A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Penyusuan Susu Ibu
  6. /
  7. Masalah penyusuan susu ibu

Masalah penyusuan susu ibu

Penyusuan ibu adalah proses semulajadi. Walau bagaimanapun dalam 2 minggu pertama, penyusuan mungkin sukar bagi ibu terutama jika ini adalah pengalaman pertama anda. Berikut adalah beberapa masalah biasa yang dialami oleh sesetengah ibu :

  • Kebengkakkan payu dara
  • Puting melecet
  • Tidak cukup susu

Kebengkakkan payu dara

Sebab-sebab:

Kebengkakkan payu dara adalah disebabkan peningkatan isipadu susu yang mengakibatkan kongesi salur darah di dalam payu dara. Ia berlainan dengan kepadatan payu dara. Payu dara yang padat masih boleh ditekan, lembut dan fleksibel.

Tanda-tanda dan gejala:

Tanda-tanda kebengkakkan payu dara:

  • Payu dara menjadi keras dan sakit, kelihatan berkilat.
  • Bahagian areola kelihatan pejal.

Komplikasi/kesan sampingan:

Kebengkakkan payu dara boleh menyebabkan:

  • Kesukaran untuk bayi menyusu
  • Kesukaran untuk mengeluarkan susu

Rawatan:

Perkara- perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kebengkakkan payu dara:

  • Jangan berhentikan penyusuan.
  • Periksa jika anda menggunakan teknik yang betul. Betulkan jika salah.
  • Susukan bayi anda dengan kerap.
  • Sebelum penyusuan dimulakan, keluarkan sedikit susu untuk melembutkan payu dara supaya mudah untuk bayi menghisapnya.
  • Selepas penyusuan, jika payu dara masih bengkak, keluarkan susu yang ada.
  • Tuam payu dara dengan menggunakan tuala dan air suam untuk melancarkan pengaliran susu.
  • Gunakan tuaman sejuk di antara penyusuan untuk mengurangkan sakit dan kebengkakkan.

Pencegahan :

Kebengkakkan payu dara boleh dielakkan dengan:

  • Menyusukan bayi dengan kerap, sekurang-kurangnya 10-12 kali sehari.
  • Teknik penyusuan yang betul.

Puting melecet

Sebab-sebab:

  • Meletakkan bayi dalam posisi yang salah.
  • Teknik penyusuan yang tidak betul.
  • Penjagaan puting yang tidak betul.
  • Faktor-faktor lain;
    • Ekzema puting: Apabila ekzema berlaku, puting menjadi merah kehitaman, gatal, meleleh dan bengkak.
    • Seriawan: Jangkitan kulat disebabkan oleh Candida Albicaus juga boleh menyebabkan puting melecet. Ia bermula dengan rasa sakit, gatal dan pedih. Puting akan bertukar warna dari merah jambu ke merah.

Rawatan

  • Jangan hentikan penyusuan
  • Periksa samada anda menggunakan teknik yang betul semasa melekapkan bayi ke payu dara. Lakukan teknik yang betul jika salah.
  • Perahkan sedikit susu dan sapukan pada puting. Ini boleh memulihkan puting yang melecet.
  • Tidak perlu gunakan losyen.
  • Sekiranya tiada perubahan, jumpa doktor untuk memastikan samada terdapat jangkitan kulat atau ekzema.

Pencegahan

  • Pastikan posisi ibu dan teknik meletakkan bayi ke payu dara adalah betul.
  • Jangan menggunakan pelindung plastik pada payu dara kerana bahan tersebut tidak meresap peluh.
  • Elakkan menggunakan coli yang diperbuat dari bahan sintetik kerana ia meningkatkan perpeluhan dan kurang aliran udara.
  • Bersihkan payu dara dengan air sahaja, jangan guna sabun kerana boleh mengeringkan kulit.

Tidak cukup susu

Tidak cukup susu adalah alasan yang sering diberikan oleh ibu untuk berhenti menyusukan bayi atau menambahkannya dengan susu botol Kerap kali ini adalah tidak benar . Penghasilan susu ibu akan berkurangan disebabkan oleh kurang stimulasi akibat perkara-perkara berikut :

  • Ibu tidak membenarkan bayi menyusu seberapa kerap dan mengikut kehendak bayi.
  • Bayi tidak melekap dengan betul dan bayi tidak dapat menyusu dengan berkesan.
  • Ibu berhentikan penyusuan di waktu malam lebih awal.
  • Ibu memberikan makanan lain atau susu botol lebih awal.
  • Ibu menyusukan bayinya dengan sebelah payudara sahaja.
  • Ibu kurang yakin dengan kebolehannya untuk menyusukan bayi.
  • Ibu mengalami tekanan emosi.

Berikut adalah beberapa cara untuk mengatasi masalah tidak cukup susu :

  • Susukan bayi sekerap yang boleh mengikut kehendak bayi.
  • Pastikan masa antara penyusuan tidak melebihi 2 jam.
  • Pastikan bayi melekap dengan betul.
  • Menyusu dari kedua-dua belah payu dara.
  • Perbaiki pengambilan makanan anda. Makan makanan yang tinggi protein seperti ikan, ayam, daging, telur kekacang dan makanan yang tinggi vitamin seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Yakin pada diri sendiri . Anda boleh menyusukan anak anda.
  • Dapatkan rehat secukupnya dan cuba bertenang semasa menyusukan bayi.

Untuk memastikan bayi anda mendapat cukup susu, perhatikan tanda-tanda berikut :

  • Bayi menyusu sekurang -kurangnya 8 kali dalam masa 24 jam.
  • Corak penyusuan bayi berubah-ubah, ibu boleh mendengar atau melihat bayi menelan.
  • Bayi mempunyai otot yang pejal dan kulit yang sihat.
  • Bayi membuang air kecil sebanyak 6 kali atau lebih, air kecil berwarna kekuningan dan membuang air besar berwarna kekuningan 3 ke 8 kali dalam masa 24 jam.
  • Berat badan bayi meningkat secara konsisten selepas berumur satu minggu dan mengikut graf pertumbuhan.
  • Payudara anda mungkin rasa ringan selepas menyusu atau susu meleleh keluar dari payudara yang sebelah apabila bayi menyusu pada yang sebelah lagi.
  • Bayi cergas dan kelihatan puas antara penyusuan.
Semakan akhir : 10 April 2009
Penulis : Zalma bt. Abdul Razak
Zuhaida bt. Harun
Nazli Suhardi b. Ibrahim

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,081

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia