Apa Itu Pemeriksaan MRI Abdomen
Magnetic Resonance Imaging (MRI) Abdomen menggunakan magnet dan gelombang radio untuk mengimbas bahagian abdomen pesakit dan menghasilkan imej keratan rentas abdomen. MRI tidak menggunakan radiasi seperti jenis pemeriksaan radiologi lain. MRI abdomen menghasilkan imej bahagian perut seperti hati, ginjal, pundi hempedu dan lain-lain.
Bagaimana Untuk Mendapatkan Pemeriksaan Ini Dan Di Mana?
- Apabila anda datang berjumpa dengan doktor yang merawat anda, doktor tersebut akan menentukan samada anda memerlukan pemeriksaan ini atau tidak.
- Sekiranya perlu doktor tersebut akan membuat permohonan pemeriksaan menggunakan Borang Permohonan Pemeriksaan Radiologi.
- Pemeriksaan ini terdapat di hospital-hospital KKM terpilih.
Tujuan Pemeriksaan
- Abnormaliti atau tumor dalam organ-organ dan tisu-tisu abdomen.
- Memeriksa organ dan saluran darah sebelum pemindahan organ atau pembedahan.
- Memeriksa bahagian yang mempunyai keradangan atau jangkitan.
Persediaan Pemeriksaan
- Biasanya apabila anda diberikan temujanji, anda akan diberikan penjelasan di antaranya ialah;
– Puasa 4 – 6 jam sebelum pemeriksaan.
– Hanya air kosong sahaja boleh diminum.
– Mengambil ubat alahan (steroid) jika perlu.
– Maklumkan kepada doktor yang merawat atau Juru X-ray sekiranya anda pernah mengalami perkara berikut:
– Asma ( penyakit lelah).
– Alahan kepada makanan atau ubatan (gatal-gatal, kemerahan atau kebengkakan).
- Sekiranya sedang mengambil ubat-ubatan, sila dapatkan nasihat daripada doktor anda.
- Maklumkan kepada doktor dan/ atau Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.
- Pada hari pemeriksaan lapor diri anda di kaunter pendaftaran
Sebelum pemeriksaan
- Anda perlu menukar pakaian kepada pakaian hospital.
- Anda perlu menanggalkan semua benda-benda logam, termasuk perhiasan, pin rambut, jam tangan, gigi palsu, alat pendengar (hearing aids), kad ATM, kredit kad, pen, kaca mata dan sebagainya.
- Sila maklumkan kepada doktor jika anda menggunakan cochlear implant, sendi implantasi (metallic joint prosthesis), klip atau pin pembedahan kepala (clips used in brain surgery; aneurysm) dan alat pemacu jantung (cardiac pacemaker).
- Anda dinasihatkan untuk tidak membawa barang-barang berharga pada hari pemeriksaan.
- Maklumkan kepada doktor dan/ atau Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.
- Sila maklumkan kepada doktor jika anda pernah mengalami allergi/ alahan kepada makanan laut, ubat dan lain-lain.
- Anda akan ditanya persediaan anda untuk pemeriksaan merujuk kepada senarai semak yang diberikan semasa temujanji.
- Pastikan doktor anda telah mengisi senarai semak MRI dengan lengkap.
- Sekiranya tidak menepati senarai semak, anda tidak boleh meneruskan pemeriksaan.
- Anda akan dimasukkan jarum (branula) untuk pemeriksaan yang memerlukan media kontras.
- Berat badan anda akan ditimbang.
- Anda diminta membuang air kecil.
Semasa pemeriksaan
- Pemeriksaan MRI Abdomen mengambil masa selama 30 hingga 60minit.
- Anda akan diminta untuk berbaring di atas meja pemeriksaan yang sempit, kemudian meja tersebut akan bergerak menuju posisi yang ditentukan di dalam ruangan bulat atau dipanggil bore MRI.
- Jika anda mempunyai klaustrofobia (rasa takut jika berada di ruangan sempit), anda mungkin memerlukan bantuan ubat penenang untuk membantu anda menjalani pemeriksaan tersebut.
- Anda diminta untuk bertenang dan tidak bergerak semasa pemeriksaan dijalankan untuk mengelakkan pemeriksaan ulangan.
- Anda akan disuntik dengan media kontras di tangan atau lengan jika diperlukan.
- Anda akan mendengar bunyi yang agak bising yang dihasilkan oleh mesin MRI semasa pemeriksaan dijalankan. Selain itu, meja pemeriksaan akan sesekali bergerak ke depan dan ke belakang.
- Imej bahagian abdomen yang diperiksa akan terhasil dan dipamerkan di monitor.
Selepas pemeriksaan
- Jika kes memerlukan waktu yang lama, anda mungkin akan merasakan sedikit pening ketika bangun atau duduk selepas pemeriksaan.
- Anda akan disuruh untuk menukar semula pakaian dan jika mempunyai jarum suntikan untuk media kontras, jarum tersebut akan dikeluarkan.
- Anda akan dibenarkan pulang setelah anda diperiksa dan berada dalam keadaan baik.
- Anda dibenarkan makan dan minum.
Perbincangan untuk rawatan lanjut akan dilakukan oleh doktor bersama pesakit atau waris pesakit.
Laporan Pemeriksaan
Semua imej yang dihasilkan akan diteliti oleh pakar radiologi dan laporan akan disediakan.
Rujukan
- http://www.nhlbi.nih.gov/health/health-topics/topics/mri/
Semakan Akhir | : | 3 Januari 2017 |
Penulis | : | Norasikin binti Ismail |
Akreditor | : | Norman Serbastian Alangaram |