Gigi yang sihat dipegang kuat di dalam tulang rahang oleh periodontium, iaitu struktur yang terbentuk daripada gusi, tulang sokongan, simentum dan ligamen penyokong gigi.
Penyakit Periodontium
Penyakit periodontium atau penyakit gusi pada umumnya adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria untuk jangka masa yang panjang. Ia dicirikan oleh kemusnahan gusi dan tulang penyokong gigi. Pada peringkat awal, gusi tidak seberapa bengkak dan hanya berdarah semasa memberus. Ramai orang tidak menyedari bahawa mereka mempunyai masalah penyakit gusi sehinggalah keadaan menjadi terlalu teruk mengakibatkan kegoyahan gigi. Lama kelamaan keradangan akibat daripada penyakit periodontium menyebabkan kehilangan tulang di sekeliling gigi dan penyusutan gusi. Ini akan menyebabkan kegoyahan dan gigi boleh tercabut sendiri semasa mengunyah.
|
||
Kehilangan gigi atas hadapan disebabkan penyakit periodontium
|
|
Gusi yang merah dan bengkak mengakibatkan gigi menjadi jarang di rahang bawah
|
Penyakit Kardiovaskular
Penyakit kardiovaskular terutamanya darah tinggi dan penyakit jantung iskemia sering mengancam kesihatan orang dewasa. Pada umumnya penyakit ini berpunca dari masalah jantung dan salur darah. Di dapati, sebab utama penyakit kardiovaskular adalah akibat pengumpulan lemak pada dinding bahagian dalam salur darah. Pengumpulan lemak ini menyempitkan salur darah dan menyebabkan kesukaran aliran darah. Pembentukan bekuan darah akan menyebabkan aliran darah terhenti. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya serangan jantung atau angin ahmar.
Kaitan Antara Penyakit Periodontium (Gusi) dan Penyakit Kardiovaskular
Kesihatan mulut memberikan gambaran keseluruhan kesihatan badan. Beberapa kajian mencadangkan kemungkinan adanya kaitan antara penyakit periodontium dengan penyakit kardiovaskular. Bagaimana pun tiada bukti yang wujud yang menetapkan kaitan sebab dan akibat di antara kedua-dua penyakit ini.
Imej dari: http://www.perio.org/consumer/heart_disease
Bukti dari penyelidikan
Menurut kajian, pesakit yang mengalami penyakit periodontium mempunyai risiko 25% untuk mendapat penyakit kardiovaskular dibandingkan dengan mereka yang tidak mengalami penyakit periodontium. Penyakit periodontium juga dilaporkan berkaitan dengan peningkatan kecil risiko untuk penyakit jantung dalam kalangan lelaki yang berumur dibawah 50 tahun pada permulaan kajian. Beberapa penyelidik mencadangkan bahawa penyakit periodontium mungkin boleh menyumbang kepada penyakit jantung kerana bakteria dan hasil sampingannya dari gusi yang berpenyakit, memasuki sistem aliran darah dan melekat pada lapisan dalam salur darah serta membentuk bekuan darah yang boleh menyebabkan penyakit jantung.
Walau bagaimanapun, sesetengah kajian menunjukkan risiko untuk mengidap penyakit jantung mungkin dari faktor-faktor lain. Pesakit dengan penyakit periodontium berkongsi faktor risiko yang sama dengan pesakit yang mengalami penyakit kardiovaskular seperti umur, jantina, status sosioekonomi yang rendah, merokok dan tekanan.
Tanda tanda penyakit periodontium:
- Gusi berdarah semasa memberus gigi
- Gusi berwarna merah, bengkak dan sakit.
- Gusi terpisah dari gigi
- Nafas berbau
- Nanah di antara gigi dan gusi
- Gigi goyang dan kelihatan jarang
- Perubahan dalam gigitan atau semasa menggigit
Gusi yang bengkak, berdarah, menyusut dan renggang | Gusi yang merah dan bengkak di rahang atas |
Untuk mengekalkan kesihatan mulut yang baik, anda perlu:
- Memberus gigi dan menggunakan flos pergigian setiap hari.
- Sentiasa berwaspada dengan tanda tanda penyakit periodontium.
- Dapatkan pemeriksaan pergigian setiap 6 hingga 12 bulan.
- Pastikan anda memberitahu pegawai pergigian bahawa anda mempunyai penyakit jantung dan ubatan yang diambil.
- Mengikut arahan doktor pergigian dan perubatan serta mengambil ubatan yang diberi preskripsi seperti antibiotik jika perlu.
Rawatan Periodontium
Penyakit periodontium menyebabkan keradangan pada mulut. Bukti yang sedia ada menunjukkan bahawa keradangan pada badan boleh membawa kesan negatif pada kesihatan jantung dan salur darah. Paras protein C-reaktif di dalam darah merupakan petunjuk keradangan. Paras protein ini adalah tinggi bagi pesakit dengan penyakit periodontium dan penyakit kardiovaskular. Oleh itu, merawat penyakit periodontium sepatutnya boleh meningkatkan tahap kesihatan pengidap penyakit kardiovaskular.
Rujukan
- Beck JD, Offenbacher S, Williams RC, Gibbs P, Garcia K. Periodontitis: a risk factor for coronary heart disease? Ann Periodontol 1998: 3: 127-141.
- DeStefano F, Anda RF, Kahn HS, Williamson DF, Russell CM. Dental disease and risk of coronary heart disease and mortality. BMJ 1993: 306: 688-691.
- Periodontal Disease and Coronary Heart Disease / Atherosclerosis, Caranza’s Clinical Periodontology 11th Edition By Michael G. Newman DDS, Henry Takei DDS, MS, Perry R. Klokkevold, DDS,MS and Fermin A. Carranza, Dr. ODONT.
- Periodontal Disease and Atherosclerotic Vascular Disease: Does the Evidence Support an Independent Association? : A Scientific Statement From the American Heart Association. Peter B. Lockhart, Ann F. Bolger, Panos N. Papapanou et al; Circulation published online April 18, 2012.
- Imej dari: http://www.perio.org/consumer/heart_disease
- Foto Klinikal: Courtesy of Dr. Khamiza Binti Zainol Abidin.
Semakan Akhir | : | 18 Julai 2014 |
Penulis | : | Dr. Zaharah bt. Abd. Rahman |
Akreditor | : | Datin Dr. Indra a/p Nachiappan |
Penterjemah | : | Dr. Zaharah bt. Abd. Rahman |