Pengenalan
Penanda jantung adalah bahan yang dikeluarkan oleh jantung ke dalam darah akibat kecederaan atau tekanan pada tisu otot jantung. Ujian penanda jantung ini bertujuan untuk membantu mengesan sindrom koronari secara akut (ACS) dan iskemia jantung, iaitu keadan dimana kekurangan bekalan darah disalurkan ke dalam jantung. Selain itu, ia digunakan untuk memantau perkembangan status individu yang disyaki sindrom koronari secara akut dan iskemia jantung. Ujian ini penting bagi membantu pakar perubatan memberi rawatan yang sesuai untuk membezakan serangan jantung daripada angina, kegagalan jantung atau penyakit lain yang tidak berkaitan dengan jantung yang mungkin mempunyai tanda-tanda dan gejala yang sama tetapi rawatan adalah berbeza.
Punca berlakunya penyakit sindrom koronari akut dan iskemia jantung adalah disebabkan oleh pembentukan plak pada dinding arteri dan pengerasan arteri (atherosclerosis). Justeru itu, saluran arteri akan menjadi semakin sempit sehinggalah ia menyebabkan aliran darah tersumbat secara tiba-tiba. Apabila aliran darah ke jantung tersekat atau berkurangan bagi tempoh masa yang lama (biasanya lebih daripada 30-60 minit), ia boleh menyebabkan sel-sel otot jantung mati. Keadaan ini dikenali sebagai infarksi miokardium akut atau lebih dikenali sebagai serangan jantung. Sel-sel otot jantung yang telah mati tidak boleh dipulihkan dan ia akan menjadi parut pada jantung. Kadangkala serangan jantung secara tiba-tiba akan menjurus kematian disebabkan oleh denyutan jantung yang tidak teratur (aritmia).
Setiap tahun, berjuta-juta pesakit mendapatkan rawatan berkaitan dengan penyakit sakit dada di jabatan kecemasan tetapi hanya kira-kira 10 peratus sahaja disahkan mendapat serangan jantung. Mengikut persetujuan European Society of Cardiology (ESC) dan The American College of Cardiology (ACC), kriteria bagi pendiagnosan serangan jantung telah ditakrifkan semula iaitu sekurang-kurangnya 2 daripada 3 ciri-ciri berikut perlu dipatuhi: (1) gejala yang tipikal; (2) Nilai penanda jantung menunjukkan trend kenaikan dan kemudian penurunan (contohnya, MB isoenzymes creatine kinase) atau, sebaik-baiknya,Troponin (T atau I); atau (3) Elektrokardiogram (ECG) yang tipikal.
Ujian Penanda Jantung (Cardiac Biomarkers Tests)
Ujian penanda jantung yang biasa digunakan bagi pendiagnosan dan pemantauan individu yang disyaki menghidap penyakit sindrom koronari akut (ACS) adalah Creatine Kinase (CK dan CK-MB), Troponin (I or T), Myoglobin, hsCRP, BNP dan sebagainya. Kesemua ujian yang tersenarai boleh diuji dengan menggunakan sampel darah dan dijalankan dengan menggunakan mesin.
Creatine Kinase dan CK-MB
Jenis Sampel : Serum
Creatine kinase (CK) merupakan sejenis enzim yang terdapat dalam tisu jantung, tisu otot dan tisu otak. Kebanyakan enzim ini terdapat dalam tisu jantung dan tisu otot berbanding dengan tisu otak. Oleh sebab itu, ia digunakan sebagai indeks spesifik bagi memantau kecederaan sel-sel tisu jantung dan otot. CK boleh dibahagi kepada tiga jenis isoenzim iaitu isoenzim MM, BB dan MB, dimana tisu otot mengandungi isoenzim MM; tisu jantung mengandungi isoenzim MM dan MB serta tisu otak mengandungi isoenzim BB. Apabila berlakunya serangan jantung, paras CK mungkin normal tetapi paras CKMB akan menunjukkan peningkatan. Secara umum, paras CK akan meningkat selepas 2-6 jam ketika berlakunya kecederaan pada tisu, mencapai puncak pada 18-36 jam dan akan menurun kepada paras garis dasar selepas 3-6 hari.
Peningkatan isoenzim CKMB memberi gambaran yang lebih jelas tentang berlakunya kecederaan pada sel jantung berbanding dengan CK. Ini adalah disebabkan oleh CKMB yang majoritinya terdapat dalam tisu jantung akan masuk ke dalam darah setelah tisu jantung mengalami kecederaan dan ia akan menunjukkan corak peningkatan yang spesifik. Paras CKMB akan meningkat selepas 4-9 jam selepas berlakunya kecederaan pada tisu, mencapai puncak pada 24 jam dan akan menurun kepada paras garis dasar selepas 48-72 jam. Salah satu kelebihan CKMB adalah parasnya akan meningkat pada jangka masa yang lebih lama berbanding dengan penanda jantung lain, maka ia sesuai digunakan bagi mengesan berlakunya serangan jantung berulang.
Walau bagaimanapun, ujian penanda jantung ini akan memberi keputusan yang kurang tepat disebabkan beberapa faktor pengganggu. Peningkatan paras CK mungkin disebabkan oleh keadaan selepas senaman yang teruk, angkat berat, prosedur pembedahan yang merosakkan tisu otot, minum arak, kelahiran bayi dan sampel darah yang telah hemolisis. Selain daripada itu, ahli senaman akan mempunyai paras CK yang lebih tinggi disebabkan oleh berat tisu otot yang lebih besar.
Jadual 1: Julat rujukan bagi Creatine Kinase (CK) dan CKMB. Diperolehi dari Chernecky, C. and Berger, B. (2008)
Keputusan yang diperolehi akan bergantung kepada kaedah yang digunapakai dalam makmal dan ia perlu dibandingkan dengan nilai rujukan makmal masing-masing.
Creatine Kinase (CK) | Unit CU | Unit SI |
Perempuan Dewasa | <80U/L | <1.33 mkat/L |
Lelaki Dewasa | <90 U/L | <1.50 mkat/L |
Bayi baru lahir | <200 U/L | <3.33 mkat/L |
% Total CK | Pecahan Total CK | |
CKMB | 0-6 | 0-0.06 |
Troponin T (cTnT) : Troponin I (cTnI)
Jenis Sampel : Serum
Troponin adalah penanda spesifik kepada jantung disebabkan ia terdapat dalam kuantiti yang tinggi dalam tisu jantung. Terdapat dua jenis Troponin iaitu Tropinin T dan Troponin I. Kedua-dua jenis troponin ini boleh dikesan dalam darah setelah tisu jantung mengalami kecederaan. Kehadiran Troponin dalam darah akan memberi gambaran yang lebih spesifik kepada kecederaan pada tisu jantung disebabkan ia tidak dapat dikesan di dalam darah individu yang sihat dan kadar peningkatan paras yang cepat (boleh dikesan dalam darah selepas satu jam setelah tisu jantung mengalami kecederaan) membolehkan ia digunapakai dalam pengesanan serangan jantung pada peringkat awal. Paras Troponin akan menurun ke paras normal dalam masa 5 hingga 7 hari. Troponin ini digunakan dengan meluaskan disebabkan ia boleh membezakan pesakit yang mengalami kecederaan pada jantung dengan pesakit yang mengalami sakit dada.
Kedua-dua Troponin mempunyai cirri-ciri tersendiri. Paras Troponin I meningkat dalam jangkamasa yang lebih panjang dan lebih spesifik berbanding dengan CKMB. Troponin T pula adalah lebih sensitif berbading dengan troponin I. Walau bagaimanapun, penanda jantung ini masih terdapat beberapa faktor pengganggu yang akan memberi keputusan yang kurang tepat. Peningkatan paras troponin T mungkin disebabkan oleh penyakit buah pinggang dan trauma tetapi tidak dipengaruhi oleh pembedahan ortopedik atau paru-paru.
Jadual 2: Julat rujukan bagi Troponin. Diperolehi dari Chernecky, C. and Berger, B. (2008).
Keputusan yang diperolehi akan bergantung kepada kaedah yang digunapakai dalam makmal dan ia perlu dibandingkan dengan nilai rujukan makmal masing-masing.
Unit CU | Unit SI | |
Troponin I | ||
Negatif | <0.5 ng/mL | <0.5 µg/L |
Indeterminate atau kemungkinan terdapat kecederaan pada otot jantung |
0.5-2.3 ng/mL | 0.5-2.3 µg/L |
Positif bagi kecederaan pada otot jantung |
>2.3 ng/mL | >2.3 µg/L |
Troponin T | <0.1 ng/mL | <0.1 µg/L |
Myoglobin
Jenis sampel: Serum
Myoglobin adalah sejenis protein dalam tisu jantung dan otot rangka, Ia berfungsi sebagai tempat penyimpanan sementara bekalan oksigen. Peningkatan paras myoglobin dalam serum boleh dikesan selepas 30-60 minit setelah berlakunya kecederaan pada tisu otot atau serangan jantung. Maka, serum myoglobin dapat dikesan lebih awal berbanding dengan CK atau CKMB setelah berlakunya serangan jantung tetapi kelemahan penanda jantung ini adalah ia kurang spesifik disebabkan ia terdapat dalam otot rangka selain daripada tisu jantung.
Walau bagaimanapun, penanda jantung ini masih terdapat beberapa faktor pengganggu yang akan memberi keputusan yang kurang tepat Peningkatan paras myoglobin mungkin disebabkan oleh pengambilan cocaine dan masalah penyakit buah pinggang di mana serum myoglobin terkumpul dalam darah. Selain itu, julat rujukan serum myoglobin bagi lelaki adalah lebih tinggi berbanding dengan perumpuan tetapi peningkatan paras serum myoglobin adalah sama bagi kedua-dua jantina.
Jadual 3: Julat rujukan bagi serum myoglobin. Diperolehi dari Chernecky, C. and Berger, B. (2008). Keputusan yang diperolehi akan bergantung kepada kaedah yang digunapakai dalam makmal dan ia perlu dibandingkan dengan nilai rujukan makmal masing-masing.
Serum Myoglobin | Unit CU | Unit SI |
Lelaki | 28-72 ng/ml | 1.43-3.67 nmol/L |
Perempuan | 25-58 ng/ml | 1.28-2.96 nmol/L |
C-Reactive Protein (CRP) and High-Sensitivity C-Reactive Protein (hs-CRP)
Jenis Sampel : Serum or plasma
Apabila berlakunya keradangan, sejenis protein iaitu C-reactive protein (CRP) akan hadir di dalam darah. CRP ini merupakan sejenis protein pada fasa akut yang paling sensitif kepada keradangan. Paras CRP akan meningkat lebih dari seratus kali ganda setelah mengalami trauma yang teruk, keradangan, pembedahan atau proliferasi neoplastik. CRP telah lama digunapakai untuk menilai aktiviti penyakit keradangan, mengesan berlakunya jangkitan kuman selepas pembedahan, penolakan transplan dan memantau proses keradangan.
Terdapat dua kaedah dalam pengujian CRP. Kaedah pertama adalah dengan menguji paras CRP dalam julat yang lebar iaitu sebanyak 0.3 hingga 20 mg/dl supaya ia dapat membantu mengesan pesakit yang menghidapi jangkitan secara akut.Kaedah kedua adalah dengan memperkenalkan ujian high-sensitivity CRP (hs-CRP). hs-CRP adalah satu ujian yang sangat sensitif, di mana ia berupaya mengesan paras CRP yang sangat minima (0.01mg/dL). Ini adalah penting dalam memantau kejadian berkaitan dengan penyakit jantung terutamanya bagi memantau risiko berlakunya serangan jantung bagi pesakit sindrom koronari akut (ACS). Walau bagaimapun, ujian CRP dan hs-CRP tidak sesuai diuji bagi individu yang menghidapi keradangan berpanjangan seperti penyakit arthritis.
Jadual 4: Julat rujukan bagi CRP dan hs-CRP. Diperolehi dari Chernecky, C. and Berger, B. (2008) Keputusan yang diperolehi akan bergantung kepada kaedah yang digunapakai dalam makmal dan ia perlu dibandingkan dengan nilai rujukan makmal masing-masing.
Unit CU | ||
CRP | ||
Kualitatif | Negatif | |
Kualitatif (Dewasa) | <8 µg/ml or <0.8 mg/ml | |
hs-CRP | ||
Risiko yang Rendah | <1.0 mg/dL | |
Risiko yang Sederhana | 1.0-3.0 mg/dL | |
Risiko yang Tinggi | >3.0 mg/dL |
Brain Natriuretic Peptide (BNP)
Jenis Sampel : Plasma
Natriuretic peptides adalah sejenis bahan yang dihasilkan oleh badan. Ia memainkan peranan penting dalam membantu mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan. Brain atau B-type natriuretic peptide (BNP) yang terdapat dalam tisu jantung akan hadir di dalam darah apabila reseptor isipadu jantung mengalami keregangan akibat peningkatan isipadu darah pada jantung. Maka, BNP adalah sejenis penanda jantung yang digunapakai dalam pengdiagnosan kegagalan jantung kongestif. Paras BNP digunapakai sebagai satu penanda jantung dalam meramal kegagalan fungsi jantung kerana ia menunjukkan korelasi dengan pesakit jantung yang mengalami mortaliti kardiovaskular.
Walau bagaimanapun, penanda jantung ini masih terdapat beberapa faktor pengganggu yang akan memberi keputusan yang kurang tepat. Keputusan akan menjadi tidak sah jikalau sampel ujian mengalami hemolisis atau tidak disimpan dalam ais sebelum diproses. Selain itu, perempuan yang berumur lebih daripada 75 tahun akan mempunyai kebarangkalian mendapat keputusan positif palsu.
Jadual 5: Julat rujukan bagi BNP. Diperolehi dari Chernecky, C. and Berger, B. (2008)
Keputusan yang diperolehi akan bergantung kepada kaedah yang digunapakai dalam makmal dan ia perlu dibandingkan dengan nilai rujukan makmal masing-masing.
BNP | Immunofluorescence Assay | Unit SI |
Lelaki | ||
<45 tahun | <25 pg/mL | <25 ng/L |
45-54 tahun | <4 pg/ml | <4 ng/L |
55-64 tahun | <73pg/ml | <73 ng/L |
64-74 tahun | <64 pg/mL | <64 ng/L |
?75 tahun | <79 pg/ml | <79 ng/L |
Perempuan | ||
<45 tahun | <48 pg/mL | <48 ng/L |
45-54 tahun | <73 pg/ml | <73 ng/L |
55-64 tahun | <82 pg/ml | <82 ng/L |
64-74 tahun | <96 pg/mL | <96 ng/L |
?75 tahun | <181 pg/ml | <181 ng/L |
Rujukan
- Lab tests Online Editorial Review Board (Reviewed and modified 2015 June 12). Cardiac Biomarkers. Lab Tests Online information at https://labtestsonline.org/understanding/analytes/cardiac-biomarkers/ Accessed June 2015.
- Chernecky, C. and Berger, B. (2008). Laboratory Tests and diagnostic procedures, Fifth Edition. Saunders Elsevier, St Louis, Missouri. Pp 298-300, 392-396, 1116-1117, 802-806
- Lewandrowski, K., Chen, A. And Januzzi, J. Cardiac markers for myocardial infarction, a brief review. Am J Clin Pathol 2002;118(Sippl 1): S93-S99.
- Fischbach, F. (2004). A manual of laboratory and diagnostic tests, Seventh Edition. Lippincott Williams & Wilkins, A Wolters Kluwer Company. Pp 362-364, 396-401, 604-605, 113-114
- Marshall, W. and Bangert, S. (2008). Clinical Chemistry, Sixth Edition. Mosby Elsevier, an imprint of Elsevier Limited. Pp 287
- Kumar, P. & Clark, M. (2005). Clinical Medicine, Sixth Edition. Elsevier Saunders. Elsevier Limited 2005. Pp 789, 809
Semakan Akhir | : | 31 Januari 2016 |
Penulis/Penterjemah | : | Chew Swee Ming |
Akreditor | : | Sabab bin Hashim |