A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Obesiti di kalangan dewasa

Obesiti di kalangan dewasa

Obesiti merupakan suatu penyakit yang kompleks di mana terdapatnya pengumpulan lemak yang berlebihan pada tubuh dan menyebabkan seseorang itu mengalami berat badan yang berlebihan.

Definisi

Obesiti merupakan suatu penyakit yang kompleks di mana terdapatnya pengumpulan lemak yang berlebihan pada tubuh dan menyebabkan seseorang itu mengalami berat badan yang berlebihan. Berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Tahun 2011 mendapati sebanyak 33.3% rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas adalah berada dalam kategori pre-obes dan sebanyak 27.2% adalah obes.

Secara umumnya lelaki yang mempunyai peratus lemak melebihi 25% dan wanita melebihi 35% adalah dikategorikan sebagai obes. Obesiti boleh diklasifikasi mengikut berat badan seseorang berdasarkan Indeks Jisim Tubuh (BMI) mengikut peringkat-peringkat yang tertentu. Formula untuk mendapatkan Indeks Jisim Tubuh adalah:

BMI : Berat (kg) / Tinggi2 (m)2

Klasifikasi

BMI

Kurang berat badan

< 18.5

Berat badan normal

18.5-22.9

Lebih berat badan

>23

Pre-obes

23-27.4

Obes-I

27.5-34.9

Obes-II

35-39.9

Obes-III

>40

Gambarajah 1 : Klasifikasi menurut BMI

Penyebab

Terdapat banyak faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada masalah obesiti dan  antara faktor-faktor utama adalah seperti pengambilan makanan secara berlebih-lebihan serta pengambilan diet yang tinggi kandungan lemak dan gula melebihi daripada jumlah yang diperlukan oleh seseorang itu dan kurangnya melakukan aktiviti-aktiviti senaman dan fizikal. Terdapat beberapa faktor-faktor lain yang boleh mengakibatkan obesiti seperti faktor usia, jantina, genetik, penyakit dalaman, dan juga pengambilan ubatan tertentu seperti steroid.

Risiko Kesihatan

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa obesiti membawa implikasi yang buruk kepada kesihatan dan ianya boleh meningkatkan seseorang itu berisiko untuk mendapat penyakit-penyakit meliputi hampir seluruh sistem badan.

Bagi mereka yang mengalami obesiti terdapat risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, penyakit hati berlemak, sindrom metabolik, masalah tidur, dan kesukaran untuk bernafas. Mereka juga berisiko sederhana untuk mendapat penyakit seperti strok, penyakit jantung koronari, lemah jantung, darah tinggi, gout, dan sakit sendi.

Rawatan

Secara umumnya, tujuan rawatan untuk pesakit yang mengalami obesiti adalah untuk:

  • Mencapai penurunan berat badan dengan cara yang betul dan selamat
  • Mengekalkan berat badanyang rendah
  • Menghalang pertambahan berat badan
  • Merawat penyebab kegemukan kepada pesakit

Penurunan berat badan yang disyorkan pada peringkat permulaan adalah sebanyak 10% daripada berat badan asal iaitu penurunan sebanyak 0.5 kg hingga 1 kg seminggu dalam tempoh 6 bulan. Penurunan yang selanjutnya boleh dilakukan selepas matlamat awal penurunan berat badan ini dicapai. Adalah amat penting bagi mengelakkan penurunan berat badan secara mendadak kerana terdapat peningkatan risiko untuk pembentukan batu hempedu, ketidakseimbangan garam di dalam badan dan peningkatan semula berat badan kepada asal.

Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk menurunkan berat badan seperti:

Kawalan Pemakanan

Pengambilan  makanan yang mempunyai kalori yang rendah dan makanan yang mengandungi kurang lemak adalah amat penting dalam strategi untuk menurunkan berat badan. Sekiranya seseorang itu dapat mengurangkan pengambilan kalori sebanyak 500 hingga 1000 Kcal sehari ianya  dapat mengurangkan berat badan sebanyak 8-10%  dalam tempoh 6 bulan. Bagi mereka yang berada dalam kategori obesiti peringkat sedehana hingga teruk.

Pengambilan kalori yang sangat rendah  sebanyak 200 hingga 800kcal sehari boleh diamalkan untuk mencapai penurunan berat badan yang cepat tetapi memerlukan pengawasan daripada pengamal perubatan. Akan tetapi kaedah ini tidak sesuai bagi mereka yang mengalami masalah kencing manis, strok, penyakit hati, penyakit buah pinggang dan juga mereka yang baru mengalami serangan jantung.

Senaman

Senaman memainkan peranan penting dalam proses penurunan berat badan. Senaman dapat mengubah komposisi badan, mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit dan meningkatkan kualiti kehidupan. Sebelum pesakit obesiti memulakan program senaman, anda perlu mendapat pemeriksaan daripada doktor untuk menentukan tahap kesesuaian senaman berdasarkan umur, risiko penyakit, dan  hasil daripada pemeriksaan fizikal. Adalah perlu ditekankan agar semua program senaman dimulakan secara beransur-ansur. Senaman secara sederhana selama 30 minit setiap hari boleh diamalkan untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit seperti jantung dan kencing manis. Untuk mengekalkan berat badan setelah berlakunya penurunan berat badan memerlukan senaman secara sederhana selama 60-90 minit sehari.

