Manusia memerlukan sistem komunikasi untuk menyampaikan mesej antara satu sama lain. Komunikasi terbahagi kepada komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan. Komunikasi lisan memerlukan kita untuk menggunakan suara dan pergerakan mulut iaitu bercakap, manakala komunikasi bukan lisan tidak memerlukannya.
Apa Itu AAC?
Komunikasi Augmentatif dan Alternatif, atau singkatannya AAC merupakan satu sistem komunikasi bukan lisan. AAC tidak memerlukan kita untuk bercakap bagi menyampaikan sesuatu mesej kepada orang lain. Ekspresi muka, pergerakan anggota badan, penggunaan gambar, simbol dan juga sistem tulisan merupakan antara contoh penggunaan AAC.
Komunikasi augmentatif secara spesifiknya digunakan bagi menyokong kebolehan bahasa, pertuturan dan komunikasi sedia ada yang terhad. Komunikasi alternatif pula digunakan bagi menggantikan kaedah komunikasi lisan individu yang tidak boleh bercakap.
Siapa Memerlukan AAC?
AAC diperlukan oleh individu yang tidak boleh menggunakan pertuturan untuk berkomunikasi secara efektif dalam semua situasi kehidupan. Individu tersebut kebiasaannya terdiri daripada kanak-kanak atau orang dewasa yang mempunyai masalah bahasa, pertuturan dan komunikasi pada tahap teruk. Masalah ini boleh berpunca daripada faktor-faktor seperti berikut:-
-
Autisma
-
Sindrom Down
-
Palsi Serebral
-
Kelainan Upaya Mental
-
Kecederaan Otak
-
Strok
Jenis-jenis Sistem AAC
Sistem AAC terbahagi kepada:
-
Sistem Komunikasi Tanpa Bantuan
-
Sistem Komunikasi Dengan Bantuan
Sistem Komunikasi Tanpa Bantuan
-
Sistem ini tidak memerlukan individu untuk menggunakan sebarang alat bantuan bagi berkomunikasi. Ia bergantung sepenuhnya kepada kebolehan fizikal individu.
-
Sebagai contoh, individu menggunakan bahasa isyarat, mimik muka, dan pergerakan anggota badan (gesture) untuk menyampaikan mesej.
Bahasa Isyarat bermaksud “Selamat Pagi Sumber:ikhwan-smoothcriminal.blogspot.com |
Bahasa Isyarat : Abjad Jari Sumber: kualalumpurcity.olx.com.my |
Sistem Komunikasi Dengan Bantuan
-
Sistem ini memerlukan individu menggunakan alat bantuan dan/atau kaedah tertentu bagi berkomunikasi. Alat bantuan tersebut boleh terdiri daripada alatan berteknologi rendah atau berteknologi tinggi.
-
Sebagai contoh, individu boleh menggunakan kertas dan pensil (sistem tulisan), buku atau papan komunikasi, serta alat bantuan komunikasi elektronik yang boleh mengeluarkan suara bagi tujuan berkomunikasi dengan individu lain.
Faktor Pemilihan AAC
Antara faktor yang mempengaruhi pemilihan dan penggunaan AAC adalah seperti berikut:
-
Keupayaan fizikal;
-
Tahap kemahiran bahasa, pertuturan dan komunikasi;
-
Tahap kemahiran kognitif;
-
Status sosioekonomi;
-
Kemudahan akses mendapatkan AAC
-
Motivasi individu dan keluarga untuk menggunakan AAC
Penggunaan sistem AAC semakin berkembang dalam bidang pemulihan pertuturan di Malaysia. Oleh yang demikian, individu dengan masalah bahasa, pertuturan dan komunikasi boleh menggunakan sistem AAC ini bagi membantu mereka untuk berkomunikasi dengan lebih baik dalam semua situasi kehidupan.
Rujukan
-
Beukelman, D.R., & Mirenda, P. (2006). Augmentative and alternative communication: supporting children and adults with complex communication needs. (3rd Ed.). Baltimore: Brookes Publishing.
-
Hedge, M.N. (2008). Hedge’s pocket guide to assessment in speech-language pathology. (3rd Ed.). United States; Delmar Learning.
-
Hedge, M.N. (2008). Hedge’s pocket guide to treatment in speech-language pathology. (3rd Ed.). United States; Delmar Learning.
-
Schlosser, R. W., & Wendt, O. (2008). Effects of augmentative and alternative communication intervention on speech production in children with autism: A systematic review. American Journal of Speech-Language Pathology, 17, 212-230. Retrieved May 22, 2012, from PubMed database.
-
Millar, D.C., Light, J.C., & Schlosser, R.W. (2006). The impact of augmentative and alternative communication on the speech production of individuals with developmental disabilities: A research review. Journal of Speech, Language and Hearing Research, 49, 248-264. Retrieved May 22, 2012, from PubMed database.
-
Ganz J.B., Heath, A.K., Parker, R.I., Rispoli, M.J., & Duran, J.B. (2012). A meta-analysis of single case research studies on aided augmentative and alternative communication systems with individuals with autism spectrum disorders. Journal of Autism and Developmental Disorders. 42, 60-74. Retrieved May 22, 2012, from PubMed database.
-
http://ikhwan-smoothcriminal.blogspot.com/2012/11/ara-cepat-belajar-bahasa-isyarat-untuk.html
-
http://kualalumpurcity.olx.com.my/belajar-bahasa-isyarat-di-rumah-iid-89889543
-
http://blog.palsoftwaredesigns.com/index.php?/archives/3-The-iPad-Does-AAC.html
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Rozila bt. Sumardi |
Akreditor | : | Ernie Heliza bt. Yusof |
Penyemak | : | Nadwah bt. Onwi |