Pengenalan
Rawatan ortodontik biasanya melibatkan penggunaan alat pendakap gigi (aplians tetap) ataupun aplians boleh tanggal. Alat pendakap gigi dilekatkan kepada permukaan gigi dan tidak seharusnya ditanggalkan sepanjang rawatan. Kebiasaannya, Ia dipasang oleh Pakar Ortodontik pada gigi yang tidak teratur untuk dibetulkan. Tempoh rawatan biasanya mengambil masa selama dua tahun. Ia boleh mengambil masa yang lebih lama, bergantung kepada tahap kerumitan masalah susunan gigi yang berkenaan. Memandangkan pesakit perlu memakai pendakap gigi untuk tempoh yang panjang, maka ianya adalah penting untuk mereka memastikan kebersihan gigi dan mulut dijaga dengan amat baik. Ini akan dapat mengelakkan kesan yang tidak diingini daripada berlaku. Aplians boleh tanggal pula boleh dipasang dan ditanggalkan oleh pesakit sendiri. Penggunaan alat ini juga boleh memberikan kesan yang diingini sekiranya ianya digunakan dengan betul.
Pendakap Gigi (Aplians Tetap)
Aplians Boleh Tanggal
Kepentingan menjaga kebersihan alat pendakap gigi serta aplians boleh tanggal
Alat pendakap gigi terdiri daripada beberapa komponen kecil. Ianya termasuk gegelang yang dilekatkan pada gigi geraham besar, braket yang dilekatkan pada gigi depan dan belakang serta dawai arkus. Sesetengah Pakar Ortodontik agak cenderung untuk menggunakan braket pada gigi molar selain daripada gegelang tadi. Ianya dikenali sebagai tiub bukal. Dawai tadi dilekatkan kepada braket dengan menggunakan getah elastik ataupun dikenali sebagai modul. Braket ini diperbuat daripada besi ataupun seramik. Komponen – komponen pendakap gigi ini adalah kecil dan mempunyai permukaan yang menyebabkan plak terkumpul ataupun sisa – sisa makanan mudah melekat kepadanya. Alat aplians boleh tanggal biasanya mempunyai plat akrilik serta dawai yang dilekatkan kepadanya. Untuk aplians boleh tanggal yang digunakan pada rahang atas, plat akrilik biasanya melitupi keseluruhan lelangit, manakala untuk rahang bawah pula ianya akan menutupi bahagian gusi bersebelahan dengan lidah. Sekiranya alat – alat rawatan ortodontik tidak dibersihkan dengan betul, banyak masalah akan timbul nanti. Ini termasuk kerosakan gigi disekeliling braket serta cincin tadi. Ianya akan menyebabkan tempoh rawatan menjadi lama serta melibatkan tambahan kos rawatan untuk merawat gigi yang telah rosak. Selain daripada itu, bau mulut yang tidak menyenangkan ataupun halitosis juga akan berlaku. Bagi pengguna alat aplians boleh tanggal, sekiranya tidak dibersihkan dengan betul, mereka mempunyai risiko menghidapi keradangan gusi ataupun keradangan lelangit.
Komponen pendakap gigi (aplians tetap)
Gegelang
Braket Dan Dawai Arkus
Tiub Bukal
Cara – cara membersihkan gigi serta pendakap gigi dan aplians boleh tanggal anda
Untuk memastikan alat pendakap gigi anda bersih, ianya haruslah digosok setiap kali selepas makan. Anda boleh menggunakan berus gigi khas untuk alat pendakap gigi. Mula – mula anda haruslah berkumur, ini dapat menanggalkan sisa – sisa makanan yang mungkin melekat pada alat pendakap gigi anda. Kemudian berus gigi anda seperti biasa. Selepas itu anda boleh menggunakan berus gigi interdental untuk membersihkan sekeliling braket, kerana kawasan ini tidak dapat dibersihkan dengan baik oleh berus gigi biasa tadi. Pakar Ortodontik anda akan dapat membantu anda untuk mendapatkan berus – berus gigi tadi. Penggunaan ubat gigi berfluorida serta ubat kumur juga dapat membantu untuk membersihkan gigi serta mulut anda. Anda haruslah sentiasa membawa bersama berus gigi supaya kebersihan mulut anda akan terjaga dengan sempurna.
Menjaga kebersihan aplians boleh tanggal adalah lebih mudah. Anda hanya perlu menggunakan berus gigi yang lama dan menggosok alat ini dibawah air paip yang mengalir. Anda tidak seharusnya menggunakan ubat gigi kerana ianya dikhuatiri akan menyebabkan permukaan yang melekap pada gusi akan menjadi haus. Sekiranya ini berlaku ianya akan menyebabkan alat ini longgar serta tidak melekat dengan sempurna. Gigi anda haruslah digosok seperti biasa, aplians boleh tanggal haruslah ditanggalkan terlebih dahulu. Aplians boleh tanggal biasanya dipakai 24 jam sehari, walau bagaimanapun ada juga yang perlu dipakai pada waktu malam sahaja. Untuk kes – kes yang begini, anda haruslah membersihkannya seperti biasa. Kemudian simpan alat ini didalam bekas berisi air dan bertutup. Anda boleh menggunakan bahan untuk merendam alat ini, contohnya Polident® yang mana ianya dapat membantu menanggalkan kesan – kesan kotoran serta menghilangkan bau yang tidak memyenangkan.
Penggunaan flos
Pada peringkat permulaan rawatan dengan alat pendakap gigi, anda mungkin akan mengalami sedikit kesukaran untuk membersihkan gigi anda. Kadangkala sisa – sisa makanan mungkin akan terlekat dicelah – celah gigi anda. Sekiranya ia berlaku, anda bolehlah menggunakan flos untuk membuangnya. Ambil sedikit flos berukuran lebih kurang 20 ke 30cm dan lalukan dibawah dawai. Lalukan flos diruangan antara gigi sehingga sisa makanan itu dapat dikeluarkan.
Nasihat pemakanan
Selepas alat pendakap gigi dan aplians boleh tanggal dipasangkan, sesetengah pesakit mungkin akan mengalami sedikit kesukaran untuk mengunyah makanan. Anda dinasihatkan untuk mengambil makanan yang lembut seperti bubur, telur dan sebagainya. Elakkan dari mengambil makanan yang keras, kenyal serta perlu dikunyah dengan kuat seperti keropok dan daging. Anda haruslah memotong makanan kecil – kecil sebelum mengunyah. Anda dilarang daripada menggigit makanan dengan gigi hadapan, contohnya menggigit buah epal. Ini boleh menyebabkan braket pada gigi hadapan tercabut dan memanjangkan tempoh rawatan. Air yang berkarbonat juga tidak digalakkan kerana ianya mengandungi gula yang tinggi serta bersifat asid. Kandungan gula yang tinggi menggalakkan pengumpulan plak pada permukaan gigi dan pada komponen – komponen pendakap gigi dan aplians boleh tanggal anda. Kesan – kesan buruk plak terhadap kesihatan gigi dan mulut anda telah pun dibincangkan pada bahagian sebelum ini. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan, sila berhubung dengan klinik yang merawat anda.
Rujukan
- Oral Health Division, Ministry of Health
- Malaysian Association of Orthodontists (MAO)
- British Orthodontic Society
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penterjemah | : | Dr. Roslili bt. Mat |
Akreditor | : | Dr. Yatimah bt. Othman |
Penyemak | : | Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin |