Lemas mudah berlaku di kalangan kanak-kanak. Mereka tidak boleh melindungi diri sendiri dengan sepenuhnya. Lemas boleh berlaku dalam kolah mandi, bekas atau baldi yang berisi air.
Kanak-kanak tadika lebih kerap lemas di longkang, parit, perigi, kolam renang manakala, murid-murid sekolah kerap lemas di sungai, tasik dan bekas lombong yang berdekatan dengan rumah mereka. Kebanyakan kejadian lemas berlaku kerana kurang pengawasan dari orang dewasa.
Tanda & gejala
Lemas berlaku dengan cepat tanpa amaran.
Komplikasi
Hampir lemas boleh menyebabkan kerosakan otak yang kekal.
Rawatan
Kanak-kanak perlu dibawa ke hospital dengan segera. Jika kanak-kanak tersebut tidak bernafas, mulakan langkah-langkah pertolongan cemas.
Semasa di hospital, kanak-kanak tersebut akan diperiksa untuk mengesan komplikasi. Penjagaan kanak-kanak bergantung kepada tahap keseriusan lemas seperti:
- Bantuan penafasan melalui oksigen
- Mengurangkan tekanan dalam perut dengan menggunakan tiub supaya paru-paru boleh berkembang
- Memastikan kandungan glukos dan oksigen yang cukup di otak bagi mengurangkan kerosakan otak kekal
- Rawatan-rawatan terhadap komplikasi dan kecederaan yang lain
Pencegahan
- Di rumah
- Pastikan kanak-kanak diawasi oleh orang dewasa ketika bermain di tepi sungai/parit/kolam.
- Jangan tinggalkan bayi/kanak-kanak berseorangan/tanpa pengawasan. Jika anda perlu menjawab telefon atau mengambil tuala, bawa bayi bersama anda.
- Kosongkan bekas air atau timba jika tidak digunakan. Terbalikkan bekas air atau timba yang kosong.
- Tutup takungan/bekas air samada di dalam atau di luar rumah.
- Di kolam renang
- Nasihatkan anak anda agar tidak makan atau mengunyah gula-gula getah semasa berenang, menyelam atau berada dalam air.
- Pastikan terdapat pengawal keselamatan yang berkelayakan bertugas semasa berenang. Sekiranya tiada, jangan biarkan anak anda berseorangan.
- Pagarkan kolam renang rumah anda.
- Gunakan pelampung semasa berenang atau semasa berada di atas bot/skuter air/papan luncur.
- Gunakan topi renang semasa berenang bagi mengelakkan rambut tersedut ke dalam saluran penyedut yang terdapat dalam kolam renang.
- Pastikan saluran penyedup kolam ditutup bagi mengelakkan sedutan berlaku.
- Kawasan Takungan Air yang Lain
- Ajar anak kecil /remaja anda mengenai tanda-tanda bahaya jika berenang di kawasan larangan tanpa pengawasan orang dewasa. Nasihatkan anak-anak remaja jangan menerima cabaran daripada kawan-kawan.
- Beri amaran bahaya bermain berhampiran parit / longkang yang besar.
- Pelajarilah cara-cara pemulihan pernafasan resusitasi jantung.
Peraturan-peraturan berenang yang perlu dipatuhi oleh anak anda :
- Pastikan kanak-kanak berenang bersama kawan-kawan atau ibubapa.
- Jangan terjun menjunam ke dalam air.
- Jangan menolak atau terjun ke atas orang lain.
- Bersedia dalam apa jua keadaan kecemasan.
Semakan akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Norraliza Md. Zain |
Penyemak | : | Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah |