Semakin meningkat usia, kemungkinan untuk seseorang terdedah kepada masalah kesihatan yang memerlukan ubat-ubatan adalah tinggi. Bagaimana dengan ibu bapa anda? Adakah mereka mengambil satu atau lebih jenis ubat? Kebanyakan ibu bapa yang telah tua mengambil ubat-ubatan untuk tujuan merawat atau mengawal penyakit dan terdapat juga mengambil ubat tambahan untuk kekal sihat Umumnya, kebanyakan ibu bapa yang tua memerlukan ubat-ubatan yang pelbagai berbanding golongan umur yang lain, ini menyebabkan mereka mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk mendapat kesan buruk terhadap ubat-ubatan yang diambil.
Anak-anak mempunyai tanggungjawab dalam memastikan kesihatan ibu bapa mereka terutamanya yang telah uzur dijaga dengan baik. Ibu bapa yang masih aktif dan mampu menguruskan diri, juga masih memerlukan bantuan untuk mengambil ubat-ubatan secara selamat dan betul.
Sekiranya ibu bapa anda tinggal bersendirian dan tidak tinggal bersama anda, luangkan sedikit masa untuk memastikan mereka mengambil ubat yang betul supaya dapat meneruskan hidup berdikari.
Bincang dengan ibu bapa anda tentang ubat-ubatan mereka. Ambil tahu:
- Apakah ubat yang diambil dan tujuan pengambilan ubat tersebut.
- Berapa kerap ubat berkenaan perlu diambil dan bagaimana cara pengambilannya?
- Apakah pendapat ibu bapa anda tentang keberkesanan ubat yang diambil, contohnya, adakah ia mengurangkan penyakit yang dihadapi.
- Adakah mereka mengalami masalah seperti kerap terjatuh, pening, mengantuk atau kurang selera makan sejak mengambil ubat.
- Sekiranya mereka mempunyai masalah mengambil ubat, seperti terlupa dos, sukar mengenal pasti ubat contohnya, perbezaan bentuk ubat, atau mengalami kesan sampingan ubat yang kurang menyenangkan.
- Sekiranya mereka merasakan telah mendapat maklumat dan arahan yang mencukupi berkenaan cara pengambilan ubat.
Sekiranya ibu bapa anda mempunyai masalah penglihatan atau bermasalah membaca label ubat, bincang dengan ahli farmasi. Penggunaan kod warna pada botol ubat dan kod warna yang sama pada carta arahan pengambilan ubat boleh membantu warga emas. Sarankan juga kepada mereka supaya meminta ahli farmasi melabel ubat dengan cetakan tulisan yang lebih besar.
Bantu Ibu bapa Menyelesaikan Kemusykilan
Galakkan ibu bapa anda untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan sebarang maklumat yang diperlukan dan maklumkan kepada doktor berkenaan ubat-ubatan yang telah diambil. Maklumkan kepada ibu bapa bahawa doktor dan ahli farmasi bersedia memberikan maklumat yang diperlukan.
Perhatikan sebarang kesan sampingan atau kesan buruk
Pada usia emas, mungkin berlaku kekeliruan di dalam membezakan di antara kesan sampingan yang tidak diingini dengan kesan penuaan. Perhatikan dan bincang dengan doktor atau ahli farmasi kemungkinan kesan-kesan berikut berlaku akibat ubat-ubatan.
- Keresahan dan kebimbangan
- Kekeliruan dan hilang daya ingatan
- Kelesuan
- Kurang nafsu seks
- Kemurungan
- Lemah
- Pitam atau pengsan
Semakan Akhir | : | 23 April 2014 |
Penulis | : | Rosidah bt. Md.Din |
: | Siti Nurul Fathihah bt. Baharudin | |
Akreditor | : | Che Pun bt. Bujang |
Penyemak | : | Nor Aida bt. Sanusi |