A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Muzik Berbahaya kepada Telinga?

Tahukah anda muzik mampu memberi kesan yang berbahaya kepada telinga manusia? Pernahkah anda terdedah kepada bunyi muzik seperti Konsert, Disko, Pusat karaoke, Pemain muzik peribadi seperti pemain kaset atau pemain cakera. Sesudah itu adakah anda mengalami situasi seperti sukar untuk mendengar sesuatu bunyi ataupun sukar untuk memahami pertuturan orang lain atau telinga terasa berdesing atau berdengung.

Secara amnya, manusia suka mendengar muzik. Selalunya muzik dikaitkan sebagai peneman di waktu bosan, sebagai melepas tekanan perasaan, sebagai halwa telinga ataupun sebagai sumber pendapatan. Sesetangah orang suka mendengar muzik tradisional, yang lainnya muzik rock dan sebagainya.

Tetapi tahukah anda muzik mampu memberi kesan yang berbahaya kepada telinga manusia?

Pernahkah anda terdedah kepada bunyi muzik seperti:

  • Konsert
  • Disko
  • Pusat karaoke
  • Pemain muzik peribadi seperti pemain kaset atau pemain cakera

Sesudah itu adakah anda mengalami situasi seperti berikut:

  • Sukar untuk mendengar sesuatu bunyi ataupun sukar untuk memahami pertuturan orang lain
  • Telinga terasa berdesing atau berdengung

Anda pernah?

Mungkin sebahagian dari kita sudah maklum tentang kesan bunyi yang kuat kepada telinga kita. Contoh yang paling mudah adalah bunyi letupan. Contoh yang lain adalah seperti bunyi tembakan ataupun bunyi mesin jentera di kilang. Bunyi-bunyi tersebut mampu memberi kesan merbahaya kepada telinga kita. Begitu juga muzik.

Sebarang bunyi mampu untuk membahayakan telinga manusia jika mempunyai ciri-ciri tertentu. Ciri-ciri tersebut adalah:

  • Bunyi yang kuat
  • Bunyi dengan kenyaringannya tinggi
  • Terdedah pada bunyi untuk jangka masa lama

Apa itu muzik yang kuat?

Muzik yang kuat adalah muzik dengan tahap kekuatan bunyi tinggi. Dimana apabila kita sedang terdedah pada muzik tersebut, kita akan mengalami kesukaran untuk mendengar bunyi-bunyi yang lain.

Contoh yang mudah adalah seperti bunyi muzik di konsert. Bunyi muzik di sesuatu konsert adalah kuat. Dan ketika kita berada di sesuatu konsert, kita akan mengalami kesukaran untuk mendengar suara rakan-rakan yang cuba untuk berbual dengan kita. Betul tak?

Apa itu muzik dengan kenyaringannya tinggi?

Muzik mempunyai pelbagai kenyaringan. Ada yang mempunyai kenyaringan yang rendah, kenyaringan sederhana dan kenyaringan yang tinggi.

Contoh yang paling mudah untuk menerangkan mengenai kenyaringan adalah seperti perbezaan antara suara lelaki dan suara perempuan. Suara lelaki biasanya mempunyai kenyaringan yang rendah. Suara perempuan pula biasanya mempunyai kenyaringan yang tinggi ataupun bunyi yang tajam.

Contoh yang lain adalah seperti perbezaan bunyi gitar akustik dan gitar elektrik. Jika anda amati, bunyi gitar akustik dan gitar elektrik adalah sangat berbeza. Dimana bunyi gitar elektrik mempunyai kenyaringan yang tinggi jika dibandingkan bunyi gitar akustik.

Jadi bunyi muzik yang mana yang membahayakan telinga kita?

Berdasarkan kajian, bunyi muzik dengan kenyaringan yang tinggi mampu membahayakan telinga kita. Contoh muzik tersebut adalah seperti muzik rock.

Terdedah kepada muzik untuk jangka masa yang lama?

Sesuatu bunyi muzik mempunyai jangkamasa yang berbeza untuk mampu memberi kesan kepada telinga kita. Jangka masa yang diperlukan oleh muzik yang sederhana kuat adalah lama. Manakala untuk muzik yang sangat kuat, jangkamasa yang diperlukan adalah lebih sedikit.

