Pengenalan
Keluarga merupakan pengaruh yang paling kuat dan utama dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dan remaja. Membina hubungan dengan ahli keluarga termasuk adik-beradik merupakan sebahagian daripada proses sosialisasi. Persekitaran keluarga yang baik dan hubungan yang positif antara ahli keluarga meningkatkan harga diri, rasa selamat, keyakinan dan kemahiran bersosial di kalangan remaja. Berikut adalah panduan mengeratkan hubungan kekeluargaan untuk ibu bapa dan remaja.
Panduan untuk ibu bapa
- Ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran yang bahagia, sihat dan selamat dalam keluarga dengan menunjukkan contoh yang baik, saling menghormati, melibatkan remaja dalam membuat keputusan, memupuk kasih sayang antara adik-beradik, menggalakkan perkongsian dan dalam masa yang sama memberi perhatian dan kasih sayang kepada setiap anak.
- Ibu bapa perlu menghargai keunikan dan perbezaan setiap anak dan tidak membandingkan antara seorang anak dengan anak yang lain. Ibu bapa hendaklah mendidik nilai positif dan cara berinterakasi yang baik semasa mereka berhubung dan berkomunikasi dengan anak-anak, pasangan dan ahli keluarga yang lain.
- Kanak-kanak dan remaja adalah pemerhati yang peka. Tingkah laku remaja adalah berdasarkan contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang lain sejak remaja dilahirkan.
- Hubungan positif boleh dipupuk dengan meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga agar hubungan kekeluargaan lebih erat seperti makan, menonton filem, berkebun, membasuh kereta, memasak atau membeli-belah bersama-sama.
- Selain itu, ibu bapa perlu memperuntukkan waktu khusus yang berkualiti untuk memberi perhatian kepada setiap anak agar anak berasa disayangi dan dihargai. Perkara ini boleh mencegah persaingan antara adik-beradik untuk mendapatkan kasih sayang dan perhatian ibu bapa.
Panduan untuk Remaja
- Remaja juga ada peranan dalam membina hubungan positif dalam keluarga dan adik-beradik.
- Pertama, semaikan rasa kasih sayang terhadap keluarga dan adik-beradik. kerana ada sesetengah remaja tidak mempunyai keluarga mahupun adik-beradik (anak yatim atau yatim piatu, atau pun merupakan anak tunggal dalam keluarganya).
- Remaja perlu menyayangi ibu bapa atas segala pengorbanan yang telah dilakukan untuk membesarkan mereka.
- Perbezaan budaya dan ekonomi boleh membuatkan remaja berasa serba kekurangan berbanding keluarga orang lain yang lebih kaya dan mewah.
- Jadilah insan yang bersyukur. Selagi ibu bapa dan adik-beradik tidak berlaku kasar, remaja perlu menyayangi, menghormati dan menyokong ibu bapa dan adik-beradik yang lain. Sama-samalah membina keluarga yang bahagia, sihat dan selamat.
- Jadilah remaja yang rajin. Bantulah membuat kerja-kerja rumah seperti membersihkan bilik tidur, mengemas barang-barang peribadi/permainan, membasuh pakaian dan pinggan-mangkuk sendiri serta membuang sampah. Ibu bapa dan adik-beradik yang lain pasti berasa kagum.
- Jika remaja adalah anak yang lebih tua, sayangi, lindungi dan bimbing adik-adik yang lebih muda. Perkara ini boleh meningkatkan harga diri, memberi kesan positif kepada orang lain serta membentuk kemahiran kepimpinan remaja. Remaja tidak boleh mengubah orang lain tetapi boleh mengubah diri sendiri dan mampu membuat perbezaan.
- Jika remaja adalah anak yang lebih muda, hormati dan hargailah orang yang lebih tua. Dapatkan nasihat abang atau kakak mengenai hobi, sukan atau pelajaran bagi mengeratkan perhubungan adik-beradik.
Konflik adik-beradik: Bagaimana Ibu Bapa Boleh Membantu?
Adik-beradik sering bergaduh, berbeza pendapat, berkelahian atau berebut barang. Ibubapa hendaklah:
- Bantu anak-anak menangani masalah seperti perbezaan pendapat, kemarahan, kekecewaan, penyesalan, iri hati, sedih, dan kecewa.
- Fahami perasaan anak-anak dan dengar luahan mereka tanpa menyebelahi mana-mana pihak atau membuat penilaian.
- Jangan libatkan diri dalam konflik anak-anak. Sebaliknya bimbing anak-anak mengatasi emosi atau masalah yang dihadapi. Didik anak-anak ilmu dan kemahiran menangani kemarahan, cara menenangkan perasaan, berunding, menyelesaikan konflik dan lain-lain.
- Tingkatkan keyakinkan anak-anak agar dapat menyelesaikan masalah dengan bijak.
Kesimpulan
Ibu bapa perlu membantu remaja membina hubungan yang positif dengan mewujudkan persekitaran yang positif melalui contoh dan teladan serta dengan menanamkan pengetahuan, nilai, sikap, tingkah laku dan kemahiran sosial yang positif. Konflik, pertengkaran dan pergaduhan sering terjadi tetapi hubungan positif antara adik-beradik dan ahli keluarga boleh ditingkatkan sekiranya ibu bapa memiliki kemahiran keibubapaan dan mempelajari teknik penyelesaian konflik.
Last Reviewed | : | 5 December 2014 |
Writer | : | Dr. Nik Rubiah bte Nik Abdul Rashid |
Translator | : | Noorhayati bte. Kassim |
Accreditor | : | Dr. Nik Rubiah bte Nik Abdul Rashid |