Penjagaan Oral / Mulut untuk Orang-orang Berkeperluan Khas
Masalah tisu mulut yang kerap dijumpai dan strategi penjagaannya
- Karies gigi
Karies gigi kerap didapati pada orang-orang berkeperluan khas
- Jika seseorang didapati – menggunakan botol susu secara berpanjangan, mereka perlu digalakkan minum menggunakan cawan. Sekiranya tidak berupaya, galakkanlah mereka minum air kosong dengan lebih kerap.
- Sekiranya seseorang mengambil ubat-ubatan dalam bentuk sirap, mereka seharusnya diberi preskripsi ubat sirap bebas-gula dan berkumur setiap kali mengambil/meminum ubat.
- Pembersihan gigi dan mulut setiap hari mesti dibuat sama ada dilakukan sendiri atau dibantu oleh penjaga.
- Penyakit gusi
Penyakit gusi(periodontium) lebih kerap berlaku di kalangan orang berkeperluan khas. Kebiasaanya ini adalah disebabkan kurangnya penjagaan kebersihan mulut dan tabiat yang boleh merosakkan tisu mulut.Gusi akan menjadi merah, bengkak dan mudah berdarah apabila diberus. Ubat-ubatan seperti ubat anti-sawan, anti-hipertensi (darah tinggi) dan ubat immunosuppressi (pertahanan badan) juga boleh menyebabkan kebengkakan gusi.
- Penjagaan kebersihan mulut yang teliti adalah sangat penting.
- Sebahagian orang berkeperluan khas boleh mendapat faedah daripada menggunakan ubat kumur anti-kuman setiap hari seperti chlorhexidine. Sekiranya tidak berupaya berkumur dan meludah keluar, sapukan ubat kumur dengan tuala bersih yang telah dicelup ke dalam larutan ubat kumur tersebut.
- Maloklusi
Maloklusi adalah merujuk kepada ketidaknormalan gigitan antara gigi atas dengan gigi bawah, kesesakan atau susunan gigi yang kurang teratur. Kebiasaannya dilihat dalam pesakit yang mengalami palsi serebrum di mana kejarangan gigi depan atas ataupun gigitan gigi hadapan yang terbuka disebabkan oleh tabiat ‘tongue thrusting’ atau ketidakseimbangan otot mulut. Gigi yang sesak sukar untuk diberus atau diflos menyebabkan karies gigi dan penyakit gusi Mereka yang mempunyai gigitan yang ‘terbuka’ selalunya bernafas melalui mulut. Gigi hadapan akan menjadi kering dan plak akan lebih mudah melekat dan karies gigi lebih mudah terjadi.
- Apabila melakukan pembersihan mulut, pastikan gigi hadapan atas dibersihkan dengan betul dengan mengangkat bibir atas dan memberus di atasnya dengan baik
- Rawatan orthodontik mungkin kurang sesuai untuk orang kurang upaya, namun bawalah mereka berjumpa pakar pergigian untuk mendapat pemeriksaan lanjut
- Anomali gigi dan gangguan pembentukan gigi
Anomali gigi adalah kepelbagaian saiz, bilangan dan bentuk gigi. Sindrom Down, displasia ektoderm dan beberapa penyakit-penyakit lain boleh mendapat kecacatan gigi. Gangguan sistemik seperti demam panas, penyakit kronik dan pengambilan ubat-ubatan sewaktu pembentukan gigi boleh menyebabkan kecacatan gigi. Ini termasuk pembentukan lurah-lurah kecil, garisan dan penyahwarnaan di atas permukaan gigi. Kecacatan permukaan gigi ini menjadikan pembersihan gigi menjadi lebih sukar.
- Kecacatan gigi ini boleh dibaiki dengan rawatan restoratif yang sesuai.
- Rawatan restoratif yang lebih kompleks mungkin diperlukan di masa hadapan. Oleh itu pastikan rawatan susulan diteruskan bagi memantau status kesihatan mulut dan tumbesaran gigi dan tulang rahang yang baik.
- Refluks gastro esophageal
Sebahagian orang-orang berkeperluan khas akan mengalami refluks asid dari perut memasuki rongga mulut. Lebihan/limpahan asid ini boleh menghakis dan menipiskan permukaan dalam gigi dan menjadikan ia lebih sensitif.
- Berkumur dengan air atau air yang dicampurkan dengan soda penaik boleh mengurangkan kesan hakisan ini.
- Gunakan ubat gigi berfluorida setiap kali memberus gigi. Sekiranya ubat gigi tidak boleh digunakan, gel dan varnish fluorida boleh disapu oleh pakar pergigian sewaktu pemeriksaan pergigian.
- Kecederaan
Kecederaan muka dan mulut terjadi lebih kerap pada orang-orang yang kurang upaya intelektual, sewaktu sawan atau disebabkan koordinasi otot yang lemah. Sekiranya gigi hadapan atas berkedudukan jongang , risiko untuk gigi tercedera sekiranya pesakit terjatuh adalah lebih tinggi.
- Kecederaan gigi memerlukan pemeriksaan dan rawatan profesional serta merta. Bawalah mereka ke hospital untuk rawatan awal.
- Sekiranya ada gigi yang patah, serpihan gigi yang dijumpai mesti dibawa bersama ke klinik untuk dirawat.
- Bruxism
Tabiat menggigit atau mengasah gigi kerap dijumpai di kalangan pesakit palsi serebrum. Ini adalah disebabkan koordinasi otot mulut yang lemah. Tabiat ini boleh menyebabkan permukaan mengunyah gigi menjadi haus dan rata.
- Modifikasi kelakuan boleh membantu mengurangkan jika pun tidak melenyapkan tabiat tersebut sepenuhnya. Kadangkala, pemakaian splin juga digalakkan.
Penjagaan Praktikal di Rumah: Tata cara untuk Para Penjaga
- Permulaan
Lokasi : Bilik air bukanlah satu-satunya tempat yang sesuai untuk memberus gigi seseorang. Selain dari hanya memberus di sinki bilik air, seseorang boleh didudukkan di meja makan atau kawasan dapur yang terang. Sediakan berus gigi, ubat gigi, sebiji mangkuk dan segelas air yang diletakkan di atas meja yang mudah dicapai. Kelakuan: Pembersihan mulut boleh menjadi sesuatu yang kurang menyenangkan bagi sebahagian orang. Berikut adalah cara-cara untuk mengurangkan masalah tersebut yang boleh diguna pakai dalam situasi tersebut:- ‘Beritahu, Tunjuk, Buat’ (BTB) – Langkah ‘BTB’ ini boleh mengurangkan kebimbangan seseorang untuk menjalankan pembersihan mulut. Bagi memulakan pemberusan gigi contohnya, ‘Beritahu‘ mereka apa yang akan kita lakukan. ‘Tunjukkan‘ caranya. Seringkali dengan memegang tangan dan berus gigi bersama-sama mereka akan membantu mereka melakukannya dengan lebih mudah. ‘Lakukan‘ langkah-langkah tersebut sekali lagi seperti yang telah ditunjukkan sebelumnya.
- Beri mereka masa untuk membiasakan diri dengan penjagaan gigi. Melakukannnya dengan secara tergesa-gesa hanya akan merisaukan dan mengelirukan mereka. Berilah pujian dan kata-kata galakan kepada mereka setelah selesai.
- Jadikan penjagaan/pembersihan mulut suatu rutin harian. Lakukannya di tempat yang sama, masa yang sama dan teknik yang berulang setiap hari. Rutin yang menjadi kebiasaan akan mengurangkan kebimbangan seseorang dan lebih mudah untuk seseorang menerimanya.
- Beruslah setiap hari
- Posisikan diri anda di mana anda selesa memberus dan melihat semua gigi yang hendak diberus.
- Gunakan ubat gigi berfluorida saiz sebesar kacang pea sekiranya dia boleh berkumur. Seandainya tidak berupaya untuk berkumur, gunakan ubat gigi tidak berfluorida ataupun hanya dengan air sahaja.
- Beruslah setiap gigi hadapan, belakang dan permukaan atas gigi dengan berusan yang pendek ke depan dan ke belakang. Letakkan berus gigi di atas gusi dan beruslah dengan lembut.
- Beruslah juga lidah selepas memberus gigi
- Bantu mereka berkumur dengan air. Sekiranya tidak mampu berkumur, sapulah seluruh mulut dengan menggunakan jari yang dibalut dengan kain kasa lembap.
- Ubat gigi
Dalam keadaan tertentu, apabila ubat gigi tidak sesuai digunakan, memadailah dengan membersihkan keseluruhan bahagian mulut dengan sekeping kain kasa atau berus gigi yang dilembapkan dengan agen anti-kuman seperti larutan 0.2% cholorhexidine gluconate. Berus gigi yang dicelup ke dalam ubat kumur berfluorida (0.05%; sodium fluorida jika digunakan setiap hari) boleh juga dilakukan dengan berkesan. - Memflos setiap hari
Flos membersih di celahan antara gigi di mana berus gigi tidak sampai. Kebanyakan orang kurang upaya memerlukan penjaga untuk membantu mereka menggunakan flos. Memflos memerlukan latihan untuk membiasakan diri dan penggunaan pemegang flos memudahkan ianya dilakukan. - Posisi
- Berus gigi yang telah diubahsuai
Jadikan berus gigi mudah untuk dipegang: - Temujanji pemeriksaan pergigian
Pemeriksaan pergigian secara berkala adalah sangat penting untuk orang-orang berkeperluan khas. Pakar pergigian akan melakukan pembersihan profesional dan pemeriksaan berkala untuk mengesan sebarang masalah sebelum ianya menyebabkan kesakitan.
Semakan Akhir | : | 25 April 2014 |
Penulis | : | Dr. Juanna bt. Bahadun |
Penterjemah | : | Dr. Mimi Syazleen bt. abd. Rahman |
Akreditor | : | Dr. Laila bt. Abd. Jalil |
Penyemak | : | Dr. Hjh. Noraini @ Nun Nahar bt. Yunus |