Contohnya seperti apabila terdedah dengan bunyi letupan. Satu letupan yang sangat kuat hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk memberi kesan kepada telinga kita.

Tetapi berbeza jika dibandingkan dengan bunyi muzik di sesuatu konsert. Ianya mengambil masa beberapa belas minit hingga jam untuk mampu memberi kesan kepada telinga kita.

National Institute for Occupational Safety and Health (NIOSH) telah menghasilkan satu piawaian sebagai rujukan. Ia menunjukkan jangka masa yang selamat untuk terdedah kepada sesuatu kekuatan bunyi.

Tahap Kekuatan (dBA) Jarak Masa yang dibenarkan
85 8 jam
88 4 jam
91 2 jam
94 1 jam
97 30 minit
100 15 minit

Kesan muzik berbahaya pada telinga

Muzik berbahaya mampu memberi beberapa kesan kepada telinga kita:

  • Masalah pendengaran
  • Tinnitus

Apa itu masalah pendengaran?

Suatu keadaan di mana seseorang itu mengalami kesukaran untuk mendengar. Sama ada bunyi persekitaran ataupun bunyi pertuturan. Keadaan ini bergantung pada tahap masalah pendengaran yang di alami. Semakin teruk tahap masalah pendengaran, semakin sukar untuk seseorang itu mendengar.

Masalah pendengaran terbahagi kepada dua jenis iaitu:

  • Masalah pendengaran sementara
  • Masalah pendengaran kekal.

Masalah pendengaran sementara

Kesukaran untuk mendengar yang di alami untuk sementara waktu sahaja selepas terdedah kepada bunyi yang kuat. Selepas itu tahap pendengaran kembali seperti sediakala. Walau bagaimanapun, jangka masa yang diambil untuk pendengaran kembali seperti sediakala adalah berbeza dari beberapa minit hingga ke beberapa minggu.

Masalah pendengaran kekal

Kesukaran untuk mendengar yang dialami secara kekal. Ia terjadi selepas terdedah kepada bunyi berikut:

  • Bunyi yang sangat kuat seperti suatu letupan
  • Terdedah kepada bunyi yang kuat secara berulang-ulang dan berterusan seperti bunyi mesin jentera di kilang.

Masalah pendengaran walaupun sementara boleh memberi kesan pada kehidupan seharian.

Bayangkan anda sedang berbual dengan rakan-rakan anda. Tetapi anda tidak dapat mendengar dengan jelas suara rakan anda. Tentu anda tidak gembira, kan?

Apa itu tinnitus?

Pernahkah anda mengalami telinga berdesing ataupun berdengung tanpa ada bunyi desing atau dengung di persekitaran anda? Itu adalah tinnitus.

Kadang-kadang bunyi tinnitus ini pelbagai. Ada yang mendengarnya seperti bunyi cengkerik, bunyi berdetik, bunyi mengaum dan pelbagai lagi.

Kebiasaannya selepas terdedah pada suatu bunyi yang kuat, telinga kita akan mengalami tinnitus.

Bagi kebanyakan orang, tinnitus adalah sangat mengganggu, tidak menyelesakan dan mengganggu tidur. Bayangkan anda berada dalam bilik yang sunyi dan anda sedang berehat. Tetapi telinga anda sedang berdesing. Tentu sukar untuk anda berehat, kan?

Bagaimana saya hendak tahu bunyi yang saya dengar itu berbahaya atau tidak?

Agak sukar untuk mengetahui jika sesuatu bunyi mampu membahayakan telinga kita atau tidak. Di bawah ini di sediakan panduan mudah yang boleh digunakan untuk kita mengenalpasti sama ada bunyi itu berbahaya ataupun tidak.

  • Jika anda perlu menjerit ketika berbual dengan rakan anda yang berada dalam jarak 1 meter dari anda, boleh dianggarkan kekuatan bunyi persekitaran anda adalah melebihi 85 dBA.
  • Jika anda perlu menjerit ketika berbual dengan rakan anda yang berada dalam jarak 30 cm dari anda, boleh dianggarkan kekuatan bunyi persekitaran anda adalah melebihi 95 dBA.
  • Jika anda perlu menjerit ke telinga rakan anda ketika sedang berbual, boleh dianggarkan kekuatan bunyi persekitaran anda adalah melebihi 105 dBA.

