Pengenalan
Luka ini berpunca daripada tusukan atau tikaman daripada objek-objek tajam seperti pisau, gunting, paku, jarum, besi, kaca, pensel, pen dan sebagainya. Lokasi tubuh badan yang sering terdedah kepada ancaman tusukan adalah pada bahagian abdomen, belakang badan, punggung, tapak kaki dan tangan serta muka.
Rajah 1 : Tusukan Paku Berkarat
Tanda/Gejala
Kecederaan tisu dan organ badan boleh dikesan berdasarkan tanda-tanda seperti lebam, bengkak, kebiruan/pucat atau terdapat aliran darah keluar. Manakala gejala-gejalanya pula adalah seperti kelihatan lemah yang membawa kepada keadaan tidak sedarkan diri, lumpuh sebahagian atau keseluruhan badan dan kesakitan di bahagian terlibat.
Komplikasi
Oleh kerana lukanya yang dalam, ia dapat mencederakan organ dalaman serta pendarahan yang teruk dan boleh mengancam nyawa mangsa. Kehilangan darah yang banyak dan jangkitan kuman boleh menyebabkan kematian.
Rawatan
Rawatan awal boleh dilakukan oleh mangsa sendiri atau dengan bantuan orang di sekeliling. Risiko kematian dapat dielakkan sekiranya langkah-langkah berikut dapat diambil dengan segera, seperti :
- Bertenang atau tenangkan mangsa;
- Cuci luka dengan air yang bersih jika ada;
- Jika objek telah tiada atau tercabut, tekan pada lokasi luka supaya darah tidak keluar; atau
- Jika objek masih ada, jangan cabut tetapi buat balutan cincin dengan kain yang bersih dan letak di sekeliling objek berkenaan kemudian tutup dengan kain bersih yang lain;
- Lakukan tekanan yang berterusan pada nadi untuk menahan darah daripada keluar dengan banyak. Tekanan hendaklah tidak melebihi 10 minit dan dilepaskan bagi membolehkan aliran darah ke organ atau anggota tubuh dapat dikembalikan. Jangan ikat anggota yang tercedera kerana ia boleh merosakkan tisu dan organ badan kerana tidak mendapat bekalan darah yang secukupnya.
- Tinggikan anggota yang luka dari paras jantung untuk mengurangkan darah mengalir keluar.
- Dapatkan bantuan dan rawatan daripada anggota perubatan di klinik atau hospital berdekatan atau hubungi talian 999.
- Doktor akan memberikan rawatan perubatan seperti berikut :
- Suntikan anti- tetanus akan diberikan bagi mengelak serangan kancing gigi (jika perlu);
- Ubat penahan sakit dan antibiotik (jika perlu).
- Jahitan pada bahagian yang luka selepas beberapa hari sekiranya berlaku koyakan kulit atau tisu badan (jika perlu).
Pencegahan
Ancaman dari tusukan objek tajam dapat dielakkan sekiranya perkara-perkara berikut diberi perhatian, antaranya:
- Simpan objek berbahaya di tempat yang selamat, jauh dan lebih tinggi daripada kanak-kanak.
- Memakai kasut atau selipar yang mempunyai tapak yang tebal jika berjalan di tempat berisiko tinggi.
- Sentiasa peka dengan persekitaran.
Rehabilitasi
- Pastikan tempat luka sentiasa bersih dan elak daripada menggunakan minyak atau bahan-bahan yang diragui kebersihannya.
- Sentiasa bersihkan diri dan persekitaran tempat tinggal.
- Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang khususnya dalam pengambilan protein.
- Kawal paras gula terutamanya bagi mereka yang menghidap diabetes.
- Pastikan kesihatan tubuh badan di tahap optima.
Rujukan
- Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia
- Bahayapedia.com
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Amin Zafri bin Abd Rahman |
Akreditor | : | Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah |
Penyemak | : | Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah |