Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati apabila membeli produk farmaseutikal melalui perkhidmatan Internet, pos atau kurier. Pengguna dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana iklan perubatan dan produk di Internet kerana membeli produk farmaseutikal melalui perkhidmatan Internet boleh mengundang bahaya kepada kesihatan pengguna.
Produk yang dijual melalui Internet adalah diragui kerana sebab-sebab berikut:
- keselamatan , kualiti dan keberkesanannya kepada pengguna tidak dapat dipastikan.
- khidmat nasihat yang lengkap mengenai penggunaan ubat-ubatan tidak diperolehi.
- terdapat risiko pembelian produk palsu yang boleh menyebabkan kematian.
- boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak dijangka seperti alahan yang teruk, sesak nafas secara tiba-tiba atau sesuatu keadaan yang memburukkan lagi penyakit yang dihidapi.
- tiada kesan penyembuhan kerana mengandungi bahan aktif yang salah atau langsung tidak mengandungi bahan aktif.
Adalah diingatkan bahawa produk palsu boleh menyebabkan kematian. Ia berkemungkinan tinggi mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri, arsenik, kadmium, atau plumbum. Bahan-bahan ini boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan membawa maut. Tambahan pula, produk tersebut mungkin dihasilkan di premis tidak berlesen yang tidak menyediakan persekitaran yang bersih seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Contoh di bawah adalah sebahagian daripada premis yang tidak mempunyai Amalan Pengilangan Baik (GMP), iaitu kriteria yang perlu dipatuhi dalam penghasilan produk farmaseutikal.
Semua produk farmaseutikal di Malaysia perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dipasarkan kepada pengguna. Produk berdaftar mempunyai dua ciri, iaitu nombor pendaftaran (contoh MAL20085264A) dan label hologram Meditag. Produk ini akan dinilai dari segi kualiti , keberkesanan dan keselamatannya kepada pengguna.
Pengguna boleh menyemak status pendaftaran semua produk farmaseutikal dan produk kosmetik di laman sesawang Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan laman web (BPFK),www.bpfk.gov.my.Carian produk berdaftar boleh dibuat dengan menggunakan :
- nama produk
- nombor pendaftaran
- nama pemegang pendaftaran
- bahan-bahan aktif
- nama pengilang
Jika produk tersebut adalah produk yang berdaftar, status pendaftaran akan dipaparkan. Selepas memeriksa nombor pendaftaran, pengguna dinasihatkan untuk menyemak kesahihan label hologram melalui ahli farmasi di hospital, klinik atau premis farmasi berdekatan. Oleh yang demikian, pembelian produk farmaseutikal melalui Internet adalah tidak selamat sama sekali.
Kini terdapat banyak blog kedai atas talian yang menjual produk tidak berdaftar. Fenomena semasa yang semakin meningkat hari demi hari berleluasa tanpa kita sedari. Pengguna yang mempunyai kuasa membeli perlu lebih berhati-hati apabila membeli produk farmaseutikal terutama apabila ia mempunyai tuntutan yang melampau yang boleh mengganggu pertimbangan dalam memilih produk yang selamat. Pengguna dinasihatkan membaca label sebelum membeli produk dan tidak terpengaruhi dengan mana-mana tuntutan iklan yang disiarkan. Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan dan merampas urusniaga produk yang tidak berdaftar dengan KKM.
Pegawai-pegawai penguatkuasa juga ditempatkan di pusat perkhidmatan kurier untuk memantau bungkusan yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier. Pegawai –pegawai ini akan menyaring bungkusan yang disyaki mengandungi produk farmaseutikal. Di bawah Akta Jualan Dadah 1952, individu atau syarikat yang mengilang, menjual, mengedar, mengimport atau menggunakan ubat-ubatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Jika disabit kesalahan,hukuman yang dikenakan adalah seperti berikut:
- individu
- kesalahan pertama – denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 atau kedua-duanya.
- kesalahan berikutnya – denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
- syarikat
- kesalahan pertama – denda sehingga RM50,000.
- kesalahan berikutnya – RM100,000.
Semakan Akhir | : | 23 April 2014 |
Penulis | : | Aimi bt. Zulkifli |
Akreditor/Penyemak | : | Mazlan bin Ismail |