A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Penyalahgunaan Ubat
  6. /
  7. Penyalahgunaan Ubat Perangsang Seks

Penyalahgunaan Ubat Perangsang Seks

Apakah dia ubat peransang seks?

Ubat peransang seks merupakan ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah gangguan seksual, seperti mati pucuk atau nama lainnya impotens/Erectile disfunction (ED). Di Malaysia, beberapa jenis ubat peransang seks telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia dan digunakan untuk merawat masalah ini. Antara jenama ubat peransang seks yang popular adalah Viagra (mengandungi sildenafil), Cialis (mengandungi tadalafil) dan Levitra (mengandungi vardenafil).

Penggunaan ubat peransang seks berdaftar dalam rawatan mati pucuk adalah dibenarkan setelah mendapat nasihat dari pengamal perubatan berdaftar (doktor). Selain itu bekalan juga boleh didapati daripada premis-premis farmasi berlesen dengan preskripsi doktor. Ubat peransang seks yang berdaftar akan mempunyai nombor pendaftaran ‘MAL’ dan label hologram pada pembungkusannya.

Penyalahgunaan ubat peransang seks.

Masalah seksual masih merupakan sesuatu yang ‘taboo’ bagi rakyat Malaysia, oleh itu tidak ramai pesakit yang tampil mendapatkan rawatan secara sah. Maka situasi ini telah dieksploitasi oleh individu-individu yang tidak beretika untuk mengaut keuntungan segera tanpa menghiraukan kesan buruk dan bahayanya kepada keselamatan individu dan masyarakat.

Permintaan tinggi dari individu yang hanya inginkan keseronokan tanpa menyedari bahaya penggunaan ubat-ubat ini turut menyebabkan peningkatan bilangan produk peransang seks tidak berdaftar di pasaran dan premis yang menjualnya. Keadaan ini dipergiatkan lagi dengan perkembangan sains dan teknologi yang telah memberi peluang kepada peniaga-peniaga untuk memasarkan produk mereka terutamanya melalui media sosial dan laman web. Kebanyakan iklan dan promosi produk-produk tersebut memaparkan testimoni yang sengaja direka tanpa sebarang asas dan tidak berpaksikan kepada bukti saintifik untuk menyokong dakwaan mereka.

Bentuk penyalahgunaan ubat peransang seks

Hasil pemantauan Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati pengeluar dan penjual kini menukar taktik dan kurang memasarkan produk mereka dalam bentuk dosej farmaseutikal. Ini dilakukan bagi mengelirukan pengguna di samping mengelakkan produk tersebut dari keperluan pendaftaran. Bahan aktif ubat peransang seks kini dikesan dicampur ke dalam produk tradisional, produk ubat bukan racun (OTC) dan produk berasaskan makanan seperti gula-gula, kopi pra campuran dan minuman kesihatan.

Bahan-bahan ini dipercayai telah diseludup masuk dari negara luar dan dicampur ke dalam produk-produk keluaran tempatan di kilang-kilang haram. Terdapat juga produk peransang seks yang telah siap diseludup masuk dari negara asal seperti China, India, Thailand dan Indonesia. Produk peransang seks dalam bentuk makanan ini dijual menggunakan nama-nama yang menjurus kepada aktiviti seksual seperti kopi hari-hari mau, ‘extend-up energy drink’ mahupun ‘mentalk candy’. Perubahan bentuk fizikalnya juga membolehkan produk ini diedarkan secara lebih meluas termasuklah ke kedai-kedai runcit, kedai makan mahupun kedai serbaneka.

1.1: Contoh produk makanan yang dikesan dicampur ubat peransang seks secara haram

1.2: Contoh laman web yang menjual ubat peransang seks tidak berdaftar

1.3: Senarai produk yang dikesan dicampur ubat peransang seks secara haram

** Senarai penuh boleh didapati dengan melayari : www.pharmacy.gov.my>perkhidmatan> senarai produk dikesan mengandungi bahan terlarang

Kesan Penggunan Ubat Peransang Seks

Pengambilan sebarang jenis ubat-ubatan tanpa nasihat dan pengawasan doktor boleh mendedahkan pengguna kepada kesan advers ubat tersebut. Sekiranya sesuatu ubat diambil dalam dos dan cara pengambilan yang betul maka kesan adversnya akan dapat dikurangkan. Antara kesan pengambilan ubat peransang seks adalah tekanan darah rendah di mana pengguna akan merasa pening hingga hampir pitam. Ianya juga boleh menyebabkan kerosakan hati, buah pinggang dan gangguan mental. Kombinasi dengan bahan nitrat yang terdapat di dalam produk lain boleh menyebabkan kesan kardiovaskular yang tidak diingini sehingga boleh menyebabkan mati mengejut.

Perlu diingat bahawa kesan yang disebutkan ini, adalah untuk bahan aktif yang pernah dibuat ujian klinikal seperti sildenafil dan tadalafil. Bahan aktif yang telah diubahsuai (analog-analog) yang kini banyak dicampurkan dalam ubat peransang seks tidak berdaftar tidak pernah diuji dan dikuatiri lebih memudaratkan kesihatan pengguna. Seseorang yang mempunyai jantung bermasalah atau tiada masalah mati pucuk tidak sepatutnya menggunakan ubat jenis ini.

Nasihat kepada pengguna

Semua pihak terutamanya pengguna diseru supaya sentiasa bersikap kritis dan teliti dalam membeli produk untuk kesihatan dan jangan membuat pembelian secara terburu-buru. Pengguna perlu berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata manis penjual produk-produk seperti ini. Perlu diingat, penjual produk tidak berdaftar hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan akan mengambil berbagai pendekatan untuk melariskan produk mereka. Antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah :-

  1. Dapatkan produk kesihatan daripada premis atau peniaga yang sah (klinik, farmasi) dan bukannya melalui penjual kaki lima ataupun pasar malam.
  2. Pastikan ubat yang dibeli dalam bungkusan asalnya, elakkan membeli sekiranya ianya telah dibuka atau dibungkus semula.
  3. Elakkan membeli produk yang dijual pada harga melebihi kebiasaan. (misalnya kopi pracampur atau gula-gula yang dijual melebihi RM 5 seunit).
  4. Dapatkan nasihat doktor atau ahli sebelum mencuba sesuatu produk untuk rawatan kesihatan.

Pembelian produk peransang seks melalui internet, orang perseorangan, kaki lima, pasar malam, pasar tani dan kedai-kedai yang tidak berlesen mahupun secara pos boleh membahayakan diri kerana produk yang dijual adalah tidak dijamin dari segi mutu dan keselamatannya.

Semakan Akhir : 09 September 2014
Penulis : Manzatul Azrul Azrie bin Sulaiman
Akreditor : Mazlan bin Ismail

Artikel Berkaitan

Tranexamic Acid

Pengenalan Tranexamic Acid merupakan salah satu bahan kimia yang tersenarai

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,114

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia