Pengenalan
Insulin adalah hormon yang dirembeskan oleh sel beta pankreas. Insulin disimpan di dalam sel beta pankreas yang dikenali sebagai Islet of Langerhans. Antara peranan-peranan hormon insulin di dalam badan manusia adalah;
- Mengawal atur pengambilan gula dalam darah dan penggunaan gula dalam darah
- Mengawal atur penghasilan protein dan penyimpanan trigliserida
Fungsi utama insulin adalah mengawal keseimbangan paras gula dalam darah daripada menjadi terlalu tinggi (hyperglycemia) atau menjadi terlalu rendah (hypoglycemia). Paras insulin dan paras gula di dalam darah mestilah seimbang.
Selepas makan, karbohidrat akan ditukarkan kepada gula ringkas (simple sugars) dan ini menyebabkan paras gula di dalam darah meningkat. Apabila paras gula di dalam darah meningkat, insulin akan dirembes oleh pankreas. Insulin bertindak merangsang sel-sel badan (otot dan sel-sel lemak) menyerap gula yang terdapat dalam darah untuk disimpan sebagai sumber tenaga atau glikogen dan insulin akan bertindak untuk merencat pemecahan glikogen kepada gula di dalam hati ke dalam darah sehingga paras gula di dalam darah kembali normal.
Apabila paras gula dalam darah menurun, insulin akan merangsang pankreas untuk merembes hormon glukagon . Hormon glukagon bertindak menukarkan gula kompleks yang disimpan dalam bentuk glikogen di dalam hati dan tisu-tisu otot, ke dalam bentuk gula ringkas sehingga paras gula di dalam darah kembali normal.
Paras insulin mempengaruhi penghasilan dan penyimpanan karbohidrat, lemak dan protein di dalam badan. Insulin terlibat dalam penyerapan nutrien-nutrien ini oleh sel-sel badan dan digunakan untuk pelbagai kegunaan. Diantaranya adalah membekalkan tenaga kepada otot-otot badan, membaikpulih tisu-tisu otot yang telah rosak, dan membekalkan membran sel dengan asid lemak yang diperlukan.
Kegunaan ujian insulin
- Menentu ukur kepekatan insulin yang dihasilkan oleh sel beta pankreas.
- Mengenalpasti kehadiran tumor islet sel (insulinoma).
- Diagnosis insulinoma, mengesahkan pembuangan tumor telah berjaya dan/atau memantau sekiranya masih terdapat tumor di dalam sel-sel beta pankreas.
- Menentukan sebab paras gula dalam darah rendah (hypoglycemia) yang kebiasaannya berlaku dikalangan bayi dan kanak-kanak. Namun juga berlaku dikalangan orang dewasa.
- Mengenalpasti tindak balas sel-sel badan terhadap insulin, sama ada normal atau rintang terhadap insulin (insulin resistant).
- Membantu untuk menentukan keperluan insulin bagi pesakit diabetes type 2.
Persediaan sebelum pengambilan darah
Bagi pengambilan darah untuk ujian insulin, persediaan pesakit bergantung kepada diagnosis pesakit dan maklumat ini akan dimaklumkan oleh pegawai perubatan sebelum prosedur dijalankan iaitu sama ada:
- Pesakit perlu berpuasa selama 8 jam sebelum pengambilan darah
- Pesakit tidak perlu berpuasa
- Pesakit perlu berpuasa lebih dari 8 jam
Pengambilan dan persediaan darah
- Spesimen darah hendaklah diambil menggunakakan kaedah venipuncture dan dimasukkan ke dalam botol EDTA (penutup berwarna ungu) atau botol SST II (penutup berwarna kuning).
- Spesimen perlu diasingkan dalam masa dua jam selepas diempar untuk mendapatkan serum atau plasma (EDTA). Sekurang-kurangnya 500 uL serum atau plasma diperlukan untuk diproses.
- Sekiranya spesimen tidak terus diproses setelah diempar, spesimen perlulah disimpan mengikut kaedah berikut;
- Disimpan pada suhu bilik (15 – 30?C) tidak kurang daripada lapan jam
- Disimpan di dalam peti sejuk pada suhu 2 – 8?C sekiranya tidak diproses dalam masa lapan jam
- Disejukbekukan pada suhu – 20?C sekiranya tidak diproses melebihi 24 jam atau untuk penghantaran ke pusat rujukan luar. (Spesimen yang telah disejukbekukan hanya boleh direndam untuk dicairkan sekali sahaja)
Keadah pengukuran paras insulin dalam darah
Kaedah Pengukuran:
Kaedah yang digunakan untuk mengukur paras insulin adalah kaedah immunoassay. Kaedah immunoassay adalah ujian biokimia yang mengukur kehadiran atau kepekatan makromolekul dengan menggunakan antibodi atau imunoglobulin. Makromolekul yang dikenalpasti disebut sebagai analyte.
Diantara faktor yang boleh mempengaruhi keputusan ujian insulin adalah pengambilan insulin secara oral atau suntikan. Oleh itu, maklumat ini hendaklah dimaklumkan kepada pegawai perubatan yang bertanggungjawab untuk mengelakkan kesalahan dalam diagnosis.
Terdapat beberapa kaedah immunoassay yang digunakan untuk mengukur paras insulin dalam darah iaitu;
- ELISA (Enzyme-linked immunosorbent assay) – menentu ukur antigen dengan melihat perubahan warna antibodi yang mengandungi enzim.
- Radioimmunoassay – sensitiviti dan spesifik dalam mengukur kepekatan antigen dengan menggunakan antibodi. Walau bagaimanapun, kos setiap ujian adalah tinggi selain melibatkan penggunaan bahan radioaktif yang memerlukan langkah berjaga-jaga khas untuk menjalankan ujian.
Kaedah Ujian Alternatif:
Bagi seseorang yang mempunyai masalah obesiti dan polycystic ovarian syndrome (PCOS), ujian insulin tolerance test (ITT) merupakan kaedah terbaik bagi mengukur paras insulin di dalam darah. Insulin akan dimasukkan melalui saluran darah dan pada masa-masa yang tertentu, darah akan diambil untuk menguji paras insulin dan paras gula dalam darah. Ujian ini menguji kepekaan tindak balas badan terhadap insulin seterusnya dapat membantu diagnosis.
Sekiranya sumber insulin yang diambil sama ada melalui oral atau suntikan, adalah dari sumber bukan manusia (haiwan atau sintetik), terdapat kemungkinan penghasilan antibodi yang boleh bertindak balas dengan insulin dalam darah. Keadaan ini boleh mempengaruhi keputusan ujian paras insulin dalam darah. Oleh itu, kaedah terbaik untuk menentu ukur paras insulin dalam darah adalah dengan mengukur paras C-Peptida dalam darah. Ini kerana kadar penghasilan insulin dan C-Peptida oleh sel beta pankreas adalah sama. Ujian ini juga sesuai jika paras gula dalam darah rendah (hypoglycemia) atau bagi pesakit diabetes type 1.
Interferen dan limitasi
- Spesimen yang mengalami hemolisis. Hemolisis menyebabkan bacaan insulin rendah (falsely low)
- Kerintangan insulin yang kebisaannya pada individu yang obesiti atau berlebihan berat badan boleh menyebabkan bacaan insulin tinggi (falsely high)
- Pengambilan insulin atau terapi insulin secara suntikan juga boleh menyebabkan keputusan ujian menjadi tinggi (falsely high) kerana pembentukan anti-insulin antibodi dalam darah.
Jangkaan keputusan
13.0 – 161 pmol/L
Interpretasi keputusan ujian
PARAS INSULIN
|
INTREPRETASI
|
---|---|
Tinggi (Hyperinsulinemia) |
|
Rendah |
|
Rujukan
- American Association for Clinical Chemistry 2001-2015
- Association for Clinical Biochemistry 2012
- Beckman Coulter; Access Immunoassay System – Ultrasensitive Insulin
- Endocrinology Fifth Edition; Mac E. Hadley
- http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/diabetestype2.html
- https://labtestsonline.org/
- Myrene et al (2010). Insulin Assay Standardisation. Diabetes Care. 2010 Jan; 33(1): 205–206.
- Remy Sapin (2007). Insulin Immunoassays: Fast Approaching 50 Years of Existence and Still Calling for Standardization. Clinical Chemistry May 2007 vol. 53 no. 5 810-812
Semakan Akhir | : | 22 Mei 2016 |
Penulis/Penterjemah | : | Nurul Ain bt. Mohd Ishak |
Akreditor | : | Nur Afiah bt. Abd Rahim |