Pengenalan
Di Malaysia, beberapa penyakit berjangkit telah diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi, iaitu dalam kategori Hazard Group 3 dan Hazard Group 4. Kategori Hazard Group 3 merangkumi penyakit seperti COVID-19, Tuberkulosis, Human Immunodeficiency Virus (HIV), Hepatitis B, dan Hepatitis C, manakala kategori Hazard Group 4 merangkumi penyakit berbahaya tinggi seperti Ebola, Marburg, Virus Nipah, Lassa, dan Demam Hemoragik Congo-Krimia, yang kebanyakan tiada rawatan yang berkesan.
Kategori Hazard Group 3 dan 4 dianggap sebagai kes biohazard berisiko tinggi untuk pengurusan mortuari. Pengkelasan ini berdasarkan potensi dan kesan serius ke atas individu dan risiko penularan kepada masyarakat. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa pengkelasan dan panduan bagi penyakit berjangkit boleh berubah mengikut perkembangan semasa oleh pihak berkuasa, dan adalah penting untuk kita merujuk kepada maklumat terkini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia atau pihak berkuasa yang relevan untuk pengkelasan terkini mengenai penyakit berjangkit dan garis panduan yang berkaitan.
Walaupun COVID-19 telah diisytiharkan sebagai endemik, adalah penting untuk memahami cara mengendalikan jenazah atau mayat penyakit berjangkit dalam kes-kes berisiko tinggi seperti COVID-19, kerana ia boleh membawa ancaman serius kepada orang awam. Langkah-langkah keselamatan yang betul dalam pengendalian kes-kes tersebut adalah penting untuk melindungi anggota kesihatan dan masyarakat daripada risiko penularan.
Penerimaan Jenazah / Mayat dari Wad Hospital
Staf di wad bertanggungjawab untuk memaklumkan bilik mayat sekiranya terdapat kes-kes yang disyaki, mungkin atau disahkan sebagai kes biohazard berisiko tinggi. Selain itu, staf di wad juga perlu melampirkan tag biohazard pada mayat semua individu yang termasuk dalam kategori biohazard berisiko tinggi. Staf di wad juga harus menutup luka yang terdapat pada mayat semasa upacara terakhir atau last rite.
Anggota kesihatan yang terlibat dalam penghantaran mayat harus diingatkan supaya tidak merokok, makan atau minum semasa proses ini, dan mereka perlu mengelak daripada menyentuh mulut, mata atau hidung. Pemakaian pakaian perlindungan diri yang minimum adalah wajib bagi semua anggota kesihatan untuk mengurangkan risiko jangkitan.
Selain itu, sebarang tumpahan cecair daripada beg mayat harus dielakkan sepenuhnya sehingga proses dekontaminasi yang betul dapat dilakukan di bilik mayat. Bagi kes yang disyaki, mungkin atau disahkan biohazard berisiko tinggi, mayat mesti dibalut dengan sehelai linen putih dan dua lapisan beg mayat.
Untuk memastikan kawalan biohazard yang betul dan penyahjangkitan, adalah penting untuk menyahkuman beg mayat dengan teliti, terutama di kawasan zip, menggunakan bahan pencuci yang sesuai seperti 0.5% sodium hipoklorit. Langkah ini penting untuk menghalang penularan agen penyakit berjangkit dan memastikan persekitaran yang selamat untuk pengendalian mayat.
Anggota kesihatan yang terlibat dalam penghantaran mayat bagi kes biohazard berisiko tinggi harus memakai sarung tangan, baju sut badan pakai buang, apron plastik, but getah, dan topeng N95 sebagai pakaian perlindungan diri mereka. Selain itu, troli yang digunakan untuk membawa mayat harus didekontaminasi dengan menggunakan larutan yang sesuai selepas setiap kali penggunaan untuk mengelakkan pencemaran potensi. Untuk mengurangkan risiko jangkitan, semua peralatan yang digunakan untuk penghantaran harus diasingkan menggunakan larutan klorin dan sodium hipoklorit 70%.
Penerimaan Jenazah/Mayat dari Luar Fasiliti Hospital (Kes Brought in Dead (BID))
Sebagai langkah keselamatan, adalah penting untuk tidak membuka beg mayat yang diterima dari pihak polis tanpa arahan daripada pegawai perubatan atau pakar patologi forensik. Langkah ini adalah penting untuk mencegah sebarang risiko atau potensi pencemaran.
Proses pengendalian penerimaan jenazah/mayat penyakit berjangkit dari fasiliti luar hospital adalah sama seperti prosedur prosedur penerimaan jenazah dari wad hospital.
Penyimpanan Jenazah / Mayat
Jenazah/mayat kes-kes biohazard akan disimpan dengan segera dalam peti sejuk mayat khusus pada suhu 4°C setelah diterima di bilik mayat. Namun, jika bedah siasat tidak diperlukan, jenazah/mayat akan diserahkan kepada waris dalam tempoh yang ditetapkan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Untuk memastikan identiti dan keselamatan, semua jenazah/mayat kes biohazard yang disimpan harus ditandakan dengan tag biohazard pada pintu peti sejuk mayat. Anggota kesihatan yang terlibat dalam pengendalian mayat dikehendaki mematuhi langkah berjaga-jaga dan memakai pakaian perlindungan diri termasuk topeng muka (N95/100), sut badan pakai buang, apron plastik, sarung tangan dan but getah.
Apabila menerima mayat, anggota kesihatan bertanggungjawab untuk mendaftarkan mayat, mengesahkan identiti, dan melabelkan jenazah/mayat dengan tag biohazard dan melabel peti sejuk mayat dengan label yang sesuai. Label-label ini haruslah sepadan untuk memudahkan identifikasi jenazah/mayat dalam peti sejuk mayat masing-masing.
Sekiranya waris waris bersedia untuk menerima jenazah/mayat berkenaan, jenazah/mayat boleh diserahkan kepada waris secepat mungkin, dan Inspektor Kesihatan Awam haruslah menyelia proses penyerahan mayat. Walau bagaimanapun, untuk jenazah/mayat yang tiada waris, anggota kesihatan harus mengesahkan identiti tag mayat dan melabelkan peti sejuk mayat dengan tag yang sepadan sebelum penyimpanan.
Sebelum menyimpan mayat dalam peti sejuk mayat, anggota kesihatan harus memastikan peti sejuk mayat berfungsi dengan baik dan sentiasa berada di dalam keadaan optimum. Langkah-langkah ini penting untuk mengekalkan integriti jenazah/mayat kes biohazard dan memastikan keselamatan anggota kesihatan dan orang ramai.
Pemeriksaan Bedah Siasat Jenazah / Mayat
Pemeriksaan bedah siasat bagi kes berisiko tinggi hanya akan dijalankan jika Borang Permintaan Pemeriksaan Mayat, Polis 61 Pindaan 4/68 (Appendix 10) diterima.
Garis panduan menyarankan dengan tegas agar pemeriksaan bedah siasat bagi kes yang disyaki atau disahkan sebagai kes Hazard Group 3 tidak dijalankan di bilik autopsi yang tidak memenuhi piawaian keselamatan yang minimum seperti mempunyai sistem pengudaraan yang baik serta peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai. Pemeriksaan bedah siasat bagi kes berkaitan dengan wabak Hazard Group 3 seperti SARS hanya boleh dijalankan di bilik autopsi Biosafety Level-3 (BSL-3), dan dikategorikan sebagai kes biohazard berisiko tinggi.
Pemeriksaan bedah siasat bagi kes yang disyaki atau disahkan sebagai jangkitan Hazard Group 4 hanya boleh dijalankan di bilik autopsi Biosafety Level-4 (BSL-4), yang pada masa ini masih tiada di Malaysia.
Pemeriksaan bedah siasat bagi kes-kes patogen yang tidak diketahui, harus dijalankan oleh pakar perubatan forensik di bilik autopsi Biosafety Level-2+ (BSL-2+) atau BSL-3. Fasiliti ini mempunyai ciri-ciri khas seperti kawasan pintu masuk dan keluar yang berasingan, sistem pengudaraan berasingan dengan bilik bertekanan negatif, sistem pengurusan pembuangan sisa klinikal yang berasingan, serta ruang dekontaminasi untuk anggota yang terlibat.
Sebelum menjalankan pemeriksaan bedah siasat, penilaian risiko pra-autopsi adalah penting untuk menentukan keperluan fasiliti bilik autopsi yang sesuai dan langkah berjaga-jaga yang perlu. Penggunaan peralatan perlindungan diri dan langkah keselamatan yang betul adalah penting untuk keselamatan anggota kesihatan. Amat penting untuk mematuhi langkah-langkah keselamatan walaupun keputusan ujian pra-autopsi bagi penyakit berjangkit memberikan hasil yang negatif. Pematuhan terhadap langkah-langkah keselamatan akan membantu memastikan keselamatan anggota kesihatan yang terlibat dan meminimumkan risiko pendedahan kepada patogen berbahaya semasa prosedur pemeriksaan bedah siasat.
Bagi kes biohazard berisiko tinggi, seperti Hepatitis C, HIV, dan tuberculosis, pakaian perlindungan diri yang khusus adalah diperlukan, termasuk topeng muka (N95/100), sut badan pakai buang, apron plastik, sarung tangan, but getah, dan sebagainya, sekiranya perlu.
Anggota kesihatan yang menjalankan pemeriksaan bedah siasat bagi kes berisiko tinggi harus menerima latihan yang mencukupi dalam teknik-teknik bedah siasat dan prosedur keselamatan. Pemeriksaan bedah siasat akan dijalankan oleh pakar patologi forensik dan dibantu oleh dua anggota kesihatan. Untuk meminimumkan risiko jangkitan, jumlah kakitangan yang terlibat dalam pemeriksaan haruslah diminimumkan (tidak lebih daripada 3 orang).
Selepas pemeriksaan bedah siasat, pakaian perlindungan diri yang telah digunakan hendaklah dibuang dengan betul mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Anggota kesihatan juga haruslah mematuhi prosedur hand hygiene. Instrumen dan fasiliti harus dibersihkan dan didekontaminasi. Produk sisa klinikal, termasuk pakaian perlindungan diri, akan dilabel sebagai sebagai sisa klinikal berisiko tinggi dan akan diuruskan secara berasingan daripada sisa klinikal biasa. Jenazah/mayat penyakit berjangkit yang telah selesai dibedah siasat akan diletakkan dalam dua lapisan beg mayat, ditutup rapi, dan ditandakan sebagai jenazah/mayat biohazard.
Pengendalian Spesimen Bedah Siasat
Pakar perubatan forensik akan menentukan keperluan untuk mengambil spesimen dan sama ada spesimen tersebut adalah spesimen medikolegal. Jika spesimen tersebut adalah bukan medikolegal, spesimen tersebut akan diambil dan dihantar untuk analisis ke makmal yang berkaitan. Bagi spesimen medikolegal, spesimen tersebut akan dimeterai dan dilabel sebelum diserahkan kepada pihak polis, dengan resit pengakuan disimpan mengikut prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia. Pihak polis bertanggungjawab untuk menghantar spesimen medikolegal kepada makmal yang berkaitan.
Semua spesimen biologi yang diambil semasa pemeriksaan bedah siasat dianggap sebagai spesimen biohazard dan harus dikendalikan dengan sewajarnya. Spesimen tisu manusia dan cecair badan yang diambil untuk analisis patologi dan toksikologi harus diletakkan di dalam bekas yang telah ditetapkan dan dikendalikan sebagai spesimen biohazard.
Beberapa contoh spesimen bukan medikolegal yang diambil untuk analisis patologi adalah termasuk cecair serebrospinal, swab konjunktiva, swab tekak, cecair pleura, dan lain-lain. Spesimen medikolegal yang selalu diambil adalah darah dan air kencing untuk analisis toksikologi.
Proses pengendalian spesimen bermula dengan pengambilan sampel dan meletakkannya di dalam bekas yang kalis bocor, yang berfungsi sebagai lapisan pertama pembungkusan. Penutup bekas ini dibalut atau dimeterai dengan dua lapisan parafilm untuk memastikan penutup ditutup dengan rapi. Sebagai langkah keselamatan tambahan, bekas spesimen tersebut akan disembur dengan disinfektan sodium hipoklorit 10%.
Kemudian, bekas spesimen tersebut akan diletakkan di dalam bekas lain ataupun beg plastik biohazard, yang berfungsi sebagai lapisan kedua pembungkusan. Kemudian, bekas spesimen tersebut akan dipindahkan ke dalam bekas pelbagai guna atau multipurpose container yang berfungsi sebagai lapisan ketiga pembungkusan. Lapisan luar bekas ini akan didekontaminasi menggunakan semburan disinfektan.
Untuk penghantaran spesimen, bekas spesimen tersebut akan diletakkan di dalam kotak polisterin yang mengandungi paket ais supaya spesimen tersebut kekal pada suhu yang sesuai. Penutup kotak itu akan dimeterai dengan pita sebagai jaminan keselamatan. Kotak tersebut seterusnya akan dilabel sebagai BIOHAZARD.
Akhir sekali, lapisan luar kotak polisterin akan didekontaminasi menggunakan semburan disinfektan sebelum dihantar ke makmal yang berkaitan. Sebagai langkah keselamatan, lapisan kedua pembungkusan haruslah menggunakan bekas kalis bocor, manakala kotak polisterin untuk penghantaran spesimen haruslah kukuh untuk melindungi spesimen semasa pengangkutan.
Turut disarankan supaya bekas spesimen tidak dibungkus secara berlebihan kerana ia akan menyukarkan proses membuka bungkusan. Pematuhan terhadap prosedur akan memastikan proses pengendalian dan pengangkutan spesimen biohazard yang selamat untuk analisis di makmal.
Penyerahan Jenazah / Mayat
Penyerahan jenazah/mayat adalah proses penting yang melibatkan pematuhan terhadap garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan. Anggota kesihatan perlu memastikan kehadiran waris atau wakil kepada waris telah bersedia untuk menerima jenazah/mayat. Jika pihak waris atau wakil kepada waris telah bersedia, anggota kesihatan akan meneruskan proses penyerahan jenazah/mayat mengikut garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan.
Penyerahan jenazah/mayat hendaklah dilakukan di ruang yang telah ditetapkan dan bukannya secara terus dari peti sejuk mayat. Ini adalah untuk memastikan proses pengendalian yang betul dan pematuhan terhadap langkah keselamatan bagi mengawal jangkitan untuk melindungi anggota kesihatan dan juga waris atau wakil kepada waris. Dengan menjalankan proses penyerahan di bilik yang ditetapkan, langkah berjaga-jaga dan langkah perlindungan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Amalan mandi kafan bagi jenazah/mayat penyakit berjangkit oleh ahli keluarga adalah tidak digalakkan selepas penyerahan jenazah/mayat. Jika jenazah memerlukan mandi kafan sebelum meninggalkan bilik mayat, waris atau wakil kepada waris yang terlibat haruslah diberikan nasihat yang mencukupi oleh anggota kesihatan atau Inspektor Kesihatan mengenai risiko dan potensi jangkitan. Jika perlu, waris atau wakil kepada waris harus memakai pakaian perlindungan diri yang sesuai semasa menjalankan upacara mandi kafan untuk meminimumkan risiko penularan.
Bagi kes yang berisiko tinggi, seperti kes HIV atau Hazard Group 4, langkah berjaga-jaga tambahan harus diambil semasa proses penyerahan jenazah/mayat. Kes-kes tersebut memerlukan pematuhan terhadap langkah-langkah berjaga-jaga yang ketat dan harus diawasi oleh Inspektor Kesihatan untuk memastikan proses pengendalian jenazah/mayat dan langkah keselamatan yang betul.
Sekiranya waris atau wakil kepada waris hendak melaksanakan upacara, adat atau ritual keagamaan, anggota kesihatan perlulah memastikan upacara, adat atau ritual tersebut mematuhi protokol kawalan jangkitan. Bagi mandi kafan jenazah Islam, hanya individu terlatih yang telah divaksin sepenuhnya dapat terlibat dalam upacara mandi kafan, dan mereka haruslah memakai pakaian perlindungan diri yang sesuai, termasuk topeng N95, sarung tangan, pelindung muka, dan sut badan pakai buang. Ahli keluarga atau saudara-mara yang telah divaksin sepenuhnya dibenarkan memerhati dan membantu upacara mandi kafan dengan memastikan pematuhan ketat terhadap arahan keselamatan, tertakluk kepada kes dan tahap risiko.
Untuk mayat bukan Islam, sekiranya waris atau wakil kepada waris hendak melaksanakan upacara, adat atau ritual keagamaan, pengendalian mayat haruslah dikekalkan pada tahap yang minimum, dan individu yang terlibat harus memakai pakaian perlindungan diri yang sesuai, termasuk topeng N95, sarung tangan, pelindung muka, dan sut badan pakai buang. Proses embalming atau pengawetan mayat tidak digalakkan.
Setelah upacara keagamaan selesai, beg mayat hendaklah disemat atau dizip, dan lapisan luar beg mayat hendaklah didekontaminasi dengan sodium hipoklorit 0.5% untuk mencegah risiko jangkitan.
Semua prosedur keagaman, sama ada bagi jenazah Islam atau bukan Islam, hanya boleh dijalankan oleh agen perkhidmatan pengebumian yang terlatih di bawah pengawasan Inspektor Kesihatan untuk memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan penggunaan pakaian perlindungan diri yang betul. Protokol ini menitikberatkan kawalan jangkitan dan penghormatan terhadap amalan keagamaan dalam proses penyerahan jenazah/mayat.
Pengebumian Jenazah atau Pembakaran Mayat
Panduan untuk pengebumian jenazah atau pembakaran mayat yang berisiko tinggi adalah penting bagi meminimumkan risiko penularan semasa proses pengendalian dan pengebumian. Ahli keluarga tidak digalakkan untuk menyentuh atau mencium jenazah/mayat. Jika jenazah/mayat perlu disentuh sewaktu proses pengurusan jenazah/mayat, maka, langkah berjaga-jaga dan peralatan perlindungan diri yang sesuai harus dipakai oleh ahli keluarga atau pekerja pengurusan jenazah/mayat.
Jenazah/mayat hendaklah diambil dengan segera dari bilik mayat untuk proses pengebumian jenazah/mayat ataupun pembakaran. Bagi mayat bukan Islam, mayat tersebut boleh diletakkan di dalam keranda berpenutup kaca yang kedap udara, untuk membolehkan wajah si mati boleh dilihat dengan mematuhi langkah berjaga-jaga. Walau bagaimanapun, ahli keluarga dilarang membuka keranda atau beg mayat yang telah dimeterai untuk meminimumkan sebarang risiko. Individu yang menjalankan proses pengebumian jenazah/mayat atau pembakaran haruslah terlatih dan memakai peralatan perlindungan diri yang sesuai serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan dan diselia oleh Inspektor Kesihatan.
Kematian yang berlaku di hospital swasta harus mematuhi prosedur pengebumian jenazah/mayat atau pembakaran yang sama seperti yang dinyatakan di atas. Jenazah/mayat dari hospital swasta akan diserahkan terus kepada waris atau wakil kepada waris untuk proses pengebumian jenazah/mayat ataupun pembakaran, yang mana jenazah/mayat akan diletakkan dalam beg plastik dan dimeterai, diletakkan di dalam keranda sebelum dibawa ke tapak pengebumian jenazah atau pembakaran mayat.
Semua prosedur keagamaan, sama ada bagi jenazah Islam atau mayat bukan Islam, hanya boleh dijalankan oleh kakitangan pengurusan jenazah yang terlatih di bawah pengawasan Inspektor Kesihatan, untuk memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan penggunaan peralatan perlindungan diri yang betul. Ini adalah untuk memastikan penghormatan terhadap amalan keagamaan dan juga kawalan jangkitan dalam proses pengebumian jenazah/mayat.
Pengendalian Jenazah / Mayat yang Tidak Dituntut
Jika tiada pihak yang memohon untuk mengambil jenazah/mayat, kakitangan bilik mayat akan menyimpan jenazah/mayat mengikut garis panduan serta prosedur yang telah ditetapkan. Kakitangan bilik mayat juga akan membantu pihak polis dalam mengenal pasti identiti jenazah/mayat dan membuat hebahan atau siaran akhbar.
