Pengenalan
Ramai orang keliru antara rabun dekat dan rabun tua. Ini kerana kedua-duanya akan mengadu kabur pada jarak dekat. Sebenarnya rabun dekat dan rabun tua adalah dua masalah mata yang berbeza.
Sebarang objek akan dilihat jelas sekiranya imej terbentuk di atas retina. Tiga komponen mata yang membantu untuk melihat dengan jelas adalah :
- Kuasa kornea iaitu bahagian mata yang paling hadapan
- Kuasa kanta mata
- Panjang bola mata
Rajah 1 : Anatomi mata
Sekiranya terdapat satu atau lebih komponen berada di luar julat normal, maka mata akan gagal memfokus dengan tepat di atas retina dan akan mengakibatkan rabun.
Rabun dekat atau hiperopia adalah satu keadaan di mana objek dekat menjadi kabur tetapi objek jauh kelihatan terang. Rabun dekat boleh dialami oleh semua peringkat umur.
Seseorang yang mengalami rabun tua atau presbiopia akan mempunyai penglihatan dekat yang kabur walaupun sudah memakai cermin mata untuk membetulkan rabun jauh atau rabun dekat.
Punca
Rabun dekat terjadi apabila imej sesuatu objek yang dilihat, terfokus di belakang retina seperti rajah di bawah.
Rajah 2 : Imej bagi objek jauh untuk mata normal dan rabun dekat
Ini disebabkan oleh :
- Kuasa kornea kurang dari nilai normal
- Kuasa kanta mata kurang dari nilai normal
- Panjang mata lebih pendek berbanding orang normal
Rabun tua adalah satu proses penuaan semulajadi yang terjadi akibat kanta mata telah menjadi keras dan kurang fleksibel. Kanta yang mengeras akan menghalang proses penebalan dan seterusnya mengakibatkan imej terfokus di belakang retina.
Rajah 3: Imej bagi objek dekat untuk mata normal dan rabun tua
Tanda dan Gejala
RABUN DEKAT | RABUN TUA |
---|---|
Kabur pada jarak dekat tetapi terang pada jarak jauh. Orang muda mungkin tidak mengalami apa-apa gejala | Kabur pada jarak dekat |
Rabun dekat yang tinggi akan mengakibatkan kabur pada jarak jauh dan dekat serta perlu mengecilkan mata untuk melihat jelas | Kabur pada jarak dekat |
Mata letih dan sakit kepala terutamanya selepas melakukan kerja dekat atau membaca | Mata letih dan sakit kepala terutamanya selepas melakukan kerja dekat atau membaca |
Memegang bahan bacaan pada jarak biasa | Perlu memegang bahan bacaan lebih jauh dari biasa |
Pencahayaan biasa | Perlu pencahayaan yang terang |
Tiada perbezaan ketara dengan peningkatan umur | Gejala bertambah teruk dengan peningkatan umur |
Komplikasi
Jika rabun dekat dan rabun tua tidak dibetulkan, ia akan mengakibatkan gejala seperti di atas dan seterusnya tumpuan dan prestasi kerja akan terjejas.
Rabun dekat pada kanak-kanak, jika tidak dirawat awal boleh mengakibatkan ambliopia atau mata malas.
Rawatan
1. Cermin Mata
Cermin mata adalah satu cara yang selamat dan menjadi pilihan ramai. Cermin mata untuk merawat rabun tua boleh didapati dalam bentuk cermin mata baca, dua lapis (bifokal) atau banyak lapis (multifokal).
Rajah 4 : Pembetulan rabun dekat dan rabun tua dengan menggunakan cermin mata
2. Kanta Lekap
Kini terdapat kanta lekap bifokal dan multifokal untuk merawat rabun tua. Kanta lekap memberikan penglihatan yang jelas dan medan penglihatan yang lebih besar. Walaubagaimanapun, tidak semua orang sesuai memakai kanta lekap. Sebelum memakai kanta lekap, seseorang itu perlu menjalani pemeriksaan komprehensif dari Pegawai Optometri atau Pakar Oftalmologi.
3. Pembedahan Refraktif
Pembedahan dilakukan oleh Pakar Oftalmologi di mana permukaan kornea diubah bentuknya secara kekal bagi mengatasi masalah rabun.
Rujukan :
- http://www.blundelloptometry.com/about.htm
- http://holbert.com/eye-disorders/
- http://www.allaboutvision.com/eye-exam/refraction.htm
Semakan akhir | : | 18 April 2014 |
Penulis | : | Pn. Siti Hamiza binti Abd. Halim |