Pengenalan
Kerato – bermaksud kornea dan konus bermaksud kon. Ia adalah salah satu penyakit mata yang menyebabkan kawasan tengah kornea membonjol keluar dan menipis seterusnya menyebabkan bentuk kornea seolah-olah seperti kon.
Keadaan ini menyebabkan cahaya yang masuk kedalam mata akan diserakkan dimana penglihatan akan menjadi kabur dan herot. Ini adalah disebabkan serat protin pada kornea yang di kenali sebagai kolagen menjadi lemah. Kelemahan ini disebabkan oleh paras antioksida yang rendah di dalam kornea yang berfungsi melindungi kornea dari radikal bebas. Radikal bebas inilah yang memusnahkan serat kolagen.
Di Malaysia, penyakit ini boleh dihidapi oleh semua orang terutamanya golongan remaja sehingga umur 30 tahun dengan nisbah 1 dari 2000 orang. Nilai nisbahnya berbeza–beza mengikut negara. Dari segi bangsa pula, kaum India paling ramai menghidapi penyakit ini,diikuti oleh kaum Melayu dan Cina.
Mereka Yang Berkemungkinan Berisiko Mendapat Penyakit Ini Terdiri Daripada:
- Mereka yang mempunyai keturunan atau sejarah keluarga mengidap penyakit ini.
- Mereka yang mempunyai alahan seperti ezema, asma dan alahan kepada makanan dimana pesakit ini akan selalu mengalami kegatalan mata dan seterusnya menggosok mata dengan agresif.
- Mereka yang sentiasa berada di kawasan yang mengalami kekurangan oksigen seperti di tanah tinggi. Teori ini masih dalam penyelidikan.
- Mereka yang mengalami penyakit sistemik seperti Down Syndrome dan Marfan Syndrome.
Tanda-Tanda Dan Gejala
- Penglihatan berganda pada sebelah mata
- Silau dan sensitif terhadap cahaya.
- Kerap menukar kuasa kanta cermin mata dalam setahun
- Selalu menggosok mata
- Sakit kepala terutama dibahagian dahi.
- Penglihatan berbayang seperti pelangi disekeliling cahaya.
- Sukar memandu di waktu malam
Kornea Normal Kornea Keratokonus
Sumber Imej dari Google.
Terdapat 3 peringkat bagi penyakit ini:
- Awal/ permulaan (Early)
- Sederhana (Moderate)
- Teruk (Advance)
Rawatan
- Cermin mata
- Kanta Lekap
- Collagen Cross Linking( CXL)
- Corneal Ring Segment Insert (INTACTS)
- Pemindahan kornea
Peringkat Awal
Cermin mata sahaja boleh digunakan atau gabungan pemakaian cermin mata dan kanta lekap boleh digunakan pada peringkat awal keratokonus, dimana.penglihatan pesakit masih normal atau bagus. Kuasa astigmatismanya adalah rendah (< -3.00 DC), tetapi pesakit masih memerlukan rawatan susulan darpadai pakar mata.
Ubat titis mata perlu diberikan kepada pesakit untuk mengurangkan rasa gatal. Kanta lekap separa keras perlu digunakan. Kanta ini berfungsi untuk memperlahankan progresif penyakit ini dari menjadi lebih teruk. Kanta lekap jenis ini juga melambatkan proses pembonjolan bahagian tengah kornea mata ke hadapan.Kanta ini juga mengurangkan berlakunya penipisan bahagian tengah kornea mata dengan cepat.
Peringkat Sederhana
Kanta Lekap dan cermin mata boleh digunakan dan hanya boleh di preskripsi oleh Pegawai Optometri yang bertauliah.
Kanta Lekap diperlukan kerana kuasa astigmatisma adalah sederhana tinggi iaitu.diantara (> -3.00 DC hingga <-7.00 DC). Penglihatan pesakit masih agak kabur sedikit dengan cermin mata tetapi dengan penggunaan kanta lekap sahaja, penglihatan pesakit amat jelas terutamanya jika memakai kanta lekap separa keras (RGP).
Ubat titis mata masih perlu diberikan kepada pesakit sama seperti di peringkat awal.
Jenis Kanta Lekap Yang Boleh Digunakan Ialah:
- Kanta Lekap lembut. Contoh Kerasoft IC, Softlex Keratoconus
- Kanta Lekap Separa Keras – Rigid Gas Permeable(RGP). Contoh Rose K, E- conus, Menicon
- Kanta Lekap Piggy Back-Kanta lekap separa keras dipakai bersama dengan Kanta lekap lembut.
Pada peringkat ini juga rawatan Colagen Cross Linking( CXL) akan dilakukan oleh pakar mata , bertujuan untuk menguatkan lapisan kornea mata. Rawatan Colagen Cross Linking ini juga boleh mengurangkan kemungkinan untuk pemindahan kornea.
Pada masa ini, hospital kerajaan yang menyediakan rawatan CXL, adalah Hospital Kuala Lumpur sahaja.
Collagen Cross Linking
Sumber Imej dari Google
INTACTS juga boleh dilakukan pada peringkat ini tetapi tidak disediakan di hospital kerajaan. Selepas rawatan ini, pesakit masih perlu menggunakan kanta lekap untuk mendapatkan penglihatan yang lebih jelas. Rawatan ini akan mengurangkan kuasa astigmatisma sahaja dan penyakit ini tetap akan menjadi teruk beberapa tahun selepas itu.
Sumber Imej dari Google
Peringkat Teruk
Pemindahan kornea perlu dijalankan pada tahap ini dan akan dilakukan oleh pakar mata. Terdapat beberapa hospital kerajaan yang menyediakan rawatan ini iaitu hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.
Salah satu lapisan pada kornea menbengkak dan mengalami koyakan yang dikenali sebagai Hydrops seterusnya menyebabkan terjadinya parut yang menyebabkan kormea berwarna putih. Penglihatan adalah hampir buta sekiranya parut ini terjadi. Selepas 1 atau 2 tahun pemindahan kornea di lakukan, pesakit mungkin masih perlu menggunakan kanta lekap untuk mendapatkan penglihatan yang lebih jelas.
Pesakit mungkin perlu memakai kanta lekap untuk seumur hidup. Kemungkinan pesakit untuk melihat semula adalah tinggi selepas pembedahan ini. Semua jenis rawatan yang diberikan tidak akan menyembuhkan penyakit ini seperti sediakala.
Sebelum Pemindahan Kornea
Selepas Pemindahan Kornea
Pemindahan Kornea. Sumber dari Google
Rujukan
- webmd.com/eye-health/eye-health
- https://www.nkcf.org
- Contact Lenses Edisi Ke 5 .Anthony J. Philips & Lynne Spedwell
- Contact Lenses Practice. Nathan Efron Edisi Ke 2
Semakan Akhir | : | 22 Februari 2017 |
Penulis | : | Pn. Safira Binti Zainal |
Akreditor | : | Pn. Ramuzha Binti Yaacob |