Terapi tingkah laku

Terapi tingkah laku dapat membantu pesakit obesiti dalam rawatan penurunan berat badan dan pengekalan berat badan. Antara matlamat terapi tingkah laku adalah untuk mengubah gaya dan cara pemakanan seseorang dan ianya dapat dicapai melalui sesi kaunseling pemakanan, kumpulan sokongan, dan pemantauan diri sendiri terhadap gaya hidup yang sihat.

Ubat-ubatan

Pengambilan ubat bagi tujuan mengurangkan berat badan adalah sebagai kaedah tambahan kepada kaedah kawalan pemakanan, senaman, dan terapi tingkah laku. Ubat boleh digunakan untuk  meningkatkan kepatuhan kepada kawalan makanan, membantu untuk mempercepatkan penurunan berat badan, dan mengekalkan berat badan setelah pesakit berjaya menurunkan berat badan. Dalam keadaan tertentu, ubat untuk menurunkan berat badan  boleh digunakan bagi mereka yang mempunyai penyakit sampingan seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, dan sakit sendi. Akan tetapi ubat untuk menurukan berat badan adalah tidak disyorkan kepada kanak-kanak, ibu mengandung, dan mereka yang pernah mendapat kesan samping daripada pengambilan ubat tersebut.

Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh digunakan untuk menurunkan berat badan seperti:

  1. Ubat yang bertindak dengan mengurangkan penyerapan lemak di salur pemakanan seperti Orlistat.
  2. Ubat yang bertindak dengan mengurangkan selera makan seperti Sibutramine dan Phentermine.

Pembedahan

Kaedah ini boleh dipertimbangkan bagi mereka yang mempunyai obesiti yang morbid (BMI > 40kg/m2) dan apabila kaedah rawatan yang lain tidak berhasil. Melalui kaedah ini pesakit  boleh mengalami penurunan sebanyak 50kg sehingga 100kg dalam masa 6 bulan.

Antara kaedah rawatan secara pembedahan adalah seperti pintasan perut, gastroplasti, dan pembedahan secara laparoskopik dengan memasukan alat seperti cincin bagi mengecilkan saiz perut. Kaedah sedutan lemak di bahagian abdomen bukan merupakan kaedah rawatan untuk obesiti tetapi adalah untuk tujuan pembuangan lemak yang terkumpul.

Pencegahan

Pencegahan adalah langkah terbaik bagi mengelakkan seseorang itu mendapat obesiti. Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil seseorang itu adalah seperti:

  • Melakukan senaman secara berkala
  • Memilih makanan yang kurang kandungan gula dan lemak
  • Mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil setiap kali mengambil makanan
  • Minum air yang secukupnya, sekurang-kurangnya 8 gelas sehari
  • Makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang
  • Mengelakkan mengambil makanan yang berat sebelum tidur dan lewat malam
  • Mengurangkan masa menonton televisyen dan menggantikannya dengan aktiviti riadah
  • Sentiasa memantau berat badan anda  sekali seminggu

Rujukan

  1. Ismail, I. S., Bebakar, W. M. W., & Kamaruddin, N. A. (2004). Clinical Practice Guidelines on management of obesity 2004. Putrajaya: Ministry of Health Malaysia, Academy of Medicine of Malaysia, Malaysian Association for the Study of Obesity, Malaysian Endocrine and Metabolic Society.
  2. World Health Organization. (2000). Obesity: preventing and managing the global epidemic (No. 894). World Health Organization.
  3. National Health and Morbidity Survey 2011, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Shamsul Anuar b. Asmee
Akreditor : Dr. Khairul Nizam b. Hassan
Penyemak : Dr. Nor Faizah bt. Ghazali

Artikel Berkaitan

Organisma ‘Alert’

Pengenalan / Definisi Organisma ‘alert’ adalah kumpulan mikroorganimsa spesifik tersenarai

Demam Kuning

Demam kuning adalah satu penyakit teruk yang boleh membawa kematian. Ia disebarkan oleh nyamuk aedes jenis aegypti yang menyebabkan demam denggi di Malaysia. Nyamuk ini biasanya menggigit pada waktu siang.Virus demam kuning adalah dari kumpulan keluarga virus flaviviridae. Kumpulan virus ini mengandungi lebih 70 jenis yang berlainan di mana kebanyakannya adalah virus bawaan serangga. Pathogen lain dari kumpulan ini termasuk virus denggi, yang mudah didapati di kawasan tropika dan ia menjadi penyebab jangkitan penyakit yang teruk dan kadar kematian tinggi di Negara Asia Timur, Tengah serta Amerika Selatan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,135

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia