Penjagaan bayi yang baru lahir mungkin kelihatan terhad kepada penyusuan 24 jam, mandi, lampin dan menenangkan – tetapi terdapat lebih banyak perkara untuk menjaga bayi daripada perkara asas ini. Sorotan kesihatan bayi baru lahir yang lain termasuk menjaga kulit bayi baru lahir anda dan menggalakkan perkembangan bayi baru lahir anda.
Aktiviti harian akan menjadi sibuk selepas kelahiran bayi. Penjagaan bayi yang baru lahir mungkin dilihat terhad kepada penyusuan, mandi, menukar lampin dan memujuk – namun begitu, terdapat penjagaan lain yang diperlukan oleh bayi selain daripada penjagaan asas ini. Penjagaan kesihatan bayi yang lain termasuk penjagaan kulit bayi, memahami tangisan bayi dan membantu dalam perkembangan bayi.
Penyusuan Bayi: Apa yang Perlu Diketahui
Susu ibu merupakan makanan yang paling sesuai bagi bayi. Penyusuan susu ibu memberikan faedah daripada segi fizikal dan emosi kepada ibu dan bayi. Penyusuan susu ibu bagi 6 bulan yang pertama adalah sangat digalakkan.
Menyusu bayi mengikut permintaan: Lebih kurang 8 hingga 12 kali sehari. Biasanya selepas 2 hingga 3 bulan bayi akan selesa dengan penyusuan sebanyak 6 hingga 8 kali sehari.
Mengenalpasti tanda-tanda penyusuan bayi anda: seperti mengocak (stirring), menggeliat (stretching), pergerakan menghisap dan pergerakan bibir.
Mengetahui bila bayi anda kenyang: apabila bayi berhenti menghisap, menutup mulut atau mengalih mulutnya dari puting, dia mungkin kekenyangan atau berehat sebentar. Cuba sendawakan bayi atau tunggu sebentar sebelum menyusukan sekali lagi. Sekiranya bayi kenyang, bayi akan mengelak daripada disusukan.
Menyusu dengan mencukupi: Ibu bapa sentiasa risau sama ada bayi mereka menyusu dengan mencukupi atau tidak. Beberapa panduan berikut mungkin dapat membantu. Perhatikan kepuasan bayi antara masa penyusuan, kesedaran bayi, kesihatan kulit dan peningkatan berat badan. Bayi anda mungkin tidak menyusu dengan secukupnya sekiranya dia kurang membuang air besar atau air kecil dan lampin perlu ditukar kurang daripada 6 hingga 8 kali sekali, atau dia sentiasa tidur sepanjang masa. Jika anda mengesyaki yang bayi anda mungkin tidak menyusu dengan cukup, anda perlu membawanya untuk berjumpa dengan doktor.
Apabila bayi sentiasa menangis: lapar, perlu ditukarkan lampin, perlu sendawa, letih, perlu didodoi, hendak menukar kedudukan atau berasa tidak selesa.
Anda mungkin berasa tertekan sekiranya bayi anda menangis secara berterusan tanpa henti. Namun, anda mesti cuba terus tenang sepanjang masa dan jangan menggoncang bayi kerana ini boleh menyebabkan kecederaan yang serius.
Bayi dilahirkan terlalu awal
Kadang-kala bayi akan dilahirkan dengan lebih awal daripada yang dijangkakan disebabkan oleh faktor-faktor tertentu.
Bayi tidak cukup bulan mempunyai keperluan khas:
Sekiranya bayi dilahirkan terlalu awal, bayi perlu diberikan penjagaan di Unit Penjagaan Khas yang disediakan untuk bayi yang baru dilahirkan.
Antara masalah yang akan dibincangkan oleh doktor adalah seperti berikut:
- Masalah pernafasan
- Memerlukan bantuan untuk mengekalkan suhu badan
- Masalah penyusuan
- Kesenangan mendapat jangkitan
- Episod berhenti bernafas (apnea), dan
- Pendarahan dalam otak, terutamanya bagi bayi yang dilahirkan sebelum minggu ke 34. Komplikasi jangka masa panjang adalah masalah pendengaran atau penglihatan, dan kelewatan perkembangan atau kelemahan dalam pembelajaran.
Penjagaan kulit bayi – bayi mungkin ada keadaan-keadaan berikut:
- “Infantile seborrheic dermatitis”, yang juga dikenali sebagai ‘cradle cap’, menyebabkan tompokan sisik di kulit kepala. Walaupun tidak serius, ia boleh mengakibatkan kerak yang keras dan sisik putih atau kuning. “Cradle cap’ biasanya akan hilang dengan sendiri dalam beberapa bulan, namun mencuci kepala bayi setiap hari menggunakan syampu boleh membantu untuk mengurangkan dan menghilangkan sisik. Berjumpa dengan doktor jika ‘cradle cap’ masih kekal atau kelihatan semakin serius.
- “Diaper rash” merupakan ruam biasa disebabkan oleh menggunakan lampin yang basah dengan agak lama. Ia dirawat dengan memberikan pengudaraan pada bahagian bawah bayi. Pastikan bahagian bawah bayi bersih dan kering sepanjang masa untuk mengelakkan daripada ‘diaper rash’. Jumpa dengan doktor sekiranya ruam tidak hilang.
- “Miliaria crystallina” atau dipanggil ‘milia’ adalah benjolan kecil berwarna putih di bahagian hidung, dagu dan pipi. Kebanyakan bayi yang lahir mempunyai ‘milia’ yang terjadi apabila cebisan kulit yang sangat kecil tersangkut dalam kantung yang kecil berdekatan dengan permukaan kulit bayi. Kebanyakan kes ‘milia’ akan hilang dengan sendirinya dalam beberapa minggu.
- Jangkitan “yeast” adalah ruam berwarna merah terang pada bahagian bawah bayi, atau bahagian lain di mana kulit bersentuhan dengan kulit. Jangkitan “yeast” disebabkan oleh mikroorganisma (Candida albicans) yang terdapat di persekitaran yang panas dan lembap. Ia biasanya dirawat dengan krim antikulat.
- “Oral Thrush” merupakan satu lagi masalah yang sering terdapat di mulut bayi. Lapisan putih yang biasanya dilihat di bahagian lidah, pipi dan lelangit merupakan jangkitan oleh kulat Candida albicans. Anda dinasihati supaya membawa bayi anda berjumpa dengan doktor untuk mendapat rawatan.
Mengurut Bayi
Sejak beberapa tahun yang lalu, terdapat banyak kajian telah dibuat dalam bidang mengurut bayi.
Mengurut bayi menggunakan sentuhan, mengurut dan refleksologi bagi mempromosi kesihatan bayi. Mengurut bayi meningkatkan perkembangan bayi termasuk otak, fizikal, emosi, mental dan perkembangan sosial.
Ada terdapat bukti bahawa sentuhan kasih sayang dapat membantu bayi membesar dan berkembang.
Bayi yang diurut kerap kali oleh ibu bapa biasanya kurang menangis berbanding dengan bayi yang tidak diurut. Ia mungkin berkaitan dengan fakta di mana bayi akan tidur dengan lebih lama dan menghasilkan kurang hormon tekanan berbanding dengan bayi yang tidak diurut. Selain itu, terdapat peningkatan dalam fungsi sistem pencernaan.
Memandangkan terdapat begitu banyak faedah mengurut, ibu bapa kepada bayi yang tidak cukup bulan digalakkan mengurut bayi mereka untuk membantu tumbesaran dan perkembangan bayi.
Sentuhan yang lembut dan penuh kasih sayang dapat meningkatkan ikatan anda dengan bayi anda melalui komunikasi secara positif dan pemeliharaan hubungan. Bercakap atau menyanyi kepada bayi semasa mengurut dapat membantu bayi untuk mempelajari bahasa. Pengekalan hubungan mata semasa mengurut adalah penting untuk komunikasi dan mengenali isyarat bayi.
Faedah-faedah mengurut termasuk:
- Menyokong proses ikatan (bonding) antara anda dan bayi anda,
- Melegakan tekanan otot yang disebabkan oleh ‘motor skills acquisition’,
- Menenangkan bayi dan melegakan simptom ‘colic’,
- Menyumbangkan kepada perkembangan otak dan motor serta keyakinan diri, dan
- Membantu bayi mempelajari postur yang betul dan cara pergerakan.
Semakan akhir |
: |
10 May 2024 |
Penulis |
: |
Dr. Vidiya Natthondan |
Penyemak |
: |
Dr. Nurul’Ain Mat Kassim |