A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kesihatan Mental dan Wanita

Pengenalan

Tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia

  • Pepatah di atas menggambarkan potensi serta peranan besar yang dipikul oleh wanita.
  • Wanita memikul tanggungjawab sebagai sebagai isteri, ibu, penjaga ahli keluarga lain dan pengurus rumahtangga dan sebagai warga kerja negara.
  • Di Malaysia, tenaga kerja wanita yang berdaftar sentiasa meningkat setiap tahun (37% tahun 1970 dan 44.5% tahun 2000 (1).
  • Kesihatan mental yang baik sangat penting kepada wanita kerana ia boleh memberi kesan ke atas diri mereka dan orang di bawah jagaan mereka.
  • Apabila wanita mengalami masalah kesihatan mental, kemampuan menjalankan tanggungjawab seharian mereka boleh terjejas.
  • Ia boleh menjejaskan kesejahteraan dan kesihatan ahli keluarga yang lain.
  • Sebagai contoh, apabila seseorang wanita dilanda kemurungan, fikiran negatif dari kemurungan boleh menyebabkan mereka membuat keputusan kurang baik dalam pilihan pemakanan atau cara penjagaan anak-anak.

Masalah kesihatan mental dalam kalangan wanita Masalah kesihatan mental melanda wanita dan lelaki pada kadar yang lebih kurang sama, Walau pun begitu, terdapat masalah-masalah tertentu yang hanya melanda wanita atau melanda wanita lebih daripada lelaki. Wanita terdedah kepada lebih banyak faktor (biologi, psikososial dan budaya) yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental. Ini termasuklah:

    1. Diskriminasi terhadap wanita, penderaan seksual dan keganasan rumahtangga
    2. Tanggungjawab yang yang semakin bertambah tanpa pertambahan sistem sokongan yang sewajarnya boleh menimbulkan kesukaran untuk menjayakan segala tanggungjawab mereka.

 

    1. Faktor-faktor psikososial dan budaya ini menyumbang pada kadar yang berlainan terhadap wanita seluruh dunia. Wanita di negara membangun mungkin kurang mendapat peluang dalam masyarakat dan lebih terbelengu dengan diskriminasi dan penderaan. Manakala wanita di negara barat lebih banyak mendapat peluang dalam masyarakat dan bebanan mereka pula adalah dalam mengimbangkan peranan di luar rumah dengan tanggungjawab kekeluargaan. Walaupun pengalaman wanita berbeza di seluruh dunia, mereka secara keseluruhannya terdedah kepada masalah atau kecelaruan mental yang sama

 

  1. Perubahan hormon pada fasa-fasa tertentu dalam kitar kehidupan mereka. Fasa-fasa yang dimaksudkan adalah waktu pre-haid, mengandung, berpantang dan sekitar/selepas menopos. Seseorang wanita, tidak kira asal-usulnya, tahap pendidikan, status ekonomi dan sebagainya, boleh terdedah kepada masalah kesihatan mental yang sama semasa melalui fasa-fasa penting ini.

Mereka terdedah kepada masalah kesihatan mental seperti:

  • Gangguan emosi sebelum/sekitar waktu haid – sindrom pre-haid (pre-menstrual syndrome /PMS) dan kecelaruan disforik pre-haid (pre-menstrual dysphoric disorder/PMDD)
  • Gangguan emosi sewaktu mengandung
  • Gangguan emosi sewaktu berpantang(link)
  • Gangguan emosi sekitar/selepas menopos(link)

Kecelaruan mental dalam kalangan wanita Kebanyakan kecelaruan mental berlaku pada kadar yang sama antara wanita dan lelaki. Gejala kecelaruan mental adalah berbeza di antara wanita dan lelaki. Kecelaruan mental yang lebih melanda kaum wanita berbanding dengan lelaki adalah seperti tersenarai di bawah.

