Pengenalan
Penggunaan alat penapis air di rumah menjadi begitu popular kerana kesedaran masyarakat sedar tentang kesihatan mereka dan prihatin terhadap kualiti bekalan air awam.
Apakah jenis-jenis alat penapis air di rumah?
Sistem rawatan air di rumah adalah termasuk pelembut air dan penapis air. Ia terbahagi kepada dua kategori asas iaitu : punca air masuk dan punca air diguna. Kategori punca air masuk akan merawat semua air yang disalur masuk dan yang digunakan di rumah.
Manakala sistem rawatan air kategori punca diguna akan merawat sebahagian air daripada sistem pengaliran air rumah seperti penapis air yang selalunya hanya menggunakan satu kepala paip. Air ini biasanya hanya digunakan untuk minuman dan masakan. Di antara contoh sistem rawatan air kategori punca air diguna adalah penapis air osmosis berbalik, penyulingan dan karbon teraktif.
Sejauh mana penggunaan alat penapis air di rumah begitu popular?
Kaji selidik Kualiti Air Pengguna Peringkat Kebangsaan Januari 1999 menunjukkan bahawa 38% responden dilaporkan menggunakan alat penapis air di rumah, iaitu peningkatan sebanyak sepuluh peratus sejak tahun 19951. Empat puluh tujuh peratus (47%) responden menyatakan bahawa mereka akan lebih berminat untuk membeli rumah yang telah dilengkapi oleh alat penapis air jika mereka berkeinginan untuk memiliki rumah baru.
Di Pahang, kajian di kalangan isi rumah menunjukkan bahawa hampir separuh daripada mereka mempunyai satu atau lebih alat penapis air di rumah masing-masing. Namun, 44% yang belum mengguna alat penapis air, bercadang untuk memilikinya2. Kajian yang dijalankan di Johor pula menunjukkan hampir sepertiga (34%) daripada anggota pergigian menggunakan alat penapis air di rumah, dari jenis penapis air yang menggunakan sistem karbon teraktif3.
Kenapa penggunaan alat penapis air di rumah menjadi pilihan?
Majoriti pengguna menggunakan alat penapis air bertujuan untuk menyingkirkan rasa payau pada air dan juga untuk menyahkan warna atau bendasing yang ada di dalam bekalan air awam. Kesimpulannya penggunaan alat penapis air di rumah adalah untuk manfaat kesihatan dan meningkatkan kualiti air tersebut3.
Apakah kesan penggunaan alat penapis air di rumah pada kesihatan mulut?
Di Malaysia, 76% penduduk kini telah menerima bekalan air awam berfluorida4. Fluorida yang terdapat di dalam air minuman merupakan satu kaedah yang paling berkesan, selamat dan kos efektif di dalam mencegah penyakit karies gigi (gigi rosak) di kalangan masyarakat.
Banyak kajian yang dijalankan telah membuktikan bahawa alat penapis air yang menggunakan sistem osmosis berbalik (reverse osmosis) atau sistem penyulingan akan memberi kesan dalam menurunkan atau menyingkirkan semua kandungan fluorida dan mineral-mineral lain di dalam air minuman3-6. Namun begitu, kebanyakan sistem penapis air dengan sistem karbon teraktif tidak memberi kesan ke atas kandungan fluorida di dalam bekalan air3, 7-10.
Oleh sebab itu, sekiranya kandungan fluorida di dalam bekalan air tidak mencapai paras optimum yang diperlukan, disebabkan oleh penggunaan sistem air penapis di rumah, ia tidak akan berupaya untuk mencegah kejadian karies (gigi rosak). Sekiranya ini berlaku, kita hendaklah mendapat nasihat dari doktor gigi sama ada kita memerlukan terapi fluorida tambahan atau kaedah lain dalam mencegah kerosakan gigi.
Perkara Perlu Ambil Perhatian
- Pilihlah alat penapis air yang bersesuaian
Semasa memilih alat penapis air, pastikan sistem yang digunakan oleh alat penapis air tersebut. Kita perlu tahu bahawa terdapat sistem penapis air di rumah yang boleh mengurangkan kesan fluorida dan mineral yang lain yang terkandung di dalam air minuman kita seperti sistem penapis air osmosis berbalik (reverse osmosis) dan penyulingan. - Gunalah alat penapis air dan air yang telah ditapis dengan betul
Air yang telah ditapis oleh alat penapis air di rumah hendaklah dikendalikan sebagaimana makanan yang mudah rosak dan perlu disimpan di dalam peti sejuk. Air ini hendaklah diminum dalam masa 24 jam. Arahan dari pihak pengeluar untuk alat penapis air hendaklah dipatuhi setiap masa11.
Rujukan
- The U.S. Environmental Protection Agency. Analysis and Findings of The Gallup Organization’s Drinking Water Customer Satisfaction Survey National Consumer Water Quality Survey, August 6, 2003.
- Lopez I, Asmani AR, Kwan GL. Effect of Household Water Filters on the Fluoride Level in Filtered Water. A Compendium of Abstracts 2006, Oral Health Division, Ministry of Health 2007; 88
- Loh KH, Yaacob H, Adnan N, Omar S, Jamaludin M. A Study of The Effect of Home Water Filtration Systems On Fluoride Content of Drinking Water in Johor. Oral Health Division Johor 2010 Unpublished
- Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia. Key Result Area (KRA) and Key Performance Indicator (KPI) 2011
- Jobson MD, Grimm SE 3rd, Banks K, Henley G. The effects of water filtration systems on fluoride: Washington, D.C. Metropolitan Area. ASDC J Dent Child 2000;67:350–4.[Medline]
- Glass RG. Water purification systems and recommendations for fluoride supplementation. J Dent Child 1991;58:405–8.
- Brown MD, Aaron G. The effect of point-of-use water conditioning systems on community fluoridated water. Pediatr Dent 1991;13:35–8.[Medline]
- Buzalaf MA, Levy FM, Rodrigues MH, Bastos JR. Effect of domestic water filters on water fluoride content and level of the public water supply in Bauru, Brazil. J Dent Child (Chic). 2003 Sep-Dec;70(3):226-30.
- Hideki Konno, Tsutomu Sato, Takatoshi Neither Hollow-Fibre Membrane Filters nor Activated Charcoal Filters Remove Fluoride from Fluoridated Tap Water. JCDA www.cda-adc.ca/jcda June 2008, Vol. 74, No.5
- Prabhakar AR, Raju OS, Kurthukoti AJ, Vishwas TD. The effect of water purification systems on fluoride content of drinking water. J Indian Soc Pedod Prev Dent. 2008 Jan-Mar;26(1):6-11.
- http://www.thames-water.com/UK/region/en_gb/content/FAQ/FAQ_000058.jsp. Accessed 12 June 2008
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Habibah bt. Yacob |
Akreditor | : | Dr. Loh Kim Hoong |
Penyemak | : | Dr. Sharol Lail b. Sujak |