Terdapat beberapa kajian telah di lakukan di luar negara bertujuan untuk mengenalpasti tahap kekuatan bunyi muzik di beberapa tempat hiburan. Ia adalah seperti di dalam jadual berikut:

Punca Bunyi

Tahap Kekuatan Bunyi (dBA)

Konsert 89 dBA hingga 115 dBA
Disko 90 dBA hingga 100 dBA
Karaoke 95 dBA hingga 115 dBA
Mp3, pemain kaset, pemain cakera, ipod 91 dBA hingga 100 dBA

Secara keseluruhannya, kesemua tempat hiburan di atas mempunyai tahap kekuatan bunyi muzik yang berbahaya. Justeru itu mampu membahayakan telinga kita.

Langkah-langkah pencegahan

  • Elakkan tempat yang mempunyai tahap bunyi muzik yang berbahaya.
  • Cuba berada dalam jarak yang jauh dari punca bunyi muzik yang berbahaya seperti pembesar suara.
  • Kurangkan masa berada dalam bunyi muzik yang berbahaya.
  • Jika anda perlu berada dalam tempat yang mempunyai tahap muzik yang berbahaya, kerap keluar dari tempat tersebut dan cuba rehatkan telinga anda di tempat yang senyap.
  • Jika anda perlu berada dalam tempat yang mempunyai tahap muzik yang berbahaya, gunakan alat pelindung telinga.
  • Menggunakan pemain muzik peribadi pada tahap kekuatan bunyi yang selamat.
  • Jika anda mengalami masalah pendengaran ataupun tinnitus selepas terdedah kepada bunyi  muzik yang kuat, pastikan anda memberi telinga anda waktu rehat yang secukupnya untuk membantu telinga anda kembali ke sediakala.

Siapa yang perlu anda rujuk jika bermasalah

Jika anda mengalami sebarang masalah pada pendengaran anda, anda boleh merujuk kepada pegawai pemulihan perubatan(pendengaran) di hospital kerajaan. Mereka boleh membantu dengan:

  • Menilai pendengaran anda sama ada bermasalah atau tidak.
  • Memberi bantuan atau rawatan susulan jika perlu.
  • Memberi kaunseling.

Rujukan

  1. Petrescu, N. (2008). Loud Music Listening. McGill Journal of Medicine, 11 (2), 169-176.
  2. Melnick, W. (1994). Industrial Hearing Conservation: In Katz. J. (Ed.), Handbook of Clinical Audiology Fourth Edition (pp. 534-552). USA: Williams & Wilkins.
  3. Stach, B.A. (1998). Causes of Hearing Impairment, Clinical Audiology an Introduction (pp.137-141). London :Singular Thomson Learning.
  4. Mueller, H.G.& Hall, J.W. (1998).Hearing Conservation, Industrial Audiology, and Protecting the Professional Ear, Audiologists Desk Referrence Volume II (pp. 755-763). USA :Singular Thomson Learning.
  5. National Institute for Occupational Safety and Health (1998). Criteria for a recommended standard: Occupational noise exposure. U.S. Department of Health and Human Services, Centers for Disease Control and Prevention.
  6. Noise-induced hearing loss(n.d). Health Canada: Healthy Living. Retrieved Disember 2012, from http://www.hc-sc.gc.ca/hl-vs/iyh-vsv/environ/hearing_loss-perte_audition-eng.php
  7. Binge listening (n.d). Autralian Hearing. Retrieved Disember 2012, from http://www.hearing.com.au/ViewPage.action?siteNodeId=109&languageId=1&contentId=-1
  8. Tinnitus(n.d). Retrieved Disember 2012, from http://en.wikipedia.org/wiki/Tinnitus
  9. Hearing loss prevention (n.d). National Acoustic Laboratories. Retrieved Disember 2012, from http://www.nal.gov.au/hearing-loss-protection_tab_noise-exposure.shtml
Semakan akhir : 05 Februari 2014
Penulis : Nurkhartika bt Mohamed
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,126

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia