Pengenalan
Pendedahan kepada cahaya matahari dipengaruhi oleh bentuk muka bumi, iklim, hari dan tahun. Negara yang berhampiran dengan khatulistiwa dan berada pada ketinggian yang lebih tinggi, akan menerimalebih ultraungu (UV). Pendedahan kepada cahaya matahari adalah paling tinggi semasa musim panas. Sinar matahari menjadi paling terik antara jam 10 pagi hingga 4 petang.
Melakukan aktiviti luar samada di atas salji mahupun pasir boleh memantulkan cahaya UV dan meningkatkan risiko panahan matahari (sinaran UV dari atas dan bawah). Terdapat banyak ubat-ubatan (contohnya, diuretik, tetracycline, doxycycline, antibiotik sulfa, ubat anti-radang bukan steroid dan lain-lain) boleh meningkatkan sensitiviti kulit terhadap cahaya matahari dan meningkatkan risiko mendapat ruam fototoksid (sama seperti panahan matahari). Selain kulit, mata boleh terbakar akibat pendedahan kepada sinaran matahari yang kuat.
Mereka yang bekerja luar bangunan atau melakukan rekreasi adalah berisiko (contohnya bermain golf, berkebun atau belayar) terhadap panahan matahari.
Tanda dan gejala
Kerosakan kulit akibat sinaran matahari boleh meningkat. Kulit menjadi gelap menandakan kulit cuba untuk melindungi tubuh daripada kerosakan yang lebih teruk. Mata yang terdedah kepada cahaya matahari yang melampau boleh menyebabkan keratitis akut (contohnya: snow blindness).
Komplikasi
Kesan buruk jangka panjang
- Kanser kulit (karsinoma dan melanoma malignan)
- Katarak selepas kerosakan jangka panjang
- Penuaan kulit, terutamanya disebabkan oleh sinaran UV yang menembusi jauh ke dalam kulit
Rawatan
- Minum air dengan banyak untuk mengelakkan dehidrasi
- Sapukan pelembap/losyen pada kulit yang kering
- Berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan
Pencegahan dan langkah berjaga-jaga
Nasihat khusus untuk mengelakkan kesan buruk pendedahan cahaya matahari termasuk: –
Losyen pelindung matahari
Sapukan losyen pelindung matahari sekurang-kurangnya 20 minit sebelum berjemur. Sapu semula sekurang-kurangnya setiap dua (2) jam dan setiap kali selepas badan terkena air atau berpeluh. Jangan sekali-kali berada di bawah cahaya matahari untuk tempoh yang lama. Losyen pelindung matahari hanya berkesan dalam tempoh yang terhad. Losyen pelindung matahari semata-mata tidak boleh mencegah berlakunya kanser. Kepekatan minimum yang perlu digunakan adalah SPF 15.
Alat pelindung matahari
Pakai alat perlindung matahari seperti cermin mata hitam, pakaian fabrik (kain) bertenun dan topi yang menutupi leher, telinga dan belakang leher. Seboleh-bolehnya, lindungi kanak-kanak di tempat yang teduh dan pakaikan mereka pakaian 100% kapas yang longgar.
Perubahan gaya hidup
Sesetengah orang menganggap berkulit gelap itu bergaya. Walau bagaimanapun, perubahan gaya hidup serta bersederhana dalam semua perkara boleh membantu mengurangkan risiko kanser kulit. Elakkan berjemur di bawah cahaya matahari antara jam 10 pagi hingga 4 petang.
Pendedahan kepada cahaya matahari secara beransur-ansur adalah jauh lebih selamat. Berlindunglah dari panahan matahari dengan berada di tempat yang teduh seperti di bawah pokok terutama bagi kanak-kanak berusia di bawah enam (6) bulanMinum minuman bukan alkohol semasa berjemur untuk mengelakkan dehidrasi. Jika anda mengambil sebarang ubat, pastikan samada ia boleh menjadikan kulit anda lebih sensitif kepada cahaya matahari atau sebaliknya.
Sumber
- International Travel & Kesihatan, WHO 2006
- www.dph.gov.my / CDC / childhoodimmunisation
Semakan Akhir | : | 19 Jun 2013 |
Penulis | : | Dr. Norhayati Rusli |