Barotrauma ialah kecederaan akibat perubahan tekanan udara dalam telinga. Biasanya telinga menjadi tidak selesa disebabkan oleh perbezaan tekanan udara antara luaran/sekeliling dan dalaman telinga. Keadaan ini menyebabkan rasa sakit pada telinga dan kadangkala boleh mengakibatkan masalah pendengaran.
Bagaimana Barotrauma Boleh Menjejaskan Pendengaran
http://www.mountsinai.org/patient-care/health-library/diseases-and-conditions/barotrauma
Telinga terbahagi kepada 3 bahagian iaitu telinga luar, telinga tengah dan telinga dalam. Telinga tengah terletak antara telinga luar dan telinga dalam. Di bahagian telinga tengah terdapat ruang udara, tulang osikel dan tiub Eustachia. Tiub Eustachia adalah penghubung antara telinga tengah dengan hidung dan tekak.
Pada keadaan normal, tekanan udara pada telinga tengah (yang dipisahkan oleh gegendang telinga dengan bahagian telinga luar) adalah sama dengan tekanan udara luaran. Tiub Eustachia akan terbuka ketika menelan atau mengunyah untuk membenarkan udara keluar masuk dari telinga tengah. Proses ini adalah untuk memastikan tekanan udara dapat diseimbangkan antara dalam dan luar telinga.
Walau bagaimanapun, tekanan udara dalam telinga boleh berubah dengan melampau jika tiub Eustachia tersumbat. Keadaan ini juga dipanggil barotrauma.
http://www.drugs.com/health-guide/barotrauma.html
Bagaimana Barotrauma Berlaku?
Perubahan tekanan udara mewujudkan ruang vakum di dalam telinga tengah dan menarik gegendang telinga ke dalam. Jika perubahan tekanan tersebut berlaku secara mendadak ia boleh mengakibatkan rasa sakit ataupun kecederaan pada telinga.
Sesetengah kes barotrauma yang teruk, akan menyebabkan pengumpulan cecair (serous otitis media), yang ditarik keluar daripada lapisan saluran darah pada bahagian telinga apabila badan cuba mengimbangkan semula tekanan pada kedua-dua bahagian gegendang telinga. Cecair ini hanya boleh dikeluarkan jika Tiub Eustachia terbuka dengan baik. Pengumpulan cecair di belakang gegendang yang menyerupai jangkitan pada telinga tengah boleh menyebabkan rasa sakit dan kesukaran untuk mendengar.
Barotrauma yang teruk juga boleh menyebabkan kebocoran gegendang telinga dan seterusnya boleh menjejaskan pendengaran. Namun bagi kes yang sangat teruk, keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan pada organ pendengaran di bahagian telinga dalam sekaligus menyebabkan masalah keseimbangan.
Faktor Risiko
Aktiviti berisiko yang boleh menyebabkan kesan perubahan tekanan dalam telinga ialah:
- Menaiki kapal terbang
- Menyelam
- Mendaki gunung
- Pendedahan pada bunyi yang sangat kuat seperti letupan
- Sukan ekstrem seperti terjunan bebas dari tempat tinggi
Faktor menyebabkan tiub Eustachia tidak berfungsi antaranya ialah:
- Allergi hidung atau selsema
- Jangkitan telinga tengah
- Tiub Eustachia tidak normal sejak lahir (kongenital)
- Tumor yang menjejaskan fungsi tiub Eustachia
- Sumbing pada lelangit atau bibir.
Tanda-Tanda Barotrauma
- Tidak selesa atau sakit pada telinga – Rasa seperti ditekan di dalam telinga
- Telinga rasa seperti tersumbat
- Bunyi berdesing di dalam telinga (Tinnitus)
- Keluar darah dari dalam telinga – pada kes yang teruk
- Masalah pendengaran
Langkah-Langkah Melindungi Telinga Dari Kesan Perubahan Tekanan
- Sekiranya mengalami selsema atau allergi pada hidung, elakkan dari melakukan aktiviti yang melibatkan perubahan tekanan mendadak seperti menyelam atau menaiki kapal terbang. Dapatkan rawatan dan nasihat doktor sebelum meneruskan aktiviti.
- Penggunaan penyumbat telinga (ear plug) membantu untuk mengurangkan kesan perubahan tekanan dalam telinga.
- Ketika dalam penerbangan, disarankan untuk mengunyah makanan atau menelan air liur ketika fasa pelepasan dan pendaratan.
- Bagi aktiviti menyelam, penyelam disarankan untuk menyelam dan timbul secara perlahan-lahan bagi membolehkan tekanan udara diseimbangkan secara semulajadi.
Pengurusan Audiologi
Ujian Audiologi yang dijalankan bagi pesakit barotrauma ialah:
- Ujian Timpanometri
Ujian ini adalah untuk mengukur fungsi telinga tengah. Keputusan ujian timpanometri memberikan maklumat keadaan telinga tengah seperti tekanan yang terlalu rendah atau tinggi, kehadiran cecair atau gegendang telinga berlubang. - Ujian Audiometri Nada Tulen
Ujian ini untuk mengetahui tahap pendengaran samada keadaan barotrauma memberi kesan pada pendengaran. Bagi sesetengah kes akan menyebabkan masalah pendengaran konduktif sekurang-kurangnya pada tahap ringan ke sedehana.
Kesimpulan
Perubahan tekanan udara dalam telinga atau barotrauma boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Kebiasaannya barotrauma boleh dirawat dan dipulihkan namun terdapat juga kesan barotrauma yang kekal dan menjejaskan pendengaran. Hubungi Pegawai Audiologi di hospital berdekatan bagi mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat berkaitan barotrauma dan kesannya pada pendengaran.
Rujukan
- Brandon G. Bentz, MD, and C. Anthony Hughes, MD. Barotrauma. http://american-hearing.org/disorders/barotrauma/
- Ashutosh Kacker, MD, BS, Professor of Clinical Otolaryngology, Weill Cornell Medical College, and Attending Otolaryngologist, New York-Presbyterian Hospital, New York, NY. Ear Barotrauma. https://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/001064.htm
- http://advancedotolaryngology.com/patient-education/ear-barotrauma/
- Barotrauma – A guide to Hearing Loss. http://www.medic8.com/ear-disorders/hearing-loss/barotrauma.html
- Middle Ear Barotrauma. http://www.scuba-doc.com/Midearbt.html
- What is ear barotrauma?http://www.saintlukeshealthsystem.org/health-library/ear-barotrauma
Semakan Akhir | : | 30 Mei 2018 |
Penulis/Penterjemah | : | Rosnani bt. Rajikan |
Akreditor | : | Khadijah Azura bt. Salim |