Pengenalan
Ketidaksuburan adalah ketidak upayaan untuk menghasilkan anak. Ia berlaku di kalangan lelaki dan wanita. Sepasang suami isteri dianggap tidak subur sekiranya isteri tidak mengandung selepas 12 bulan mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan. Di kalangan wanita berusia melebihi umur 35 tahun, tempoh masa dipendekkan kepada 6 bulan.
Antara faktor yang mengurangkan kesuburan adalah penyakit berjangkit (termasuk penyakit kelamin); jangkitan saluran pembiakan; beguk yang terjadi selepas akil baligh pada lelaki. Penyakit kelamin adalah punca utama kemandulan. Dua punca utama ketidaksuburan berkaitan dengan penyakit kelamin adalah jangkitan Gonorea dan Chlamydia pada saluran kemaluan. Jika tidak dirawat, Gonorea dan Chlamydia boleh menjangkiti tiub fallopio, rahim dan ovari. Ini dikenali sebagai penyakit radang pelvis (Pelvic Inflammatory Disease – PID).
PID menyakitkan, tetapi kadang-kadang PID tidak menunjukkan sebarang gejala dan pulih tanpa disedari (silent PID). Kesan Gonorea dan Chlamydia yang tidak dirawat terhadap wanita termasuklah mencalarkan tiub fallopio dan menghalang telur bergerak ke bawah tiub untuk bercantum dengan sperma. Manakala kesan jangkitan penyakit ini terhadap lelaki termasuk mencalar dan menyebabkan saluran sperma (epididimis) dan uretra tersumbat.
Jenis dan Gejala Penyakit Kelamin
1. Chlamydia
Chlamydia adalah penyakit kelamin yang lazim berlaku di Malaysia. Ia mudah berjangkit melalui hubungan seks. Kebanyakan individu yang dijangkiti Chlamydia tidak mengalami sebarang gejala dan tidak menyedari mereka dijangkiti.
Kesan jangkitan Chlamydia terhadap wanita:
- Rasa sakit atau terbakar ketika membuang air kecil.
- Keluar lendir putih dari kemaluan.
- Sakit di bahagian bawah abdomen semasa atau selepas mengadakan hubungan seks.
- Pendarahan semasa atau selepas mengadakan hubungan seks, atau antara tempoh haid.
- Kadang-kadang boleh menyebabkan pendarahan yang banyak semasa haid.
Kesan jangkitan Chlamydia terhadap lelaki:
- Rasa sakit atau terbakar ketika membuang air kecil.
- Keluar lendir putih dari hujung zakar.
- Rasa sakit atau nyeri dalam buah zakar.
Chlamydia boleh menjangkiti bahagian dubur, kerongkong atau mata
Diagnosis
Diagnosis penyakit dijalankan melalui ujian air kencing atau ujian swab pada bahagian tubuh yang terjejas. Jangkitan Chlamydia dirawat dengan antibiotik tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang yang serius jika tidak dirawat awal termasuklah kemandulan.
2. Gonorea
Gonorea adalah penyakit kelamin yang disebabkan oleh bakteria dan berjangkit melalui hubungan seks. 50% wanita dan 10% lelaki tidak mengalami sebarang gejala dan tidak sedar dijangkiti Gonorea.
Kesan jangkitan Gonorea terhadap wanita:
- Rasa sakit atau terbakar ketika membuang air kecil.
- Keluar lendir putih, kuning atau hijau dari kemaluan (kemaluan sentiasa berair).
- Sakit di bahagian bawah abdomen semasa atau selepas mengadakan hubungan seks.
- Pendarahan semasa atau selepas mengadakan hubungan seks, atau antara tempoh haid.
- Kadang-kadang boleh menyebabkan pendarahan yang banyak semasa haid.
Kesan jangkitan Gonorea terhadap lelaki:
- Rasa sakit atau terbakar ketika membuang air kecil.
- Keluar lendir putih, kuning atau hijau dari hujung zakar.
- Rasa sakit atau nyeri dalam buah zakar.
Gonorea boleh menjangkiti bahagian dubur, kerongkong atau mata.
Diagnosis
Diagnosis jangkitan Gonorea dijalankan melalui ujian air kencing atau ujian swab pada bahagian tubuh yang terjejas. Jangkitan Gonorea dirawat dengan antibiotik tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang yang serius jika tidak dirawat termasuklah kemandulan. Jalani ujian penyakit kelamin di klinik kesihatan berdekatan.
Penyakit Radang Pelvik (PID)
PID adalah jangkitan pada bahagian atas kemaluan wanita, termasuk rahim, tiub fallopia dan ovari. Radang ini biasanya terjadi akibat jangkitan penyakit kelamin (Sexually Transmitted Infection – STI). PID boleh merosak dan mencalarkan tiub fallopio serta menyukarkan telur bergerak ke bawah rahim.
Komplikasi PID
Tiub fallopio boleh tercalar dan mengecil sekiranya dijangkiti PID. Ini menyukarkan untuk telur bergerak dari ovari ke dalam rahim serta meningkatkan risiko kehamilan ektopik (kehamilan di dalam tiub fallopio dan bukannya di dalam rahim) pada masa hadapan serta kemandulan.
Seorang daripada 10 wanita yang menghidap PID boleh menjadi mandul. Risiko kemandulan adalah paling tinggi di kalangan wanita yang lambat mendapatkan rawatan atau mengalami episod PID yang berulang. Walau bagaimanapun, kebanyakan wanita yang mendapatkan rawatan masih dapat hamil tanpa sebarang masalah. Penyakit kelamin (STI) berjangkit melalui hubungan seks tanpa perlindungan.
Rujukan
- The international Planned Parenthood Federation Centres for Disease Control and Prevention, National Institute of Child Health and Human Development (NICHD)
Semakan Akhir | : | 5 Disember 2016 |
Penterjemah | : | Noorhayati binti Kassim |
Akreditor | : | Dr. Soon Ruey |