A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

‘Mucocele’

‘Mucocele’ adalah salah satu penyebab bengkak di dalam mulut. Ia adalah lesi yang kerap melibatkan mukosa mulut yang di gambarkan sebagai satu atau beberapa benjolan bulat yang lembut, berisi cecair; yang biasanya tidak menyebabkan kesakitan.

Pendahuluan

‘Mucocele’ adalah salah satu penyebab bengkak di dalam mulut. Ia adalah lesi yang kerap melibatkan mukosa mulut yang di gambarkan sebagai satu atau beberapa benjolan bulat yang lembut, berisi cecair; yang biasanya tidak menyebabkan kesakitan.

Ciri-ciri Klinikal

‘Mucocele’ kerap berlaku di kalangan kanak-kanak dan dewasa muda; berkemungkinan berkait rapat dengan kekerapan mengalami kecederaan. Menurut beberapa kajian, bibir bawah merupakan kawasan yang paling kerap terjadi ‘mucocele’. Walau bagaimanapun, kes-kes luar biasa melibatkan bibir atas, lelangit, bahagian belakang gusi, bahagian pipi, ‘frenum’ lidah dan atas lidah juga pernah dilaporkan. Diameter ‘mucocele’ adalah dalam lingkungan beberapa millimeter sehingga beberapa sentimeter. Ramai pesakit mengadu keluarnya cecair pekat daripada lesi tersebut.


Gambar Rajah 1: Nodul biru-jernih di bibir bawah
Sumber Gambar : http://oralmaxillo-facialsurgery.blogspot.com

Ranula

Ranula adalah ‘mucocele’ yang terletak di lantai mulut. Namanya diambil daripada perkataan latin ‘rana’ yang bermaksud katak kerana ciri-cirinya yang menyamai bawah perut katak. Ranula biasanya berkait rapat dengan sistem duktus kelenjar ‘sublingual’ dan jarang sekali melibatkan duktus kelenjar ‘submandibular’ atau kelenjar air liur minor di lantai mulut. Ranula merupakan benjolan berbentuk cawan yang  lembut serta berwarna kebiruan yang didapati di lantai mulut. Biasanya ia lebih besar daripada ‘mucocele’ sehingga mencapai diameter beberapa sentimeter. Bergantung kepada saiz dan lokasi, pesakit biasanya merasa benjolan di luar kaviti mulut, tidak selesa serta gangguan dalam percakapan, pengunyahan serta penelanan.


Gambar Rajah 2: Bengkak yang bersaiz besar di bahagian lantai mulut dikenali sebagai ‘ranula’.
Sumber Gambar : https://www.ebmedicine.net

Bagaimana Mucocele Terjadi?

Mucocele dipercayai berlaku apabila terjadinya trauma secara mekanikal kepada duktus perembes kelenjar air liur yang menyebabkan duktus tersebut terhiris atau pecah seterusnya terjadi pengumpulan air liur ke dalam tisu sekelilingnya (Gambar Rajah 3).  Air liur yang ‘terlepas’ ke dalam tisu akan merangsang tindakbalas inflamasi (keradangan), seterusnya pembentukan tisu granulasi yang akhirnya membentuk kapsul di sekeliling air liur tersebut.


Gambar Rajah 3: Trauma mekanikal pada duktus perembes air liur menyebabkan ‘mucin’ terlepas ke dalam tisu sekelilingnya.
Sumber Gambar : http://dentistryandmedicine.blogspot.com)

Ciri-ciri Histologi

Secara mikroskopik, lesi ini terdiri daripada kaviti ‘cyst’ yang mengandungi air liur (mucin) dan dikelilingi oleh tisu granulasi tanpa dilapisi oleh lapisan epitelium (Gambar Rajah 4). Dinding ‘cyst’ mengandungi sel-sel keradangan terutamanya makrofaj yang mengandungi ‘mucin’ yang ditelan (Gambar Rajah 5). Sel-sel tersebut jugak didapati di dalam kaviti ‘cyst’.


Gambar Rajah 4: Fotomikrograf lesi ‘mucocele’ menunjukkan ruang ‘cyst’ yang dipenuhi oleh ‘mucin’ dan dilapisi oleh tisu granulasi.
Sumber Gambar : http://emedicine.medscape.com


Gambar Rajah 5: Magnifikasi yang lebih tinggi menunjukkan sel-sel makrofaj yang menelan ‘mucin’di dalam dinding dan kaviti ‘cyst’.
Sumber Gambar : http://emedicine.medscape.com

Rawatan

Rawatan untuk ‘mucocele’ adalah melalui pembedahan kecil. Lesi tersebut dibuang bersama-sama kelenjar air liur yang terlibat (Gambar Rajah 6). Walau bagaimanapun, lesi boleh berulang dan pembedahan baru perlu dilakukan. Bagi kes ranula, rawatannya termasuk pembuangan kelenjar ‘sublingual’ serta ‘marsupialization’ (Gambar Rajah 7). ‘Marsupialization’ ialah prosedur di mana sebahagian daripada ‘bumbung’ lesi didedahkan untuk menghasilkan komunikasi antara duktus kelenjar dengan kaviti oral.


Gambar Rajah 6: Pembedahan kecil untuk membuang ‘mucocele’ di bibir bawah.
Sumber Gambar : http://pixgood.com/mucocele-after-surgery.html


Gambar Rajah 7: Pembedahan untuk membuang ranula di lantai kiri mulut.
(http://entsurg.blogspot.com/2014/09/mucocele-in-floor-of-mouth-ranula.html)

Rujukan

  1. Chrispian Scully. Oral and Maxillofacial Medicine: The Basis of Diagnosis and Treatment. Elsevier Health Sciences, 2008.
  2. Joseph A. Regezi, James J. Sciubba, Richard C.K Jordan. Regezi: Oral Pathology: Clinical Pathologic Correlations, 5th ed.  Saunders, An Imprint of Elsevier, 2008.
  3. J.V. Soames and J.C. Southam. Oral Pathology-4th Ed. Oxford University Press, 2005.

 

Semakan Akhir : 11 November 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Khamisah bt. Awang Kechik
Akreditor : Dr. Hans Prakash a/l Sathasivam

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,143

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia