Apakah Pemeriksaan Ultrasound?
Pemeriksaan Ultrasound adalah pemeriksaan yang menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej sebahagian organ dalam badan. Gelombang bunyi yang digunakan adalah yang berfrekuensi tinggi dan tidak boleh didengar oleh deria pendengaran manusia. Pemeriksaan ini tidak menggunakan sinaran X.
Pemeriksaan ultrasound biasanya dilakukan dan dibuat laporan oleh pakar-pakar radiologi dan pakar Perubatan.
Gambar 1 – Mesin ultrasound
Sumber: www.samsungmedisonusa.com
Penghasilan Imej Ultrasound
Semasa pemeriksaan imbasan ultrasoun, gelombang bunyi yang dihasilkan akan dipantulkan oleh organ yang sedang diperiksa. Dengan menggunakan teknologi pemerosesan komputer gelombang pantulan ini akan dapat diproses oleh komputer untuk menghasilkan imej organ yang diperiksa. Imej yang dihasilkan akan dipaparkan pada skrin yang terdapat pada mesin ultrasound yang digunakan. Imej-imej yang dihasilkan ini merupakan imej-imej digital. Ianya boleh dilihat terus pada skrin atau di cetak ke atas filem dan kertas. Imej-imej ini juga boleh dipindahkan ke media digital yang lain seperti CD, DVD dan alat penyimpanan digital yang sesuai.
Gambar 2 : Imej Ultrasound
Sumber: www.axsoris.com
Pemeriksaan Ultrasound
Pemeriksaan ultrasound boleh dilakukan dengan cepat dan biasanya tidak memerlukan sebarang persediaan khas. Walau bagaimanapun bagi pemeriksaan bahagian abdomen pesakit mungkin dinasihatkan supaya berpuasa semalaman bagi mendapatkan imej yang lebih jelas. Pesakit perlu menukar kepada pakaian hospital yang disediakan. Anda akan diminta untuk baring di atas meja pemeriksaan dengan sebahagian badan yang diperiksa akan didedahkan oleh doktor ketika menjalankan imbasan. Transducer (alat skan) yang telah diletakkan gel akan digerakkan ke atas permukaan kulit kawasan yang diperiksa. Sepanjang pemeriksaan pesakit mungkin diperlukan untuk menukar posisi seperti mengiring ke sebelah kiri dan kanan. Imej-mej yang dihasilkan semasa pemeriksaan akan dipaparkan di skrin computer mesin tersebut. Pesakit dapat melihat imej-imej ini semasa pemeriksaan dijalankan.
Jenis Pemeriksaan Ultrasound Biasa
Pemeriksaan ultrasound boleh dijalankan bagi menilai kesihatan organ-organ yang terdapat dalam bahagian berikut:
- Kepala
- Leher
- Toraks
- Abdomen and pelvis
- Wanita hamil
- Tulang dan sendi
Keputusan Pemeriksaan Ultrasound
Semasa pemeriksaan dilakukan imej-imej akan dihasilkan dan dipaparkan ke skrin computer. Imej-imej yang dihasilkan ini akan dibuat diagnosis (laporan) oleh pakar yang menjalankan pemeriksaan tersebut. Biasanya laporan akan dibuat sejurus selepas tamat imbasan dilakukan.
Pengalaman Menjalani Pemeriksaan Ultrasound
Pemeriksaan ultrasound adalah selamat dan cepat dilakukan. Biasanya pesakit tidak akan merasa sakit. Pemeriksaan ultrasound tidak melibatkan radiasi dan selamat dilakukan. Tiada kesan sampingan yang dilaporkan. Sebab itulah juga pemeriksaan ultrasound diberi keutamaan bagi pemeriksaan ke atas kanak-kanak dan wanita hamil.
Semakan Akhir | : | 11 November 2013 |
Penulis | : | Barnabas Jampi Agan |
Akreditor | : | Daud bin Ismail |