A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Obesiti dan Penyakit Periodontitis

Kajian mendapati ada kaitan antara penyakit periodontitis dengan penyakit sistemik seperti kencing manis (diabetes mellitus), penyakit jantung, kelahiran bayi pra-matang dan kurang berat badan serta masalah obesiti.

Penyakit Periodontitis

Penyakit periodontitis merupakan penyakit kronik yang melibatkan kemusnahan struktur penyokong gigi iaitu gusi, ligamen periodontal, simentum (selaput akar gigi ) dan tulang alveolus (Rajah 1).


Rajah 1: Tisu Periodontium

 

Bakteria dalam selaput plak gigi menyebabkan terjadinya inflamasi (keradangan) gusi.

Di peringkat awal, keradangan hanya pada bahagian gusi dikenali Gingivitis. Tanda-tanda penyakit gusi seperti gusi bengkak kemerahan, mudah berdarah semasa memberus gigi, gusi bernanah dan mulut berbau. Gingivitis boleh sembuh dengan baik sekiranya pesakit berjumpa dengan doktor gigi dan mendapat rawatan awal seperti profilaksis dan penskaleran gigi. serta nasihat cara-cara memberus gigi yang berkesan.

Sebaliknya jika gingivitis ini dibiarkan tanpa rawatan sewajarnya, keradangan ini akan berlarutan menjadi semakin teruk menjangkiti struktur-struktur periodontal yang lain menyebabkan Periodontitis (Rajah 2). Kehilangan tisu penyokong gigi seperti tulang alveolus dan ligamen periodontal  mengakibatkan:

  • Paras gusi semakin menyusut,
  • Gigi kelihatan lebih panjang,
  • Gigi bergoyang,
  • Gigi beralih tempat, jarang dan tidak tersusun (Rajah 3).
  • Kepuasan mengunyah makanan keras dan liat juga terjejas
  • Mulut berbau

Malangnya ramai pesakit tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalami masalah periodontal kerana penyakit ini tidak sakit melainkan mereka melakukan pemeriksaan gusi di klinik gigi atau memberitahu doktor gigi tentang gejala-gejala seperti tersenarai.

Rajah 2 : Periodontitis
Rajah 3 : Gejala Penyakit Periodontitis

Di klinik, doktor gigi akan mengukur kedalaman “poket gusi (Periodontium)” menggunakan prob (Rajah 4). Periodontitis berlaku jika kedalaman gusi atau poket melebihi 4mm.


Rajah 4: Mengukur Poket Periodontium

 

Faktor risiko penyakit periodontitis

Faktor setempat : Keadaan dalam mulut yang menyebabkan pengumpulan plak contohnya, karang gigi, susunan gigi berlapis, karies gigi, permukaan tampalan kasar atau aplians dalam mulut.

Faktor sistemik : iaitu faktor yang memberi kesan kepada badan seperti genetik, penyakit sistemik yang dihidapi pesakit dan tabiat merokok.

Kajian-kajian mendapati ada kaitan antara penyakit periodontitis dengan penyakit sistemik seperti kencing manis (diabetes mellitus), penyakit jantung, kelahiran bayi pra-matang dan kurang berat badan serta masalah obesiti (1,2)

Obesiti dan lebihan berat badan

Didefinasikan sebagai pengumpulan lemak badan melebihi tahap normal yang boleh menyebabkan masalah kesihatan tubuh badan (WHO 2008).

Berat badan berlebihan dan obesiti telah meningkat dalam kalangan populasi di negara-negara membangun.

Obesiti dikenalpasti sebagai punca utama kepada penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes mellitus, kanser dan osteoarthritis.

Obesiti boleh diukur dengan pelbagai cara; yang paling kerap digunakan adalah dengan mengukur Body Mass Index (BMI) .

Pengiraan BMI :

kadar berat badan (kg)
ketinggian (m)2

Indeks BMI  > 30 kg/m2 dikategorikan sebagai Obes.

Carta bacaan BMI mengikut WHO 2008:

Kelas

BMI (kg/m2)

Deskripsi populasi

Kurang Berat (Underweight)

<18.5

Kurus

Normal

18.5-24.9

Berat badan normal, sihat

Lebihan Berat

?25.0

 

Pra-obes

25-29.9

Berat berlebihan

Obes kelas 1

30.0-34.9

Obesiti

Obes kelas 2

35.0-39.9

Obesiti

Obes kelas 3

?40

Terlalu Obes, merbahaya kepada kesihatan

Obesiti berkait dengan penyakit periodontitis?

Beberapa kajian telah menunjukkan kaitan positif antara obesiti dan penyakit periodontitis(4). Pesakit obes mempunyai risiko (Odds Ratio) sebanyak 1.81, sementara yang mempunyai berat berlebihan berisiko 1.27 untuk mengidap penyakit periodontitis (5).

Namun begitu, lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk menerangkan mekanisma kaitan antara dua faktor ini serta cara-cara untuk menangani periodontitis dalam kalangan pesakit obes.

Bagaimanakah obesiti boleh menyebabkan periodontitis?

Antara faktor berkaitan periodontitis dalam kalangan pesakit obes adalah:

  • Paras sel-sel imuniti dan mediator keradangan seperti acute phase protein, leukosit, dan pro-inflammatory cytokines meningkat
  • Sel lemak (adipocyte) pesakit obes didapati menghasilkan lebih banyak faktor keradangan seperti IL-1, IL-6, TNF-? dan chemokines yang boleh menyebabkan  kebengkakan gusi dan periodontitis.
  • Paras bakteria di dalam mulut pesakit obes lebih tinggi berbanding orang berat badan normal.
  • Terdapat juga kaitan antara obesiti dan diabetes mellitus di mana hormon insulin menjadi kurang sensitif dan pemendapan advance glycation end product (AGE) yang banyak seterusnya menyebabkan keradangan periodontal.

Secara umumnya keadaan sistemik ini mempunyai banyak faktor-faktor penyebab seperti faktor genetik, tabiat merokok, pengambilan diet tidak seimbang dan gaya hidup tidak sihat (Rajah 5).


Rajah 5: Hubungkait Obesiti dan Penyakit Periodontal

Menangani Penyakit Periodontitis

Bagi mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit periodontitis, berjumpalah dengan doktor gigi untuk pemeriksaan yang lebih lanjut.

Doktor gigi akan memberi nasihat tentang cara menjaga kesihatan gigi dan gusi yang betul.

Jika periodontitis telah dikenalpasti, pesakit akan dirujuk kepada Pakar Pergigian Periodontik yang akan memberikan rawatan lanjut seperti

  • Penskaleran gigi (scaling) untuk menanggalkan plak dan karang gigi.
  • Bagi poket periodontal yang dalam ( > 6mm ke atas), rawatan pendebridmen (debridement) akar gigi dilakukan
  • Bagi kes yang memerlukan, pembedahan kecil dilakukan bagi membetulkan permukaan akar dan tulang yang tidak rata kesan penyakit periodontal.

Langkah-langkah pencegahan penyakit periodontitis dan obesiti

  • Pastikan kebersihan mulut yang optima dengan memberus gigi dengan teknik yang berkesan sekurang-kurangnya 2 kali sehari, menggunakan ubat gigi berflorida untuk mengurangkan karies. Digalakkan menggunakan flos gigi untuk menanggalkan sisa makanan dan plak di celah gigi. 
  • Amalkan diet yang sihat. Makanan bergula dan berlemak perlu dikurangkan untuk kesihatan mulut dan juga badan. Perbanyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan berfiber tinggi. Digalakkan mengambil makanan atau minuman berkalsium tinggi untuk menguatkan tulang dan gigi.
  • Lakukan pemeriksaan kesihatan dan mulut sekurang-kurangnya setahun sekali. Pemeriksaan ini dapat mengesan penyakit di peringkat awal dan mendapatkan rawatan segera.
  • Perbanyakkan senaman dan aktiviti-aktiviti yang aktif. Kurangkan berat badan ke tahap berat yang normal mengikut ketinggian masing-masing.

Rujukan

  1. Saito T, Shimazaki Y, Koga T, Tsuzuki M, Ohshima A.Relationship between upper body obesity and periodontitis. J Dent Res 2001:80:1631-1636.
  2. Saito T, Shimazaki Y, Sakamoto M. Obesity and periodontitis. N Engl J Med 1998; 339:482-483.
  3. WHO. Global database on body mass index. 2008. Report.
  4. Dalla Vecchia, C.F., Susin, C., Rösing, C.K., Oppermann, R.V. and Albandar, J.M., 2005. Overweight and obesity as risk indicators for periodontitis in adults. Journal of Periodontology, 76(10), pp.1721-1728.
  5. Suvan, J., D’Aiuto, F., Moles, D.R., Petrie, A. and Donos, N., 2011. Association between overweight/obesity and periodontitis in adults. A systematic review. Obesity Reviews, 12(5), pp.e381-e404.
 

 

Semakan Akhir : 24 Oktober 2016
Penulis : Dr. Norhayati bt. Abas
Akreditor : Dr. Norhani bt. Abd Rani
 

Artikel Berkaitan

Memberus Gigi

Memberus gigi boleh membersihkan sisa makanan dan plak dari permukaan gigi. Ia juga merupakan salah satu cara untuk menyapu fluorida yang kepada bahagian gigi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,099

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia