A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Penjagaan Haid

Remaja perlu menjaga kebersihan faraj dengan membersihkannya setiap hari agar sentiasa bersih

Bilakah haid bermula?

Haid bermula antara umur 10 hingga 15 tahun. Haid boleh bermula seawal umur 8 tahun dan selewat-lewatnya semasa berumur 16 tahun. Haid adalah sebahagian dari proses perkembangan remaja untuk menjadi dewasa, sebagai persiapan untuk peranan reproduktif dan kehamilan. Namun, kebanyakan wanita memilih untuk tidak hamil sehingga mereka berumur lebih daripada dua puluh tahun.

Pada awalnya perdarahan haid mungkin sedikit. Pada sesetengah remaja haid berlaku setiap bulan manakala pada remaja lain mengalami kelewatan didatangi haid atau mengalami haid terlalu kerap. Perkara ini adalah normal pada peringkat awal dan mengambil sedikit masa sebelum kitaran haid mula menjadi tetap.

Remaja boleh mengambil bahagian dalam sukan walaupun semasa haid

Perlukah saya berhenti bersukan atau berenang semasa haid?

Semasa haid remaja boleh melakukan sebarang aktiviti harian termasuk bersukan, berenang, selagi masih berasa selesa. Remaja boleh memakai tampon untuk berenang semasa haid.

Perlukah saya membersihkan alat sulit wanita/faraj?

Remaja perlu menjaga kebersihan faraj dengan membersihkannya setiap hari agar sentiasa bersih. Elakkan menyembur pewangi serta menggunakan minyak mandi yang mempunyai pewangi, mandian buih dan tuala wanita yang mempunyai pewangi pada faraj.

Bahan-bahan ini boleh menyebabkan kerengsaan, keradangan yang teruk dan boleh menyebabkan jangkitan pada pundi kencing dan saluran faraj. Gunakan air bersih untuk membersihkan faraj terutamanya selepas haid.

Yang mana satu perlu saya pakai? Tuala wanita atau tampon?

Tuala wanita dan tampon sangat selesa dan tidak menyusahkan. Ingat! Selalulah menukar tuala wanita atau tampon agar tubuh sentiasa bersih dan selesa.

Sepanjang tempoh haid, gunakan tuala wanita, pelapik seluar dalam (panty liner) atau tampon untuk menyerap darah haid. Gabungan beberapa jenis produk boleh digunakan. Sesetengah remaja suka menggunakan tampon semasa pendarahan haid yang banyak dan menggunakan tuala wanita atau pelapik seluar semasa pendarahan haid berkurangan. Manakala sesetengah remaja suka memakai tampon pada waktu siang dan tuala wanita pada waktu malam atau menggabungkan kedua-duanya sekali.

Bagaimana menggunakan tuala wanita?

Tuala wanita mempunyai pelbagai saiz, gaya, ketebalan dan ukuran. Terdapat tuala wanita yang bersayap yang dilipat di tepi seluar dalam untuk memberikan perlindungan yang lebih baik. Terdapat juga tuala wanita yang lebih tebal dan panjang untuk penyerapan darah haid yang banyak atau untuk kegunaan pada waktu malam.

Pilih tuala wanita berdasarkan saiz badan anda, jumlah aliran darah haid agar  sentiasa selesa.

Tuala wanita harus ditukar setiap 4 hingga 6 jam, atau setelah tuala wanita penuh,  atau apabila  anda berasa tidak selesa untuk mengelakkan tuala wanita terlalu basah danbocor. Tuala wanita yang bocor boleh meninggalkan kesan darah pada pakaian dan menyebabkan situasi yang memalukan. Sesetengah remaja menukar tuala wanita setiap kali mereka membuang air kecil.

Tuala wanita  bersayap

Bila perlu menggunakan pelapik seluar dalam (panty liner)?

Pelapik seluar dalam adalah lebih nipis dan pendek berbanding tuala wanita. Gunakan pelapik seluar dalam ketika aliran haid telah berkurang atau apabila anda hanya mengalami tompokan darah, iaitu semasa awal atau akhir kedatangan haid.

Bagaimana menggunakan tampon?

Tampon diletakkan ke dalam saluran faraj untuk menyerap darah haid. Kebanyakan tampon mempunyai alat plastik atau kadbod yang digunakan untuk menolak tampon ke dalam saluran faraj. Terdapat tali pendek yang melekat pada hujung tampon dan tergantung keluar dari vagina bagi memudahkan tampon dikeluarkan

Tampon terdapat dalam pelbagai saiz dan boleh menyerap jumlah darah haid yang berbeza-beza. Periksa paket tampon untuk mengetahui kadar penyerapan tampon sebelum menggunakannya.

Ramai remaja lebih selesa menggunakan tuala wanita. Namun, setelah meningkat dewasa terdapat  remaja mula menggunakan tampon. Adalah sukar memasukkan tampon ke dalam saluran faraj pada peringkat awal kerana otot faraj boleh menjadi tegang apabila bimbang dan cemas. Bertenanglah semasa memasukkan tampon. Gunakan tampon yang nipis beserta alat penolak tampon bagi memudahkan tampon dimasukkan.

Seperti tuala wanita, tampon hendaklah ditukar selepas 4 hingga 6 jam atau lebih awal bergantung kepada jumlah aliran darah haid.

Tampon

Adakah Sindrom Kejutan Toksid (Toxic Shock Syndrome – TSS) ada kaitan dengan penggunaan tampon?

Sindrom Kejutan Toksik (TSS) adalah jangkitan bakteria yang serius tetapi jarang berlaku. Sindrom ini sering dikaitkan dengan penggunaan tampon. TSS boleh dicegah dengan kerap menukar tampon dan menggunakan tampon yang mempunyai kadar penyerapan yang sedikit. Pencegahan utama TSS adalah dengan menukar tampon setiap 4 hingga 6 jam atau lebih kerap (jika darah haid banyak).

Apa yang harus saya lakukan apabila berasa tidak selesa atau sakit semasa haid?

Sila rujuk artikel bertajuk Dismenorea dan Sindrom Prahaid.

Remaja boleh mengalami rasa sakit di bahagian bawah abdomen (senggugut) atau punggung ketika haid bermula. Keadaan ini adalah normal dan boleh dilegakan dengan mengambil ubat penahan sakit seperti paracetamol atau menuam perut dengan menggunakan botol air panas.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Wan Fadhilah binti Wan Ismail
Akreditor : Dr. Wan Fadhilah binti Wan Ismail
Penyemak : Dr. Nazhatussima bt. Suhaili

Artikel Berkaitan

Saya Pendek

Ketinggian terakhir anda dipengaruhi oleh gen anda sendiri

Haid (Menstruasi)

Apabila haid berlaku, anda akan mengalami pendarahan dari faraj. Haid yang berlaku adalah berbeza dari seorang wanita dengan wanita lain.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,132

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia