A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Kesihatan Reproduktif
  6. /
  7. Pengurusan masalah seksual suami...

Pengurusan masalah seksual suami isteri

Masalah seksual adalah masalah biasa tetapi tersembunyi. Pesakit mengharapkan doktor bertanya tentang masalah seksual yang dihadapi sedangkan kebanyakan doktor kurang pendedahan dan latihan tentang masalah seksualiti. Kebanyakan pesakit tidak membincangkan masalah ini kerana berasa malu.

Klasifikasi Kecelaruan Seksual

  1. Masalah keinginan seks hipoaktif – Kurang atau hilang minat memulakan seks dan mendapatkan rangsangan.
  2. Kecelaruan ketidakinginan hubungan seksual – Membenci, menghindari atau mengunci keinginan seksual. Kecelaruan boleh berlaku sepanjang hayat atau diperoleh akibat penderaan seksual, fizikal atau trauma.
  3. Kecelaruan rangsangan seksual wanita – Kegagalan untuk mencapai rangsangan seksual berperingkat yang normal.
  4. Kecelaruan orgasmik wanita – Lewat atau tidak mencapai kemuncak syahwat (orgasma) selepas rangsangan normal dilakukan.
  5. Dispareunia – Rasa sakit pada kemaluan sebelum, semasa, atau selepas persetubuhan.
  6. Vaginismus – Penguncupan otot secara luar kawal di sekitar faraj yang bertindak balas kepada cubaan penetrasi sehingga menyebabkan kesakitan atau kesulitan penetrasi.

Pemeriksaan

Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal. Sekiranya keadaan fizikal sistem reproduktif adalah normal, doktor akan meneliti sebarang tanda/gejala tekanan mental atau keadaan yang tidak normal termasuklah perkembangan ciri-ciri seksual sekunder (mencari hirsutisme atau tanda-tanda hormon testosteron yang berlebihan). Doktor akan memeriksa tekanan darah, nadi dan sebagainya. Doktor juga mencari sebarang tanda kehilangan sensasi atau refleks di bahagian perineal akibat sklerosis berbilang atau kerosakan saraf tunjang. Sindrom rengsa usus (irritable bowel syndrome) dengan rasa sakit akibat perut kembung boleh menjadi punca dispareunia. Selain itu, pembedahan pelvik juga boleh merosakkan saraf pelvis.

Pengesahan penyakit dilakukan secara pemeriksaan digital. Doktor akan meneliti sebarang tanda jangkitan kelamin, kerengsaan atau jangkitan kulat (yang boleh menyebabkan dispareunia) serta keadaan tidak normal lain seperti fibroid, sista ovari atau endometriosis.

Siasatan

Siasatan dilakukan berpandukan sejarah perawatan termasuklah:

  1. Tahap Prolaktin – Tahap prolaktin yang tinggi adalah tanda pituitari bermasalah.
  2. Hormon perangsang folikel (FSH) dan hormon luteinising (LH) untuk menentukan samada wanita mengalami menopaus pra-matang atau masalah pituitari
  3. Hormon tiroid (Free T4) dan tahap hormon perangsang tiroid (TSH)
  4. Ujian fungsi hati (jika doktor mengsyaki penyalahgunaan dadah atau alkohol) (Liver Function Test)
  5. Skrin biokimia atau kiraan darah lengkap (sekiranya pesakit mengadu keletihan untuk mengenepikan penyakit fizikal seperti diabetes, leukemia atau penyakit Addison)
  6. Imbasan ultrabunyi pada organ pelvis untuk mengesahkan mengenai sebarang penemuan yang tidak normal.
  7. Laparoskopi sekiranya sejarah perawatan menunjukkan sebarang masalah keradangan pelvis atau endometriosis.

Rawatan

Berbincanglah dengan doktor mengenai masalah seksual yang dihadapi supaya doktor boleh membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Pesakit boleh dirujuk kepada pakar yang berpengetahuan untuk membantu menangani masalah tertentu yang berkaitan dengan kurang upaya, ubat-ubatan atau penyakit. Antara masalah umum adalah seperti di bawah.

  1. Kurang pengetahuan

    Kebanyakan pesakit kurang berpengetahuan mengenai masalah seksual. Ini mungkin kerana pesakit dibesarkan dalam keluarga yang tidak membincangkan isu seksual. Kadang-kadang ia boleh disebabkan oleh penderaan atau peristiwa hitam yang membuat pesakit menghindari seks. Dapatkan maklumat bagi meningkatkan pengetahuan mengenai seksual. Namun, hindari maklumat dari bahan bacaan atau menonton pornografi kerana ianya berunsur fantasi dan bukannya realiti.

  2. Kurang atau hilang keinginan

    Ramai orang mengadu tentang perkara ini apabila tahap keinginan seksual mereka lebih rendah berbanding pasangan mereka. Ia boleh disebabkan oleh:

    1. Khuatir tidak bagus di ranjang – oleh itu individu menghindari seks
    2. Sibuk dengan perkara lain – biasanya berlaku di kalangan pasangan yang mempunyai anak dan bekerja sepanjang masa
    3. Menghidap penyakit, tertekan atau bersedih – Keinginan seks menjadi berkurang kerana perhatian difokuskan kepada perkara lain
    4. Rasa bersalah mengenai aktiviti seksual – kerana didikan keluarga, kepercayaan agama, atau pernah kecewa
    5. Berasa takut – hamil atau mendapat jangkitan penyakit, atau mengalami kecederaan (biasa berlaku selepas mengalami serangan jantung, menjalani pembedahan atau serangan strok)
    6. Rasa bosan – rutin yang sama saban hari boleh memudarkan keinginan seksual; termasuklah menumpukan perhatian kepada kelemahan pasangan berbanding mensyukuri kehidupan kerana mempunyai pasangan hidup.

    Hilang keinginan seksual adalah aduan yang kerap diterima di kalangan wanita. Namun, perkara ini hanyalah sebahagian dari penyebab kecelaruan seksual. Sesetengah masalah kesihatan boleh menyebabkan hilangnya keinginan seksual seperti berikut (Sila rujuk jadual di bawah):

    Masalah kesihatan yang boleh menyebabkan keinginan seksual berkurang atau pudar
    Penyakit Ubat-ubatan
    • Sakit semasa bersetubuh kerana mengalami masalah sakit puan, obstetrik atau urologi.
    • Penyalahgunaan bahan seperti dadah atau alkohol
    • Mengalami tekanan dan kebimbangan yang berterusan
    • Mengalami gangguan endokrin, contohnya tumor pituitari, hipotiroidisme, diabetes
    • Anti-androgen, contohnya cyproterone; hormone pelepasan gonadotrofin
    • Anti-oestrogens, contohnya tamoxifen, dan beberapa pil perancang keluarga*
    • Ubat sitotoksik
    • Ubat psikoaktif contohnya sedatif, narkotik, antidepresan, neuroleptics, dan perangsang
  3. Kurang prestasi

    Aduan kurang syahwat lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Kegagalan orgasmik wanita sering dikaitkan dengan salah tanggapan terhadap kemampuan lelaki memberi kepuasan kepada wanita untuk mencapai orgasma. Penggunaan perencat enzim phosphodiesterase jenis-5, sildenafil (Viagra), tadalafil (Cialis) dan vardenafil (Levitra) berguna untuk meningkatkan ereksi lelaki selepas rangsangan seksual. Namun, kajian mendapati ubat-ubatan ini tidak memberi manfaat yang sama kepada wanita.

Vaginismus

Vaginismus adalah masalah yang berlaku berlaku apabila otot faraj mengalami kekejangan lalu menyukarkan zakar memasuki faraj sehingga menyebabkan rasa sakit atau tidak selesa. Penetrasi zakar mungkin mustahil dan wanita mungkin tidak dapat menyentuh vulva; mencari sebarang pembukaan; membenarkan orang lain menyentuh; atau membenarkan sebarang objek masuk ke dalam faraj. Namun kadang-kadang wanita yang mengalami masalah ini boleh mengandung secara normal dengan melakukan permanian beradas (walaupun tidak membenarkan sesuatu masuk).

Vaginismus sekunder biasanya disebabkan oleh sejarah hitam akibat jangkitan penyakit, dirogol, kesukaran bersalin, membayangkan atau mengalami kecacatan selepas menjalani episiotomi, atau sebarang pembedahan di kawasan faraj, urethral atau rektum. Vaginismus primer pula biasanya disebabkan oleh rasa takut, panik atau fobia. Keadaan ini tidak mudah berlaku di kalangan wanita yang menjalani pembedahan anestetik untuk membuka faraj. Wanita yang menghadapi masalah boleh dibantu dengan memberi nasihat dan pengetahuan mengenai cara untuk meneroka vagina mereka sendiri untuk menghilangkan rasa takut yang berlebihan. Wanita yang mempunyai fobia atau fantasi yang lebih kompleks mungkin perlu menjalani terapi selama beberapa bulan.

Kesakitan Vulva

Kesakitan vulva luaran adalah normal dan dipengaruhi oleh berbilang faktor – vulvitis (atau vulvovaginitis akibat jangkitan); vulval vestibulitis (kesakitan yang teruk apabila disentuh); vulvodynia (keadaan sakit yang berterusan akibat etiologi yang tidak diketahui yang mungkin berlaku kerana sensitiviti terhadap jangkitan virus atau kebimbangan psikologi). Faktor penyebab kesakitan vulva juga mungkin bertindih dengan vestibulitis; uretritis; pelinciran yang tidak mencukupi; perengsa seperti spermisid, bahan pencuci, aroma, pewarna, atau peluh.

Kebanyakan wanita mengalami gejala yang singkat dan boeh dirawat. Namun, sesetengah wanita terpaksa menanggung derita akibat masalah ini. Sesetengah wanita menjadikan masalah ini sebagai sebahagian dari mekananisme pertahanan psikologi diri manakala segelintir lagi ‘tidak dapat dijelaskan secara perubatan’ walaupun selepas rujukan pakar dan menjalani penyiasatan.

Mandul

Pasangan yang menumpukan perhatian mengadakan hubungan intim untuk mendapatkan zuriat seringkali berasa tertekan samada mereka berkeinginan untuk melakukan hubungan seksual atau tidak. Proses seperti pemeriksaan kesihatan, penantian dan kekecewaan menyebabkan keseronokan melakukan aktiviti seksual berkurang.

Sesetengah kemandulan adalah sekunder iaitu hubungan seks yang tidak kerap atau tidak bersetubuh. Ini menunjukkan pentingnya sejarah hubungan seksual yang intim sejak di awal perhubungan. Pasangan yang menjalani penyiasatan dan rawatan kemandulan perlulah berasa seronok dan teruja melakukan aktiviti seksual.

Histerektomi Dan Pembedahan Lain

Histerektomi bagi pendarahan yang berat biasanya menjejaskan fungsi seksual. Pesakit yang mempunyai rahim yang besar mungkin mendapati sensasi seksual telah berubah dan perlu mengubah kedudukan untuk mencapai rangsangan yang sama. Sesetengah wanita (dan suami mereka) bimbang hubungan kelamin boleh merosakkan parut pembedahan, atau bimbang faraj tidak dapat bertahan lama untuk menahan zakar. Salah faham ini boleh diperbetulkan dengan memberi maklumat yang tepat agar dapat menggalakkan perlakuan seksual yang betul selepas pembedahan.

Kehamilan dan Kelahiran

Kekerapan hubungan seks, minat dan kepuasan seksual berkurangan sepanjang tempoh kehamilan.

Kesimpulan

Berbincanglah dengan doktor sekiranya anda ada mengalami masalah seksual sehingga boleh menyebabkan kemandulan. Pengurusan masalah seksual adalah pendekatan berbilang disiplin dan masalah perhubungan intim antara suami isteri tidak boleh diabaikan dan perlu diberi perhatian.

Rujukan

  1. Cooper E, Guillebaud J. Sexuality and disability: a guide for everyday practice. Oxford: Radcliffe Medical Press; 1999.
  2. McGuire H, Hawton K. Interventions for vaginismus (Cochrane Review). In: The Cochrane Library, Issue 2, Chichester, UK: Wiley; 2004.
  3. Tomlinson J. ABC of sexual health. London: BMJ Books;1999.
  4. Wakley G, Cunnion M, Chambers R. Improving sexual health advice. Oxford: Radcliffe Publishing Ltd.; 2003.
Semakan Akhir : 05 Disember 2016
Penterjemah : Noorhayati bt. Kassim
Akreditor : Dr. Soon Ruey

Artikel Berkaitan

Lemah Jantung

Lemah jantung adalah satu keadaan yang kompleks. Ia disebabkan oleh penyakit yang boleh mempengaruhi keupayaan jantung untuk mengepam darah yang secukupnya untuk memenuhi keperluan badan. Kadar kejadian meningkat dengan peningkatan umur.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,108

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia