Pengenalan
Perkataan LASER berasal dari singkatan Bahasa Inggeris iaitu “Light Amplification by Stimulated Emission of Radiation”.
LASER adalah merupakan sinaran cahaya yang mempunyai jarak gelombang yang tertentu dan akan menghasilkan tenaga. Kekuatan tenaga yang dihasilkan bergantung kepada kemantapan sinaran cahaya. Apabila dipancarkan ke kulit atau tisu, tenaga tersebut akan diserap oleh sel-sel tertentu di bawah lapisan kulit. Tenaga yang diserap akan bertukar menjadi haba dan seterusnya memusnahkan sel-sel sasaran. Sasaran kepada sel-sel tertentu bergantung kepada jarak gelombang pada peralatan LASER yang sedia ada. Oleh yang demikian setiap peralatan hanya dapat memberi rawatan yang berbeza dari peralatan LASER yang lain. Sebagai contoh peralatan LASER untuk rawatan pigmentasi tidak boleh digunakan untuk masalah lain seperti membuang tatu atau bulu roma. Ini adalah kerana tenaga dari jarak gelombang yang dihasilkan akan bertindak ke atas sel sasaran iaitu sel melanin sahaja. Sel-sel lain yang bukan sasaran tidak menyerap tenaga tersebut dan tidak akan termusnah.
Kegunaan LASER dalam Pembedahan Plastik
LASER digunakan secara meluas dalam bidang perubatan terutama dalam bidang kosmetik. Permintaan prosedur kurang invasive seperti BOTOX, “Dermal filler” adalah sangat tinggi. Demikian halnya dengan LASER kerana ia juga termasuk dalam kumpulan kurang invasif. LASER boleh digunakan dalam pelbagai masalah kulit seperti pigmentasi kulit, jerawat, saluran darah kecil di bawah kulit, membuang tatu, membuang bulu roma, menegangkan kulit, merawat parut dan sebagainya.
LASER juga digunakan dalam rawatan terapeutik seperti rawatan kelainan saluran darah (“Port wine stain, Hemangioma”), membuang ketumbuhan biasa pada kulit seperti kutil, jeragat dan sebagainya.
Siapakah yang sesuai menjalani rawatan LASER?
Rawatan LASER boleh diberi kepada sesiapa sahaja bergantung kepada keperluan perubatan atau kosmetik. Walaubagaimanapun pakar akan membuat pemeriksaan sebelum menyarankan samada rawatan LASER dan peralatan yang ada sesuai atau tidak.
Komplikasi
Rawatan LASER adalah berasaskan cahaya yang menghasil haba di dalam sel-sel sasaran Permukaan kulit boleh bertukar menjadi kemerah-merahan untuk beberapa hari. Lebam dan kelecuran boleh berlaku selepas rawatan. Hasil kelecuran akan meninggalkan parut. Kulit akan menjadi sensitif kepada sinaran cahaya dan boleh menyebabkan pigmentasi.
Rujukan
- www.aafprs.org/patient/procedures/laser-surgery.html
- Baaps.org.uk/procedures/lasers-in-plastic-surgery
Semakan Akhir | : | 16 Januari 2015 |
Penulis | : | Dr. Salina bt. Ibrahim |
Akreditor | : | Dr. Normala b. Hj Basiron |