Pengenalan
Steroid merupakan hormon semulajadi yang dihasilkan oleh tubuh badan manusia. Ia bertindak dengan mengawal fungsi badan.
Steroid di kategorikan sebagai racun terkawal di mana pengambilannya adalah atas nasihat doktor. Sebarang produk yang mengandungi steroid hendaklah didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Jenis-jenis Steroid
Steroid terbahagi kepada dua jenis iaitu steroid anabolik dan kortikosteroid. Steroid anabolik merupakan steroid buatan yang bertindak seperti hormon lelaki.
Kortikosteroid pula terbahagi kepada beberapa jenis seperti prednisolone, dexamethasone, betamethasone dan lain-lain.
Steroid anabolik kebiasaannya dalam bentuk cecair untuk disuntik manakala kortikosteroid terdiri daripada persediaan yang lebih pelbagai seperti dalam bentuk berikut;
- Kapsul/tablet
- Krim
- Ubat sedut (“Inhaler”)
- Titis mata
Persediaan yang pelbagai ini bertujuan untuk merawat penyakit-penyakit yang berlainan. Sebagai contoh, pesakit ekzema akan menerima steroid dalam bentuk krim untuk di sapu ke bahagian bermasalah. Pesakit asma akan menggunakan ubat sedut untuk melegakan radang pada paru-paru. Steroid dalam bentuk kapsul/tablet akan dipreskrip kepada pesakit gout/athritis.
Kegunaan Steroid
Dalam perubatan moden, steroid anabolik seperti testosterone membantu dalam pembinaan otot badan. Doktor akan mempreskrip ubat ini untuk merawat pesakit AIDS yang mengalami pengecutan otot.
Berbeza dengan steroid anabolik, kortikosteroid bertindak dengan mengurangkan pembengkakkan atau dengan kata lain sebagai agen antiradang. Ia juga membantutkan tindakan imun badan yang terlampau aktif.
Oleh sebab sifat antiradang kortikosteroid, ia digunakan oleh pesakit asma dan arhtritis. Kortikosteroid juga turut digunakan dalam rawatan termasuk lupus (keradangan kronik), ekzema, psoriasis dan alergik.
Kortikosteroid turut di beri kepada pesakit yang menerima organ transplan untuk mengelakkan penolakan organ baru oleh badan.
Kesan Sampingan
Dalam jangka masa pendek, pengguna steroid akan mengalami pertambahahan berat badan yang mendadak. Bahagian muka akan menjadi sembab atau lebih dikenali dengan istilah “moon face”.
Selain itu, pengguna lelaki akan mengalami kehilangan rambut yang mengakibatkan botak pada bahagian tertentu kepala. Keadaan ini hanya sementara, rambut akan tumbuh semula selepas pengambilan steroid dihentikan.
Masalah jerawat juga akan membelenggui pengguna steroid. Kulit akan menjadi nipis dan menyebabkan ia mudah luka.
Sama seperti ubat-ubat lain, pengguna akan merasa pening dan mual selepas mengambil steroid. Mereka yang pernah mengalami gastrik, perokok atau pengguna alkohol berpotensi besar untuk mendapat ulser di organ pencernaan seperti perut dan usus.
Selain mampu merosakkan buah pinggang, pengguna steroid juga terdedah kepada risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Pengambilan jangka masa panjang, akan mengakibatkan tulang rapuh. Keadaan ini menyebabkan tulang seseorang itu tidak kuat dan mudah patah walaupun terkena hentakan yang perlahan.
Pertumbuhan kanak-kanak yang terdedah dengan steroid untuk tempoh yang lama juga boleh terganggu. Steroid menghalang penghasilan hormon tumbesaran di dalam badan manusia.
Penggunaan steroid untuk tempoh yang lama di bahagian mata boleh menyebabkan penghasilan selaput mata berlebihan dan menyebabkan penyakit yang dikenali sebagai katarak. Keadaan ini sekiranya tidak dirawat dengan baik akan menyebabkan seseorang itu hilang penglihatan.
Arahan Khas Penggunaan Steroid
Oleh sebab kesan sampingan yang kritikal ini, steroid hanya boleh digunakan untuk tempoh yang singkat. Kesan penggunaan dalam jangkamasa yang panjang dengan dos yang tidak menentu akan memudaratkan sistem badan.
Kebiasaannya, pesakit yang menggunakan steroid akan mengambilnya dalam suatu tempoh tertentu atas nasihat doktor. Dos steroid perlu dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum boleh berhenti sepenuhnya. Begitu juga sebaliknya untuk meningkatkan dos.
Tambahan lagi, steroid perlu di ambil dalam dos yang rendah. Penggunaan dos steroid yang terlampau tinggi secara tiba-tiba akan mengejutkan sistem badan ini kerana badan kita sendiri menghasilkan steroid.
Seseorang yang mengalami jangkitan tidak seharusnya mengambil steroid. Ini kerana, steroid akan membantutkan sistem imun lantas menyebabkan jangkitan menjadi semakin parah. Pesakit yang sedang dirawat dengan steroid harus berhati-hati sekiranya terdedah dengan risiko jangkitan kuman memandangkan imun badan yang agak lemah.
Doktor atau ahli farmasi akan menasihati pengguna steroid supaya mengelakkan penggunaan ubat tahan sakit bersama-sama steroid. Ini kerana penggunaan serentak kedua-dua jenis ubat ini akan meningkatkan risiko mendapat gastrik. Oleh sebab itu juga, pesakit akan disarankan untuk mengambil ubat steroid selepas makan.
Bahaya Steroid / Penyalahgunaan Steroid
Walaupun penggunaan sesuatu steroid itu atas nasihat doktor, steroid tetap memberi kesan sampingan apatah lagi sekiranya digunakan tanpa kawalan.
Dewasa ini, terdapat pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mencampurkan steroid ke dalam produk mereka bagi menambahkan keberkesanan produk tersebut. Bukan setakat ubat, makanan dan kosmetik juga adakalanya dicemari dengan steroid kerana kerakusan mengaut keuntungan.
Kini kita sering dengar tentang “Ubat Ajaib” yang dikatakan mampu memulihkan banyak penyakit. Umum perlu berhati-hati kerana ubat-ubat atau makanan dengan tuntutan perubatan yang melampau itu mungkin mengandungi steroid. Manakan tidak, sakit lutut yang dialami setelah sekian lama hilang sekelip mata selepas mengambil ubat tersebut.
Ubat tradisional yang dicemari steroid amat mudah didapati di kedai-kedai runcit. Antara produk yang mengandungi steroid adalah seperti berikut;
- Tunglin
- Majun Dua Istimewa
- Gamat Ikan Haruan Plus
- Majun Taufiq Dua Istimewa
- Delima Raja Urat
- Madu Adunan Herba
Selain dicemari racun berjadual, produk-produk ini juga tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh sebab itu, keselamatan penggunaannya tidak dijamin.
Steroid juga sering disalahgunakan oleh atlet yang taksub dengan kemenangan yang mana mereka akan mengambilnya untuk tujuan membina otot badan. Sebab itulah kita sering kali mendengar atlet sukan gagal ujian “doping”.
Oleh itu, pengambilan steroid tanpa pengawasan doktor atau ahli farmasi adalah tidak digalakkan sama sekali. Di samping itu, gunakan ubat berdaftar agar kita terhindar daripada produk yang dicemari racun ini.
Rujukan
- www.rxlist.com
- ekzemamalaysia.blogspot.com
- familydoctor.org
- www.skincarephysicians.com
- portal.bpfk.gov.my
Semakan Akhir | : | 17 Julai 2014 |
Penulis | : | Azilea bt. Ghazali |
Akreditor | : | Munira bt. Muhammad |