Untuk jenazah Islam yang tidak diambil dalam tempoh 3 hari, jenazah tersebut akan diklasifikasikan sebagai mayat tidak dituntut dan akan dirujuk kepada badan agama Islam untuk tujuan pengebumian. Begitu juga, mayat bukan Islam yang tidak dituntut dalam tempoh 3 hari akan diklasifikasikan sebagai mayat tidak dituntut dan akan dirujuk kepada badan agama atau pertubuhan kebajikan yang berkenaan untuk proses pengebumian atau pembakaran. Pengarah Hospital akan menandatangani surat penyerahan jenazah/mayat kepada badan agama atau persatuan kebajikan berkenaan setelah mendapatkan kelulusan daripada pihak polis.
Surat makluman akan dihantar kepada badan agama atau persatuan kebajikan berkaitan dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Jika selepas tempoh 2 minggu dan kriteria untuk penyerahan jenazah/mayat tidak dipenuhi, Pengarah Hospital akan memberi kelulusan untuk pengebumian.
Setelah jenazah/mayat yang tidak dituntut diambil oleh wakil yang sah daripada badan agama ataupun persatuan kebajikan berkaitan, bilik mayat akan mengeluarkan permit pengebumian dan menyerahkan jenazah/mayat mengikut garis panduan yang ditetapkan. Prosedur ini untuk memastikan pengurusan dan pengebumian jenazah/mayat yang tidak dituntut yang betul di samping mematuhi garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Penghantaran Jenazah / Mayat ke Negara Lain
Penghantaran jenazah/mayat berisiko tinggi, termasuk kes COVID-19, ke negara lain akan diuruskan mengikut Garis Panduan Pengimportan atau Pengeksportan Mayat Atau Mana-mana Bahagiannya, Edisi Kedua tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta 342, yang menyatakan sesiapa yang hendak mengimport dan mengeksport apa-apa jenazah / mayat, tisu manusia atau mana-mana bahagiannya sama ada masuk atau keluar dari Malaysia memerlukan kebenaran Pegawai Diberi Kuasa.
Pegawai Diberi Kuasa adalah mana-mana Pegawai Kesihatan, Inspektor Kesihatan atau pegawai yang dilantik oleh Menteri di bawah Seksyen 3; Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Waris/wakil bagi pihak waris yang sah dikehendaki untuk membuat permohonan dan mendapatkan kebenaran dari Pegawai yang Diberi Kuasa untuk menghantar jenazah/mayat ke lokasi yang dikehendaki. Permohonan pengimportan atau pengeksportan jenazah/mayat hendaklah mematuhi peraturan, panduan, dan syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh garis panduan tersebut.
Permohonan Permit Mengimport/Mengeksport Mayat boleh dibuat secara atas talian melalui sistem BLESS (www.bless.gov.my). Permit kebenaran hanya akan dikeluarkan sekiranya dokumen-dokumen seperti berikut adalah lengkap:
- Maklumat Pemohon: Salinan Kad Pengenalan atau dokumen perjalanan.
- Sijil/Surat kematian.
- Butir-butir seperti nama, tarikh kematian dan sebab kematian (Nama dan tandatangan Pegawai Perubatan/Forensik).
- Bagi kematian bukan disebabkan oleh penyakit berjangkit perlu dinyatakan dengan jelas bahawa sebab kematian bukan disebabkan penyakit berjangkit.
- Sijil kebenaran pengkebumian.
- Surat Kebenaran Eksport dari kedutaan negara asal.
- Sijil Embalmen
- Lain-lain dokumen (jika perlu), contoh : laporan polis
Setiap permohonan permit adalah terhad untuk urusan satu (1) mayat yang diimport atau dieksport sahaja. Permit ini hanya akan dikeluarkan untuk jenazah/mayat warganegara Malaysia sahaja.
Jenazah berisiko tinggi hendaklah dimasukkan dalam beg mayat sebelum diletakkan ke keranda keranda khusus mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Untuk tujuan pengangkutan, keranda yang digunakan adalah keranda kayu yang mengandungi kotak yang diperbuat daripada zink di dalamnya.
Gambar 1: Kotak yang diperbuat dari zink dalam keranda kayu
Sumber: Garis Panduan Pengimportan atau Pengeksportan Mayat Atau Mana-mana Bahagiannya, Edisi Kedua.
Jenazah/mayat seterusnya akan diletakkan di dalam kotak zink. Penutup kotak zink akan dilak secara hermetik dengan menggunakan sealant di sekeliling penutup dan ditutup dengan menggunakan rivet atau skru. Proses lak ini adalah untuk memastikan bahawa kotak zink kekal utuh dan tidak bocor.
Setelah kotak zink disahkan betul-betul tertutup dan tiada kebocoran, keranda kayu ditutup dan dipakukan. Pengangkutan keranda yang dibawa menggunakan kapal terbang haruslah mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh syarikat penerbangan. Oleh itu, keranda haruslah dibalut dengan kain atau guni seperti yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan. Bagi memastikan integriti keranda dan kandungannya, keranda haruslah diikat dan dilak dengan menggunakan cap rasmi jabatan ataupun sealing wax.
Namun begitu, adalah penting untuk melakukan prosedur kontainmen jika terdapat masalah dengan keranda atau kotak zink. Jika keranda tidak ditutup dengan rapat atau kotak zink tidak dilak dengan betul, tindakan kontainmen segera perlu diambil. Jika terdapat kebocoran, keranda atau kotak zink harus segera ditampal dengan menggunakan sealant untuk mencegah sebarang tumpahan.
Sekiranya terdapat tumpahan, prosedur dekontaminasi haruslah dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Pemilihan dan penggunaan keranda yang sesuai dan sepadan dengan saiz jenazah/mayat adalah penting semasa pengurusan jenazah/mayat berisiko tinggi. Dengan menggunakan keranda yang betul dan melaksanakan prosedur kawalan yang diperlukan, kita dapat mengurangkan risiko yang berkaitan dengan pengendalian jenazah berisiko tinggi dan melindungi semua individu yang terlibat.
Jenazah/mayat perlu dikebumikan atau dibakar secepat mungkin setelah tiba di destinasi yang dikehendaki. Mana-mana peralatan atau kenderaan yang digunakan dalam proses penghantaran jenazah akan didekontaminasi untuk menghalang penyebaran penyakit berjangkit.
Kesimpulan
Pengendalian yang betul terhadap jenazah/mayat penyakit berjangkit yang berisiko tinggi adalah penting untuk keselamatan awam. Mematuhi garis panduan, menggunakan pakaian perlindungan diri, dan mendekontaminasi peralatan adalah langkah penting untuk mengurangkan risiko penularan. Selain itu, adalah perlu bagi mendapatkan kebenaran untuk penghantaran jenazah/mayat ke negara lain untuk memastikan pengurusan jenazah berisiko tinggi dapat dilakukan dengan betul dan selamat yang juga akan melindungi kesihatan awam. Kita semua berperanan dalam mengawal penyebaran penyakit berjangkit dan melindungi komuniti kita.
Rujukan
- Garis Panduan Pengimportan atau Pengeksportan Mayat Atau Mana-mana Bahagiannya, Edisi Pertama, 2006, Edisi Pertama MOH/K/EPI
- Garis Panduan Penyakit Berjangkit Berpotensi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Edisi 1, 2004 (Standard Operating Procedure For Potential Infectious Disease, Ministry of Health Malaysia, First Edition, 2004)
- Guidelines for the Management of Non-muslim Dead Bodies From Health Aspects, AIDS/STD Section, Disease Control Division, Department of Public Health, Ministry of Health Malaysia, 2006
- Infectious Diseases Outbreak, Rapid Response Manual, Disease Control Division, Ministry of Health Malaysia, 1st edition, June 2003
- Policies and Procedures on Infection Control, Ministry of Health Malaysia, Second Edition
- Undang-Undang Malaysia: Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta 342 (Laws of Malaysia: Prevention and Control of Infectious Diseases Act 1988, Act 342)
- Undang-Undang Malaysia: Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593, Seksyen 331, Bab XXXII) (Laws of Malaysia: Criminal Procedure Code, Act 593, Section 331, Chapter XXXII)
Semakan Akhir | : | Februari 2024 |
Penulis / Penterjemah | : | Grace Jinang |
Penyemak | : | Nurazira binti Azizan |