  1. Kemurungan
    • Wanita dilanda kemurungan dengan kadar dua kali ganda lebih daripada lelaki
    • Satu (1) daripada empat (4) wanita memerlukan rawatan untuk kemurungan berbanding dengan satu (1) dalam 10 untuk lelaki.
    • Ini mungkin kerana perbezaan dari segi:
        • Psikologi – lelaki lebih menerima tekanan untuk tidak menunjukkan perasaan dan wanita lebih dilanda oleh masalah rendah diri dan mudah hilang kawalan
        • Sosial – kurang sokongan untuk kaum wanita
        • Biologi – perubahan hormon yang menambahkan risiko kemurungan pada kaum wanita.
  2. Mencedera diri
      • Kajian terdahulu menunjukkan lebih ramai wanita mencederakan diri daripada lelaki tetapi kini didapati wanita dan lelaki mencedera diri pada kadar yang sama (3)
      • Mencedera diri dianggap sebagai satu reaksi manusia apabila berhadapan dengan stres, kemurungan, anzieti dan permasalahan hidup.
      • Manusia juga boleh terjebak dengan menghisap rokok, mengambil dadah atau alkohol akibat stres. Lebih ramai lelaki yang terlibat dalam kancah rokok, alcohol dan dadah. Kini penglibatan wanita yang yang terjebak juga telah meningkat.
  3. Kecelaruan pemakanan
      • Ia lebih melanda wanita dari lelaki terutamanya untuk masalah anoreksia nervosa.
      • Walau begitu, jumlah lelaki yang berhadapan dengan kecelaruan pemakanan semakin meningkat.
      • Cara menifestasi kecelaruan ini mungkin berbeza antara wanita dan lelaki.
  4. Anzieti
      • Wanita mengalami anzieti dua kali ganda lebih dari lelaki.
      • Sebanyak 60% masalah fobia atau kecelaruan obsesif kompulsif adalah dihidap oleh wanita.
  5. Kecelaruan stress pasca-trauma
      • Lebih ramai wanita mengalami kecelaruan stres pasca-trauma berbanding lelaki.
      • Ini mungkin kerana wanita lebih terdedah kepada keganasan seks.
  6. Dementia
    • Dua per tiga orang yang mengalami dementia adalah wanita.
    • Risiko mengalami dementia bertambah dengan pertambahan usia dimana wanita lebih terdedah kerana jangka hayat yang lebih panjang.

Penjagaan kesihatan mental wanita

  • Sokongan emosi amatlah penting bagi wanita terutamanya pada waktu mereka melalui perubahan atau kehilangan dalam hidup mereka.
  • Ini kerana sifat semulajadi wanita selalunya ingin meluahkan perasaan mereka. Perasaan mereka bertambah baik apabila masalah mereka didengari.
  • Sokongan emosi dari wanita lain atau kakitangan professional penting dalam kesihatan mental wanita dan membantu proses pemulihan dari kecelaruan kesihatan mental.
  • Selain itu, idalam kesibukan wanita menjaga ahli keluarga atau orang lain, mereka perlu melapangkan masa untuk aktiviti penjagaan diri yang memberi kepuasan diri seperti bersantai, berekreasi, memberi masa kepada hobi, hiburan dan sebagainya.

Rujukan:

  1. Unit Perancangan Ekonomi. Rancangan Malaysia Ke-Lapan 2001-2005. Kuala Lumpur: Jabatan Perdana Menteri. 2001
  2. Kessler M & Riba M. 2010. Women’s mental health: a global imperative. Asia Pacific Psychiatry 2(1): 1-3.
  3. Kerr PL, Muehlenkamp JJ, Turner J M. 2010. Nonsuicidal Self-Injury: A Review of Current Research for Family Medicine and Primary Care Physicians 23, pp. 240–259
Semakan Akhir : 9 Oktober 2013
Penulis : Prof. Madya Dr. Marhani Bt. Midin

 

Artikel Berkaitan

Kaunseling Trauma

Situasi traumatik adalah satu peristiwa yang menyebabkan kecederaan terhadap fizikal, emosional, psikologikal atau mental. Seseorang yang mengalami distress mungkin akan merasa bimbang atau ketakutan.

Melancong Dan Kesan Kepada Minda

Melancong ialah satu tempoh masa yang diperuntukkan oleh seseorang bertujuan untuk melawat ke suatu tempat kebiasaannya untuk berehat. Melancong dapat merehatkan fikiran dan minda.

Kemahiran Berkomunikasi

Komunikasi itu penting bagi anda menyatakan perasaan dan pendapat. Komunikasi yang berkesan dapat mengeratkan hubungan baik sesama insan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,108

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia