Takrifan Aduan
Aduan produk adalah aduan yang diterima oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi berkenaan produk ubat-ubatan di Malaysia dan juga perkara lain yang berkaitan dengan aktiviti penguatkuasaan farmasi. Aduan ini tidak termasuk aduan terhadap perkhidmatan oleh pegawai penguatkuasa farmasi atau pegawai lainnya.
Bagi setiap aduan yang diterima, pengesahan penerimaan aduan akan diberikan. Kemudian, aduan tersebut akan disiasat bagi menentukan kesahihannya. Pengadu akan dihubungi semula apabila siasatan terhadap aduan telah selesai.
Jenis Aduan
Antara aduan yang diterima adalah berkenaan ubat berdaftar, ubat tidak berdaftar, kosmetik, iklan ubat-ubatan dan etika profesional.
- Aduan Ubat Berdaftar
Bahagian ini ada menerima aduan berkenaan ubat-ubatan yang telah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia. Aduan boleh terdiri daripada aduan berkenaan penyalahgunaan ubat berdaftar, penjualan tanpa mengikut peraturan, label produk yang dikhuatiri tidak mengikut spesifikasi dan sebagainya.
- Aduan Ubat Tidak Berdaftar
Kebanyakan aduan yang diterima oleh Bahagian ini adalah dalam kategori ubat yang tidak berdaftar dengan PBKD. Ini termasuklah aduan berkenaan produk ubat-ubatan tradisional, ubat perangsang seks, ubat kurus dan lain-lain yang dijual di kedai-kedai jamu, pasar, di kaki lima dan atas talian.
- Aduan Ubat Kaunterfit
Aduan berkenaan ubat kaunterfit atau tiruan terutamanya daripada penjual yang meragukan dan kadangkala diimport dari luar negara. Ubat kaunterfit boleh memudaratkan pengguna misalnya ketika ubat yang diberikan untuk merawat sesuatu penyakit mungkin tidak berkesan kerana ubat tersebut palsu.
- Aduan Produk Makanan Mengandungi Racun
Secara umumnya, produk-produk makanan tidak tertakluk di bawah Bahagian ini. Akan tetapi, apabila sesuatu produk makanan membuat tuntutan perubatan atau tuntutan melampau, memberi kesan yang meragukan dan harga yang tidak munasabah, maka Bahagian ini boleh menjalankan siasatan berdasarkan aduan orang ramai.
- Aduan Iklan
Bahagian ini juga menerima aduan berkenaan iklan ubat-ubatan yang tidak diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU), membuat tuntutan melampau dan melanggar Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956, sama ada di media cetak mahupun di media elektronik.
- Aduan Kosmetik
Aduan berkenaan produk kosmetik yang diterima di Bahagian ini melibatkan aduan produk kosmetik yang tidak bernotifikasi. Terdapat juga aduan produk kosmetik yang disyaki mengandungi racun berjadual dan melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
- Aduan Berkenaan Etika Doktor atau Ahli Farmasi
Selain daripada kategori-kategori aduan di atas yang melibatkan produk ubat-ubatan, terdapat juga aduan berkenaan doktor atau ahli farmasi yang melanggar etika sewaktu proses membekalkan ubat kepada pesakit.
- Lain-lain aduan berkaitan aktiviti penguatkuasaan farmasi.
Cara Membuat Aduan
Aduan boleh diterima melalui telefon, datang sendiri, emel dan surat. Maklumbalas pengadu akan diberikan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pengadu sama ada alamat, nombor telefon atau alamat emel.
Secara keseluruhan daripada sejumlah 759 aduan yang diterima bagi tahun 2013, sebanyak 48.10% adalah aduan ubat tidak berdaftar dan 10.10% adalah aduan kosmetik manakala selebihnya 7.5% (ubat berdaftar),3.8% (ubat kaunterfit), 8.7% (makanan dicampur racun), 6.5% (iklan), 4.2% (etika doktor), 6.1 (etika ahli farmasi) dan 5% (lain-lain).
Untuk sebarang aduan, sila hubungi:
Bahagian Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Lot 36, Jalan Universiti, 46350 Petaling Jaya, Selangor.
Tel: 03-78413200
Laman sesawang: www.pharmacy.gov.my
Emel: pharmacy1@moh.gov.my
Selain daripada ibu pejabat, pengguna juga boleh membuat aduan di Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) setiap negeri.
Negeri
|
No. Telefon Pejabat
|
---|---|
Perlis | 04-976 5033 |
Kedah | 04-774 1000 |
Pulau Pinang | 04-229 2319 |
Perak | 05-533 7318 |
Selangor | 03-5510 1051 |
WP Kuala Lumpur | 03-2694 0701 |
Negeri Sembilan | 06-766 4800 |
Melaka | 06-234 5979 |
Johor | 07-227 2800 |
Pahang | 09-570 7737 |
Terengganu | 09-622 2627 |
Kelantan | 09-773 0586 |
Sabah | 088-257 258 |
Sarawak | 082-473 348 |
WP Labuan | 087-411 416 |
Rujukan
- Garis Panduan Pengendalian Aduan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi 2012, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Semakan Akhir | : | 11 Jun 2014 |
Penulis | : | Nurhafizah bt. Hasan |
Akreditor | : | Mazlan bin Ismail |