan dapat membezakan keadaan ini dengan juling yang sebenar.
Faktor Risiko Yang Boleh Menjadi Penyumbang Terjadinya Esotropia Adalah:
- Bayi yang lahir pramatang
- Sejarah keluarga yang mempunyai masalah juling
- Penglihatan kabur yang teruk
- Penyakit sistemik seperti penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi
Tanda Dan Gejala
Biasanya ibu bapa akan mengadu kedudukan mata bayi mereka kelihatan tidak normal. Bayi yang juling sejak lahir biasanya mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai masalah juling yang sama.
Juling yang berlaku selepas zaman kanak-kanak akan menyebabkan seseorang itu mengadu penglihatan berganda. Biasanya mereka akan mengubah kedudukan kepala untuk mengurangkan masalah ini dengan memandang melalui pandangan sisi.
Bagi juling yang hadir sekali sekala-sekala, individu kelihatan menggosok-gosok atau mengelipkan mata dengan berlebihan untuk mengawal juling daripada berlaku.
Rawatan
Kanak-kanak yang juling perlu mendapatkan pemeriksaan rapi untuk mengenal pasti punca juling berlaku. Pemeriksaan awal sangat penting kerana salah satu punca juling di kalangan kanak-kanak adalah barah mata yang dikenali sebagai retinoblastoma. Kelewatan mengesan dan merawat penyakit ini boleh menyebabkan kematian.
Terapi menutup mata normal biasanya dilakukan untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah mata malas pada mata juling.
Bagi juling yang disebabkan oleh rabun yang tinggi, cermin mata dengan kuasa kanta yang tepat mesti dipakai setiap masa. Juling akan kelihatan sekiranya mereka tidak memakai cermin mata. Walau bagaimanapun, juling akan berkurangan apabila meningkat dewasa.
Gambar 2: Mata Kanan Juling Ke Dalam Jika Tidak Memakai Cermin Mata
Gambar 3: Juling Tidak Kelihatan Apabila Memakai Cermin Mata
Sekiranya juling masih kelihatan ketika memandang objek dekat walaupun dengan memakai cermin mata, sejenis kanta khas iaitu kanta jenis dwifokus diperlukan.
Pembedahan boleh dilakukan untuk membetulkan juling. Pembedahan awal sebelum umur 2 tahun boleh meningkatkan keupayaan penggunaan kedua-dua mata secara serentak (penglihatan binokular) dan penglihatan tiga dimensi mungkin diperolehi.
Rujukan
- http://www.aapos.org/terms/conditions/48
- Essentials of Clinical Binocular Vision; Eris M. Weissberg; Butterworth Heinemann; pg27-46
Semakan akhir | : | 19 Mac 2014 |
Penulis | : | Pn. Nor Suhana bt. Abd. Wahab |
Akreditor | : | Pn. Noor Zahirah bt. Husain |