A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Myringoplasty

Myringoplasty adalah satu pembedahan untuk menampal gegendang telinga yang berlubang atau pecah.

Myringoplasty adalah satu pembedahan untuk menampal gegendang telinga yang berlubang atau pecah. Ia berasal dari perkataan Myringo = gegendang telinga, plasty = membaiki. Pembedahan ini juga dikenali sebagai Tympanoplasty Type 1.

Indikasi

Keadaan telinga berlubang ini boleh disebabkan oleh beberapa faktor iaitu seperti jangkitan kuman di telinga tengah atau kecederaan pada gegendang telinga. Pakar otorinolaringologi akan menasihatkan pembedahan myringoplasty sekiranya gegendang telinga masih berlubang selepas rawatan perubatan yang optimum telah diberikan.

Tujuan pembedahan ini adalah supaya gegendang telinga kembali pulih dan bagi menghalang jangkitan pada telinga tengah berulang. Pembedahan ini juga boleh membantu pesakit mendengar lebih baik terutamanya bagi pesakit yang mempunyai masalah pendengaran jenis konduktif. Ia juga dapat mengurangkan jangkitan berulang-ulang ke telinga tengah. Selain itu, pembedahan ini juga boleh dilakukan sebelum pesakit dicadangkan alat bantu pendengaran.

Sebelum keputusan untuk melakukan pembedahan myringoplasty dibuat, ujian pendengaran akan dilakukan oleh pegawai audiologis untuk mengenal pasti jenis dan tahap pendengaran pesakit tersebut.

Prosedur

Pembedahan ini dilakukan secara elektif, iaitu pesakit diberi temujanji untuk pembedahan. Ianya dilakukan samada dibawah pembiusan setempat (local anesthesia) atau pembiusan am (general anaesthesia) bergantung kepada saiz gegendang telinga yang pecah dan umur pesakit. Walaubagaimanapun kanak-kanak di bawah umur dan pesakit yang cemas, bius am akan menjadi pilihan.

Pembedahan ini dilakukan secara teknik mikrosurgeri, iaitu menggunakan peralatan mikroskop pembedahan ataupun teleskop.

Pembedahan ini dilakukan melalui saluran telinga atau torehan di hadapan atau belakang cuping telinga. Teknik akan bergantung kepada saiz gegendang dan struktur anatomi saluran telinga, dan tahap gegendang yang pecah.

Graf (tisu yang digunakan untuk membaiki) yang digunakan untuk menampal gegendang selalunya diambil dari tisu bawah kulit kepala bahagian atas cuping yang dipanggil temporalis fascia” atau dari tisu “perichodrium”.yang terletak di tragus Terdapat juga keadaan di mana tisu graf diambil dari tisu lemak dari badan pesakit atau tulang rawan di telinga luar pesakit. Torehan akan dijahit kembali dan salur telinga luar akan dimasukkan kain kasa berubat untuk mengelakkan jangkitan dan pergerakan tisu geraf.

Pembedahan ini biasanya mengambil masa kurang dari dua jam. Jika pembiusan am di gunakan, pesakit perlu dimasukkan ke wad sebelum pembedahan.

Pesakit biasanya akan dibenarkan keluar dari wad sehari selepas pembedahan. Ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit dan antibiotik akan diberikan megikut keperluan. Jika prosedur ini dilakukan sebagai prosedur rawatan harian, pesakit akan dibenarkan pulang pada hari yang sama.

Risiko komplikasi yang boleh berlaku

Pada kebiasaannya, pembedahan ini tidak mempunyai risiko yang tinggi. Walaubagaimanapun, seperti prosedur pembedahan telinga yang lain, terdapat kemungkinan kecil berlakunya risiko komplikasi seperti :

  • Kecederaan saraf muka
  • Kurang/Hilang pendengaran
  • Pendarahan – biasanya tidak serius
  • Pening, berpusing, loya dan muntah
  • Kelainan deria rasa sekiranya cedera saraf korda tympani yang melalui telinga tengah.
  • Kesakitan – Sakit adalah biasa selepas pembedahan
  • Jangkitan kuman- Jangkitan kuman pada luka pembedahan mungkin boleh berlaku. Ini akan menyebabkan kesakitan, radang pada bahagian tersebut. Kadang-kadang, terdapat lelehan(discharge) /darah dari luka yang dijahit.
  • Bunyi berdesing di dalam telinga (tinnitus)
  • Alahan- reaksi alahan terhadap bahan sumbatan (ear packing/dressing) dimana saluran  dan cuping telinga menjadi merah dan bengkak. Anda perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut
  • Rasa kebas di bahagian kulit di sekitar kawasan pembedahan. Ini biasanya akan pulih selepas beberapa bulan. Kemungkinan akan berkekalan adalah kecil.

Rehabilitasi

Selepas pembedahan myringoplasty , pesakit dinasihatkan supaya mengelakkan melakukan aktiviti yang boleh meningkatkan tekanan kepada telinga tengah sekurang-kurangnya dua bulan. Ini bertujuan  untuk mengelakkan pergerakan tisu graf yang digunakan untuk menampal gegendang. Aktiviti seperti mengangkat barang-barang yang berat, meneran atau bersin, menyelam dan menaiki kapal terbang boleh menyebabkan ia berlaku. Pesakit juga di nasihatkan supaya mengelak air  dari memasuki telinga sepanjang tempoh penyembuhan.

Biasanya pesakit akan berasa telinga tersumbat 2 hingga 4 minggu selepas pembedahan. Ianya adalah disebabkan oleh kain berubat yang diletakkan selepas pembedahan, ubatan yang diletak di telinga tengah  semasa pembedahan dan sedikit darah beku selepas pembedahan. Ianya akan hilang selepas itu dengan sendiri. Pesakit tidak perlu berasa bimbang jika sedikit darah mengalir keluar 1 hingga 2 minggu selepas pembedahan. Ia boleh dikeringkan dengan menggunakan kapas.

Jahitan dibuka seminggu selepas pembedahan. Kain sumbatan di dalam telinga akan dikeluarkan 1 atau 2  minggu selepas pembedahan. Kebanyakan pesakit dibenarkan kembali bekerja antara satu hingga dua minggu selepas pembedahan dan dinasihati supaya tidak melakukan aktiviti berat.

Gambar gegendang telinga yang pecah

 

Gambar gegendang telinga yang telah sembuh dua bulan selepas menjalani pembedahan myringoplasty

 

Semakan Akhir : 13 Oktober 2015
Penulis : Dr. Zulkiflee b. Salahuddin
Akreditor : Datin Dr. Siti Sabzah bt. Mohd Hashim

Artikel Berkaitan

Keloid Telinga

Keloid adalah parut besar yang timbul, tidak sekata dan akan semakin membesar.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,142

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia