A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Peningkatan Usia dan Perubahan Gusi

Penyusutan gusi telah memberi kesan ke atas peratusan besar golongan warga tua. Disebabkan terdapat pendedahan akar, golongan ini lebih cenderung untuk mendapat karies dan penyakit gusi.

Kesihatan Mulut dan Golongan Warga Tua

Manusia kini secara amnya mempunyai jangkahayat hidup yang lebih lama dengan taraf kehidupan yang lebih sihat1. Golongan warga tua kini juga lebih cenderung untuk mengekalkan gigi mereka seumur hidup berbanding golongan warga tua dekad yang lalu. Walau bagaimanapun, kajian saintifik menunjukkan bahawa golongan yang lebih tua mempunyai kadar tertinggi kejadian penyakit gusi atau periodontitis2. Oleh itu golongan ini perlu lebih berusaha dalam mengekalkan kesihatan mulut dan gusi yang baik. Kesihatan mulut bukan sahaja penting untuk mengekalkan senyuman manis dan keupayaan untuk makan, kesihatan mulut yang baik juga amat perlu untuk memperolehi satu kehidupan yang berkualiti. Setiap gigi di dalam mulut memainkan peranan yang penting di dalam bertutur, mengunyah dan di dalam mengekalkan jajaran gigi-gigi yang teratur.

Golongan warga tua yang telah mengalami kehilangan gigi, mempunyai gigi yang longgar serta memakai gigi palsu sering perlu menghadkan pilihan pemakanan atau diet mereka. Ini adalah disebabkan keupayaan untuk menggigit dan mengunyah makanan seperti buah-buahan segar dan sayur-sayuran bukan sahaja telah menyusut, malah menyakitkan. Ini akan menyebabkan golongan ini tidak mendapat bekalan nutrisi yang diperlukan. Justeru itu, adalah penting untuk memastikan mulut anda sentiasa di dalam keadaan bersih dan sihat, Disamping itu, adalah digalakkan untuk sentiasa mengetahui keadaan kesihatan periodontium (gusi) anda dengan mendapatkan pemeriksaan gigi dan gusi secara berkala.

Penyusutan gusi atau resesi gingiva

 

Penyusutan gusi atau resesi gingiva boleh memberi kesan ke atas kebanyakan golongan warga tua. Penyusutan gusi adalah satu keadaan di mana pinggir gusi telah menyusut ke bahagian akar gigi menyebabkan terjadinya pendedahan permukaan akar gigi. Keadaan seperti ini boleh menyebabkan gigi menjadi sensitif terhadap makanan atau minuman yang panas, sejuk, manis, masam, atau pedas. Gigi juga akan kelihatan lebih panjang dan ruang di antara gigi menjadi besar disebabkan ruang tersebut tidak lagi diisi oleh gusi.

Penyusutan gusi biasanya berlaku disebabkan oleh penyakit gusi atau periodontitis (proses keradangan gusi akibat jangkitan bakteria menyebabkan kehilangan lekatan tisu gusi dan tulang alveolar pada gigi). Ia juga boleh disebabkan oleh kesan/trauma dari gerakan memberus gigi secara mendatar / melintang yang mengakibatkan kehausan struktur enamel pada pinggir gusi. Selain daripada itu, penyusutan gusi juga boleh berlaku selepas rawatan penyakit gusi yang melibatkan penskaleran dan debridmen akar dilaksanakan.

Ubat-ubatan dan kesan sampingan pada kesihatan mulut

Kajian terkini telah menunjukkan bahawa penyakit gusi atau periodontitis dapat dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan utama seperti penyakit jantung3, strok, penyakit pernafasan dan diabetes4. Perubahan di dalam anatomi dan fungsi tisu periodontium (penyokong gigi) telah dikaitkan dengan proses penuaan5. Walaubagaimanapun kajian terkini juga mencadangkan bahawa kadar kejadian penyakit gusi atau periodontitis mungkin berkaitan dengan faktor faktor risiko lain selain daripada umur. Oleh itu, kejadian penyakit gusi atau periodontitis bukanlah satu penyakit yang tidak dapat dielakkan semasa penuaan6.

Faktor yang boleh meningkatkan risiko kejadian penyakit gusi atau periodontitis di kalangan warga tua termasuk status kesihatan am, status imun yang berkurangan7, kesan ubat ubatan7, kesan kemurungan8, pelupa9, kekurangan pengaliran air liur10, kurang keupayaan untuk berdikari11 dan perubahan dalam kedudukan kewangan selepas persaraan.

Golongan warga tua sering perlu mengambil ubat-ubatan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan mulut dan menjejaskan rawatan pergigian. Ubat-ubatan (termasuk anti-histamin, diuretik, ubat penahan kesakitan, ubat hipertensi dan anti-depresi) boleh menyebabkan kesan sampingan seperti mulut kering10, perubahan pada tisu lembut, perubahan pada deria rasa dan pembesaran berlebihan pada gusi7. Pembesaran berlebihan pada gusi akibat ubat hipertensi akan diburukkan lagi oleh keadaan kebersihan (higin) mulut yang kurang baik.

Mulut yang kering adalah disebabkan kuantiti air liur pesakit tidak cukup untuk melembap, membersihkan dan meneutralkan plak atau sisa makanan, menyebabkan pesakit lebih mudah cenderung untuk mendapat karies gigi (gigi berlubang) dan penyakit gusi (periodontitis). Terdapat pelbagai kaedah yang dapat dilakukan untuk mengembalikan kelembapan di dalam mulut, iaitu dengan mengunyah gula getah tanpa gula, menggunakan ubat kumur tanpa alkohol atau produk air liur tiruan.

Golongan warga tua wanita

Kajian terbaru menunjukkan bahawa kekurangan estrogen boleh meninggikan risiko wanita pos-menopaus untuk mendapat penyakit gusi atau periodontitis yang teruk dan kehilangan gigi12. Perubahan hormon di kalangan wanita yang lebih tua akan menyebabkan berlakunya ketidakselesaan di dalam mulut. Mulut menjadi kering, sakit dan mempunyai sensasi membakar pada tisu gusi serta perubahan pada deria rasa, terutamanya masin, pedas atau masam. Gusi yang kelihatan kering dan berkilat lebih mudah berdarah. Kebanyakan wanita mendapati bahawa pengambilan suplemen hormon estrogen dapat membantu untuk melegakan gejala-gejala tersebut.

Kehilangan tulang juga kini dikaitkan dengan kedua-dua penyakit gusi dan osteoporosis13. Osteoporosis boleh menyebabkan kehilangan gigi kerana ketumpatan tulang yang menyokong gigi mungkin berkurang. Wanita yang sedang mempertimbangkan pengambilan Terapi Penggantian Hormon (HRT) untuk membantu melawan osteoporosis harus menyedari bahawa terapi tersebut juga boleh membantu melindungi gigi mereka serta bahagian-bahagian badan yang lain.

Penjagaan gigi palsu

Pemakai gigi palsu perlu sentiasa memastikan tiada pengumpulan plak atau sisa makanan yang akan mengiritasi tisu lembut yang terdapat di bawah gigi palsu. Bersihkan gigi palsu anda setiap kali selepas makan dan keluarkan gigi palsu pada waktu malam untuk mengelakkan pertumbuhan bakteria. Mulut anda akan sentiasa mengalami perubahan, justeru itu, anda perlu berjumpa doktor gigi secara berkala untuk memastikan padanan gigi palsu adalah baik. Ini adalah untuk mengelakkan terjadinya iritasi atau kerengsaan ke atas tisu lembut, kehilangan tulang dan jangkitan bakteria. Jika terdapat perubahan di dalam padanan gigi palsu, ini mungkin memberi indikasi tentang kehadiran penyakit gusi atau periodontitis

Pencegahan penyakit gusi atau periodontitis

Secara khususnya, adalah penting untuk mengamalkan penjagaan kesihatan mulut yang teliti sewaktu peningkatan umur. Penyusutan gusi telah memberi kesan ke atas peratusan besar golongan warga tua. Disebabkan terdapat pendedahan akar, golongan ini lebih cenderung untuk mendapat karies dan penyakit gusi. Oleh itu, anda mesti membuang plak daripada gigi dan gusi anda setiap hari dengan memberus gigi dan menggunakan flos. Pembersihan mulut secara harian di rumah akan membantu mengekalkan pembentukan kalkulus pada tahap yang minimum, tetapi ia tidak boleh menghalangnya secara menyeluruh. Pembersihan mulut secara profesional sekurang-kurangnya dua kali setahun mungkin diperlukan untuk membuang kalkulus dari kawasan yang tidak dapat dibersihkan oleh berus gigi dan flos. Pemeriksaan pergigian secara berkala adalah penting.

Jika anda mempunyai masalah ketangkasan tangan atau kurang keupayaan fizikal, anda mungkin merasa sukar untuk menggunakan berus gigi atau flos gigi. Doktor gigi atau Pakar Periodontik (periodontist) anda boleh mencadangkan pilihan peralatan penjagaan higin mulut yang lebih sesuai seperti berus gigi elektrik atau dengan menggunakan pemegang flos atau berus gigi dengan pemegang yang lebih besar.

Rujukan

  1. Sternberg SA, Gordon M. Who are older adults? Demographics and major health problems. Periodontol 2000 1998;16:9-15
  2. Ellen RP. Periodontal disease among older adults: what is the issue? Periodontol 2000 1998;16:7-8.
  3. Paquette DW, Brodala N, Nichols TC. Cardiovascular disease, inflammation, and periodontal infection. Periodontol 2000. 2007; 44: 113-26.
  4. Novak MJ, Potter RM, Blodgett J, Ebersole JL. Periodontal disease in Hispanic Americans with type 2 diabetes. J Periodontol. 2008; 79: 629-36.
  5. Van der Velden U. Effect of age on the periodontium. JClin Periodontol 1984;11:281-94.
  6. Burt BA. Periodontitis and ageing: reviewing recent evidence. J Am Dent Assoc 1994;125:273-9.
  7. Kinane DF, Marshall GJ. Periodontitis modified by systemic factors. Ann Periodontol. 1999; 4: 54-63.
  8. Rosania AE, Low KG, McCormick , Rosania DA. Stress, depression, cortisol, and periodontal disease. J Periodontol. 2009; 80: 260-6.
  9. Yu YH, Kuo HK. Association between cognitive function and periodontal disease in older adults. J Am Geriatr Soc. 2008; 56: 1693-7.
  10. Nagler RM, Hershkovic O. Relationships between age, drugs, oral sensorial complaints and salivary profile. Arch Oral Biol. 2005; 50: 7-16.
  11. Einarsdóttir ER, Gunnsteinsdóttir H, Hallsdóttir MH, Sveinsson S, Jónsdóttir SR, Olafsson VG et al. Dental health of patients with Parkinson’s disease in Iceland. Spec Care Dentist. 2009; 29: 123-7.
  12. Lerner UH. Inflammation-induced bone remodeling in periodontal disease and the influence of post-menopausal osteoporosis. J Dent Res. 2006 Jul;85(7):596-607.
  13. Vishwanath SB, Kumar V, Kumar S, Shashikumar P, Shashikumar Y, Patel PV. Correlation of periodontal status and bone mineral density in postmenopausal women: A digital radiographic and quantitative ultrasound study. Indian J Dent Res. 2011 Mar-Apr;22(2):270-6.
 
 
Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Amirham b. Ahmad
Penterjemah : Dr. Yuhaniz bt. Ahmad Yaziz
Akreditor : Datin Dr. Indra a/p Nachiappan
Penyemak : Dr. Uma Subramaniam

 

Artikel Berkaitan

Gigi Terimpak

Gigi terimpak didefinisikan sebagai gigi yang tertanam di dalam rahang yang telah melangkaui tarikh normal pertumbuhan gigi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,133

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia