Pengenalan
Kudis buta adalah sejenis jangkitan kulit yang boleh berjangkit disebabkan oleh sejenis hama.
Hama adalah sejenis makhluk seperti serangga yang membentuk laluan/terowong di bawah lapisan luar kulit. Hama bertelur di bawah kulit dan menghisap darah dari mangsanya.
Kudis buta dijangkiti melalui sentuhan langsung kulit ke kulit.
Semua orang tanpa mengira peringkat umur terdedah kepada jangkitan ini.
Kudis buta yang menjangkiti haiwan tidak boleh menjangkiti manusia, ia hanya akan menyebabkan ruam.
Rawatan
Cuci pakaian dan cadar yang telah digunakan oleh orang yang dijangkiti dengan air panas.
Masukkan perkara yang tidak boleh dicuci ke dalam beg plastik yang tertutup dan simpan selama sekurang-kurangnya tujuh hari untuk membolehkan hama dan telurnya mati.
Perabut dan tempat tidur perlu dibersihkan dengan pencuci hampagas.
Orang yang bergaul rapat dan tinggal bersama orang yang telah dijangkiti kudis buta harus dirawat pada masa yang sama.
Rawatan kudis buta termasuklah menyapu krim atau losyen seperti :
A. Permethrin 5%
Cara menggunakannya
- Sapu ubat ke seluruh badan termasuk kulit kepala, leher dan belakang telinga. Beri perhatian terhadap celah-celah jari kaki dan tangan dan di bahagian hujung kuku. Penggunaan berus kecil boleh membantu menyapu loyen ini.
- Bersihkan selepas 24 jam.
- Permethrin sepatutnya disapu sebanyak dua kali, dengan jarak selama satu minggu di antara rawatan.
- Ubat perlu disapu semula jika tangan dibasuh sebelum cukup 24 jam.
** Tidak boleh digunakan terhadap bayi berusia kurang dari 2 bulan.
Langkah berjaga-jaga
- Elakkan ubat dari terkena mata.
- Jangan disapu ke atas kulit yang luka atau dijangkiti kuman.
- Dapatkan bantuan perubatan untuk bayi berusia 2 bulan hingga 2 tahun.
B. Losyen Malathion 0.5%
Cara menggunakannya
- Sapu ubat ke seluruh badan termasuk kulit kepala, leher dan belakang telinga. Beri perhatian terhadap celah-celah jari kaki dan tangan dan di bahagian hujung kuku. Pengunaan berus kecil boleh membantu.
- Bersihkan selepas 24 jam.
- Malathion sepatutnya disapu sebanyak dua kali, dengan jarak selama satu minggu di antara rawatan.
- Ubat perlu disapu semula jika tangan dibasuh sebelum cukup 24 jam.
Langkah berjaga-jaga
- Penggunaan serentak Malathion dengan krim lain.
- Elakkan ubat dari terkena mata.
- Jangan sapu ke atas kulit yang luka atau dijangkiti kuman.
- Dapatkan bantuan perubatan untuk bayi berusia kurang dari 6 bulan.
C. Gamma benzene hexachloride (or lindane)
Cara menggunakannya
- Sapukan satu lapisan nipis losyen dan urut supaya losyen menyerap dengan baik ke seluruh badan iaitu dari leher hingga jari kaki. Biarkan selama 8 hingga 24 jam.
- Mandi dan bersihkan ubat selepas jangkamasa tersebut.
Kontraindikasi
- Wanita mengandung dan bayi pramatang
- Wanita yang menyusukan anak
- Pesakit dengan sejarah penyakit epilepsy (sawan)
- Pesakit dengan berat badan yang rendah
Langkah berjaga-jaga
- Penggunaan serentak Lindane dengan krim lain
- Elakkan ubat dari terkena mata atau lapisan mukosa
- Jangan sapu ke atas kulit yang terlelas
- Jangan sapu losyen selepas mandi air panas yang bersabun
D. Benzyl Benzoate lotion (EBB)
Cara menggunakannya
- Mandi dengan air suam sebelum mula menyapu ubat supaya penyerapan lebih baik dengan liang roma yang terbuka.
- Sapu ubat ke seluruh badan kecuali muka dan celah kelangkang.
- Biarkan selama 24 jam dan bersihkan badan.
- Ubat perlu disapu semula jika tangan dibasuh sebelum cukup 24 jam.
Perhatian Khusus
- Kegatalan
- Pesakit telah pulih dari jangkitan selepas rawatan selesai walaupun rasa gatal-gatal mungkin berlanjutan sehingga beberapa minggu
- Rawatan untuk kegatalan mungkin diperlukan. Sapuan steroid boleh mengurangkan kegatalan dan keradangan.
Pencegahan
Pengenalpastian dan rawatan segera penyakit ini sangat penting untuk mengawalnya daripada merebak.
Pesakit yang dijangkiti sepatutnya dikecualikan dari ke sekolah sehingga selesai rawatan.
Kudis buta boleh berjangkit semula, jadi adalah sangat penting untuk mengikut segala arahan rawatan dan membersihkan bahan yang tercemar dengan penyakit tersebut.
Semakan akhir | : | 20 April 2012 |
Penulis | : | Yam Chiew Fong |
Penyemak | : | Rabi’ah bt. Mamat |