Pengenalan
Adalah prosedur pergigian untuk menstabilkan gigi yang longgar melalui beberapa prosedur. Ianya dijalankan di klinik pergigian atau di jabatan kecemasan dan kemalangan bergantung kepada jenis kes.
Punca Ketidakstabilan Gigi
Setiap gigi mempunyai struktur dan bentuk yang berbeza. Fungsi setiap gigi juga berbeza. Sebagai contoh gigi hadapan tidak boleh diganti dengan gigi belakang kerana fungsi yang berbeza dalam kegigian rahang.
Gigi menjadi longgar disebabkan faktor luaran dan dalaman. Faktor dalaman yang menyebabkan gigi longgar adalah berpunca dari masalah penyakit gusi dan gigitan abnormal. Penyakit gusi adalah masalah utama yang menyebabkan gigi longgar pada pesakit. Ia akan menyebabkan kerosakan yang berterusan pada tulang dan tisu yang menyokong gigi tersebut dan akan menyebabkan kerosakan kekal pada struktur tulang dan sebagainya. Kerosakan tulang kekal akan menyebabkan kehilangan struktur pemegang gigi pada kedudukan normal. Ini akan menyebabkan gangguan pada gigitan/pengunyahan pesakit.
Faktor luaran yang menyebabkan gigi longgar adalah akibat daripada trauma berpunca dari kemalangan, pergaduhan dan penderaan . Trauma pergigian adalah punca utama gigi longgar pada kanak-kanak dan remaja. Trauma pergigian juga boleh menyebabkan kepatahan gigi. Dalam beberapa kes, kepatahan tulang rahang juga boleh berlaku.
Pengisaran gigi pada waktu malam boleh menyebabkan kecederaan pada tisu sokongan gigi seperti tulang dan sebagainya. Pesakit yang mempunyai gigitan traumatik/abnormal juga boleh menyebabkan gigi menjadi longgar.
Tanda Klinikal
Gigi pesakit longgar dan mungkin terdapat gusi berdarah dan bau mulut yang tidak enak. Akar gigi mungkin terdedah akibat daripada kehilangan pegangan gusi dan tulang dan menyebabkan gigi menjadi sensitif.
Impak kepada kesihatan
Masalah gigi longgar boleh menyebabkan gangguan kepada pesakit dari segi pengunyahan makanan. Sekiranya ia berpunca dari masalah gusi, ianya boleh menyebabkan akar gigi terdedah dan gusi akan berdarah beserta bau mulut yang tidak enak. Ini boleh menyebabkan pesakit akan menjadi malu dan kurang keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat
Jenis-Jenis Splin
Gigi longgar boleh distabilkan dalam kedudukan berfungsi dengan cara pensplinan gigi melalui pengikatan gigi yang longgar dengan gigi yang kukuh. Ia bertujuan untuk membantu gigi longgar dalam proses pengunyahan dengan cara perkongsian beban gigitan pada seluruh kegigian.
Pensplinan sementara dilakukan dengan menggunakan komposit ataupun komposit dengan wayar. Jikalau masalah gigi longgar tersebut berpunca dari masalah gigitan abnormal atau pengisaran gigi, splin gigitan digunakan. Rawatan penstabilan gigi secara ortodontik melalui pemasangan wayar arkus dan breket juga boleh digunakan untuk penstabilan gigi
Jika punca kelonggaran gigi adalah penyakit gusi, rawatan gusi perlu dilakukan juga. Pesakit juga perlu mengambil pemakanan lembut sepanjang tempoh rawatan atau sehingga di beritahu oleh perawat. Prognosis gigi longgar tersebut mestilah diteliti sebelum sebarang rawatan dijalankan. Sila berjumpa dengan doktor pergigian/pakar pergigian yang berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan terperinci dan konsultasi tentang pilihan rawatan yang ada
Rujukan
- www.dentaltraumaguide.com
- www.fibrebond.biz/patients/periodontal-splints.php
- www.aae.org/patients/treatments-and-procedures/traumatic-dental-injuries
- http://www.deardoctor.com/inside-the-magazine/issue-15/splinting-treatment-for-loose-teeth
Semakan Akhir | : | 3 Jun 2014 |
Penulis | : | Dr. Nazer b. Berahim |