Pengenalan
Patella adalah istilah perubatan untuk tempurung lutut. Tempurung lutut anda boleh terkeluar daripada kedudukan semula jadinya. Ini dikenali sebagai ‘Patella Dislocation’ ataupun dislokasi tempurung lutut.
(Sumber: Hakcipta ©2014 Mc Kesson &/or subsidiaries) |
Dislokasi tempurung lutut boleh terjadi :-
- Akibat trauma
Tempurung lutut anda boleh teralih akibat hentaman atau pulasan yang kuat pada sendi utut.
- Secara spontan
Tempurung lutut boleh teralih dari kedudukan asalnya tanpa sebarang sebab. Ini biasanya disebabkan oleh ketidakseimbangan kekuatan otot peha (kuadriseps).
Gejala/Tanda
Apabila kedudukan tempurung lutut anda beralih, anda akan mengalami kesakitan di lutut dan sendi lutut akan membengkak. Yang paling ketara adalah kelihatan tempurung lutut anda sudah berubah kedudukannya.
Anda perlu rujuk kepada seorang doktor dengan kadar segera,
Biasanya Doktor akan memeriksa dan mengambil X-Ray untuk memebetulkan kedudukan tempurung lutut anda.
Komplikasi
Tempurung lutut yang teralih akibat trauma jika tidak dirawat dengan betul boleh mengakibatkan ia mudah teralih secara spontan di kemudian hari.
Rawatan
Biasanya doktor anda akan melakukan perkara berikut :-
- Membuat ujian X-ray
- Membetulkan semula kedudukan tempurung lutut yang teralih
- Merawat kecederaan lain jika ada
- Membekalkan anda dengan ubat untuk mengurangkan kesakitan dan kebengkakkan
- Merujuk anda untuk rawatan fisioterapi (rehabilitasi)
Pencegahan
Kecederaan berulang boleh dicegah dengan rawatan fisioterapi yang tepat dari awal.
Rehabilitasi
Rawatan fisioterapi kendiri yang boleh anda lakukan adalah :-
1. Rawatan Ais dan Rehat
Anda perlu rehatkan lutut anda daripada semua aktiviti. Demahan ais selama 10-15 minit, 2 atau 3 kali sehari boleh mengurangkan kesakitan anda. Membalut lutut anda dengan ‘bandage’ serta menyokong lutut anda dengan bantal supaya ditinggikan. Ini akan membantu dalam mengurangkan kebengkakkan.
Anda juga perlu berjalan menggunakan tongkat supaya kecederaan di lutut anda berpeluang sembuh sepenuhnya.
2. Terapi Senaman Mudah
Terapi senaman mudah boleh dimulakan apabila kesakitan berkurangan biasanya selepas beberapa hari. Berikut adalah beberapa senaman mudah yang boleh anda lakukan :-
(a) Senaman Kuadriseps (statik)
Keraskan otot peha anda tanpa sebarang pergerakan pada lutut. Tahan selama 5-10 saat. Ulang 10 kali. Lakukan setiap jam anda berjaga.
(b) Senaman Vastus Medialis
Senaman ini mirip senaman (a). Tetapi anda dikehendaki mengeraskan otot peha anda sehingga terangkat tumit anda. Tahan selama 5-10 saat. Ulang 10 kali. Lakukan setiap jam anda berjaga.
(c) Senaman Vastus Medialis (berintangan)
Bila kesakitan anda semakin berkurangan, anda bersedia melakukan senaman berikut. Mulakan dengan pemberat ½ kg. Sokong lutut anda dengan bantal. Angkat tumit anda sambil memastikan lutut anda ditekan kemas pada bantal. Tahan selama 5-10 saat. Ulang 10 kali. Lakukan setiap jam anda berjaga. Beransur-ansur tambah rintangan yang diguna.
(d) Senaman Quadriceps (dinamik)
Seperti (c) senaman ini dimulakan bila kesakitan anda semakin berkurangan. Mulakan dengan pemberat ½ kg. Duduk di atas kerusi dan pastikan peha anda disokong elok. Luruskan lutut anda. Tahan selama 5-10 saat. Ulang 10 kali. Lakukan setiap jam anda berjaga. Beransur-ansur tambah rintangan yang digunakan.
(e) Senaman Menggerakkan Sendi Lutut
Anda perlu pastikan sendi lutut anda tidak menjadi kaku akibat kecederaan anda. Perlahan-lahan Bengkokkan lutut anda sehingga ia boleh dilipatkan sepenuhnya. Tahan dalam kedudukan bengkok selama 5-10 saat. Luruskan perlahan-lahan. Ulang 10 kali. Anda boleh bantu dengan kaki yang satu lagi sekiranya perlu. Lakukan senaman ini setiap jam anda berjaga.
(Sumber : http://www.exerciseprescriber.com – trial package) |
3. Senaman Lanjutan
Anda dinasihatkan mendapat khidmat nasihat fisioterapis supaya anda mendapat rehabilitasi yang sepenuhnya. Fisioterapis anda akan memeriksa dan menyediakan satu program senaman menyeluruh yang sesuai untuk keadaan anda. Kebiasaannya tumpuan akan diberi kepada otot kuadriseps, terutamanya vastus medialis.
4. Taping
Sekiranya anda seorang atlit, fisioterapis mungkin akan melakukan taping pada tempurung lutut anda apabila anda kembali bersukan. Ini untuk mencegah kecederaan berulang pada lutut anda. Taping boleh juga di gunakan semasa senaman anda.
Rujukan
- http://physioworks.com.au/injuries-conditions-1/patella-dislocation
- http://physicaltherapy.about.com/od/sportsinjuries/a/PatellaDislocation.htm
- http://reference.medscape.com/article/90068-treatment#d11
- http://www.sportsinjuryclinic.net/sport-injuries/knee-pain/patellar-dislocation
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Nurul Liyana Teong |
Akreditor | : | Daaljit Singh a/l Harbachan Singh |
Penyemak | : | Halimah bt. Hashim |