Pengenalan
Perkhidmatan pergigian sekolah telah diperkenalkan pada tahun 1957. Penjagaan kesihatan pergigian yang komprehensif dan sistematik ini diberi untuk memastikan murid-murid sekolah mempunyai kesihatan mulut yang baik apabila mereka tamat zaman persekolahan.
Jururawat dan pegawai pergigian bertanggungjawab memeriksa dan merawat murid-murid tersebut.
Bagaimanakah Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Sekolah Disampaikan?
Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Sekolah diberikan melalui:
- Klinik Pergigian Sekolah
Klinik-klinik pergigian sekolah terletak dalam bilik khas di sekolah-sekolah rendah atau menengah tajaan kerajaan yang terpilih. - Pasukan Pergigian Bergerak
Pasukan ini memberikan perkhidmatan kesihatan pergigian kepada murid-murid sekolah, termasuk yang tinggal di kawasan pedalaman. Klinik pergigian sementara diadakan di tempat yang sesuai di sekolah, menggunakan peralatan mudah alih. - Klinik Pergigian Bergerak
Merupakan sebuah kenderaan yang diubah suai serta dilengkapi dengan kerusi dan peralatan pergigian. Klinik ini memberikan perkhidmatan kepada murid-murid di sekolah-sekolah yang mempunyai ruang terhad.
Apakah Jenis Perkhidmatan Yang Disediakan?
Perkhidmatan yang disediakan di sekolah adalah penjagaan pergigian asas termasuk pemeriksaan, pendidikan kesihatan pergigian, tampalan, cabutan, penskaleran dan profilaxis. Jika rawatan yang kompleks diperlukan, murid-sekolah tersebut akan dirujuk kepada pakar pergigian.
Adakah Bayaran Dikenakan?
Rawatan asas yang diberikan kepada murid-murid di sekolah tidak dikenakan sebarang bayaran kecuali dentur, korona dan ortodontik.
Siapakah Yang Layak Menerima Rawatan?
Semua murid sekolah rendah dan menengah yang mendapat keizinan / kebenaran rawatan daripada ibu bapa atau penjaga, layak menerima rawatan.
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar |
Penyemak | : | Dr. Sharol Lail bin Sujak |