Pengenalan
Umumnya manusia melalui tiga peringkat perkembangan yang utama iaitu kanak-kanak, remaja dan dewasa. Setiap peringkat mempunyai ciri perkembangan psikologikalnya yang tersendiri. Peringkat paling penting yang dialami oleh semua manusia ialah peringkat remaja. Ketika peringkat ini semua individu mengalami satu proses akil baligh. Akil baligh boleh didefinisikan kepada pencapaian kematangan seksual pada lelaki dan perempuan.
Tanda permulaan akil baligh, bagi lelaki merujuk kepada pancaran air mani yang pertama manakala perempuan merujuk kepada waktu haid yang pertama. Permulaan usia remaja menurut WHO (badan PBB untuk kesihatan dunia) adalah 12 sampai 24 tahun. Selepas peringkat ini seseorang individu itu sudah mempunyai keupayaan dari segi pembiakkan. Tetapi dalam menghadapi situasi ini sudah tentu ada di kalangan individu yang tidak tahu atau tidak bersedia menghadapi akil baligh ini dan seterusnya mengganggu emosi mereka.
Ciri-Ciri Akil Baligh
Apabila melangkah alam remaja, individu akan mempelajari cara–cara menyesuaikan diri dengan alam sekelilingnya. Bermula dengan proses penyesuaian pada bentuk dan perasaan yang ada pada tubuh dan kemudian penyesuaian dengan manusia dan situasi yang berlainan. Selepas itu, barulah mereka akan melangkah ke alam dewasa. Fizikal remaja mengalami perubahan yang ketara dan berlaku secara tiba-tiba. Sifat seksual kedua seperti bulu badan, pertambahan lemak badan, perkembangan otot, dan kematangan organ seksual akan menimbul dalam perubahan fizikal remaja. Bagi remaja lelaki mereka akan mengalami suara menjadi garau, misai dan janggut mula tumbuh, bahu dan dada menjadi bidang, jerawat mula tumbuh, mengalami mimpi yang menghairahkan sehingga mengeluarkan air mani.
Hormon “lelaki” dan hormon “perempuan” muncul dalam kedua-dua seks, tetapi lelaki mempunyai hormon bernama androgens yang lebih banyak, dan hormon yang terpenting, testoterone berbanding dengan perempuan, manakala perempuan pula mempunyai hormon dipanggil estrogen dan progesterone yang lebih banyak berbanding dengan lelaki (Tanner, 1978).
Gejala Gangguan Emosi
Waktu remaja adalah waktu yang amat kompleks. Pelbagai masalah seperti perubahan pada diri, perubahan mental, percubaan-percubaan dalam hidup dan pelbagai peristiwa berlaku pada waktu ini. Masa remaja dikatakan zaman yang menimbulkan pelbagai konflik yang menyebabkan tekanan jiwa kepada individu. Hal ini kerana seseorang remaja gemar mencuba sesuatu yang kadang-kala bertentangan dengan norma sosial masyarakat. Contohnya pengambilan dadah, seks bebas dan sebagainya.
Satu fenomena yang sering kedengaran kini ialah pertelingkahan di antara remaja dan ibu-bapanya. Perkara ini berlaku akibat tidak ada komunikasi kerana adanya jurang generasi. Hal ini menyebabkan berlakunya kes-kes remaja lari dari rumah dan menjadi satu fenomena dan fokus permasalahan remaja masa kini.
Persediaan Ibubapa Menghadapi Anak yang Akil Baligh
Semasa remaja, mereka mula mengambil tindakan yang berisiko dan bereksperimen. Ini adalah titik permulaan bagi remaja untuk beralih dari alam yang berpusat kepada keluarga (family-centered) kepada komuniti yang jauh lebih luas di mana mereka mula tercari-cari identiti diri sendiri. Remaja mungkin akan memilih kawan-kawan yang tidak disenangi oleh ibu bapa atau mencuba merokok, menghisap dadah, melakukan hubungan seks dan minum minuman beralkohol. Mereka turut bergaya dengan fesyen semasa, membanding-bandingkan gaya hidup keluarga mereka dengan keluarga yang lain serta melanggar peraturan rumah atau norma masyarakat.
Ibubapa perlu memberikan sokongan sosial kepada anak-anak mereka dan memberikan tauladan kepada anak. Jika mereka perlukan pandangan dan nasihat ibubapalah yang tepat untuk memberikan nasihat tersebut bukan rakan sebaya, sebab jika anak-anak lebih percayakan rakan sebaya berbanding dengan ibubapanya bimbang jika mereka mendapat nasihat dari rakan sebaya yang mempunyai akhlak yang tidak baik dan membentuk tingkahlaku yang tidak baik juga.
Persediaan Anak-Anak Menghadapi Akil Baligh
lbubapa biasanya merasa gembira kerana anda telah menjadi matang, tetapi mungkin akan merasa sedih kerana kini anda tidak lagi bergantung sepenuhnya dengan mereka. Anda mungkin menghadapi tekanan untuk memilih antara peraturan ibubapa dengan kemahuan anda sendiri.
Anda perlu belajar berbincang dan berkongsi perasaan dengan ibubapa. Luahkan perasaan anda dengan ibubapa. Hiaslah diri anda dengan nilai-nilai murni seperti, hormatilah orang-orang yang lebih tua dari anda, hindarkan diri dari pengaruh rokok, dadah dan arak, amanah, dekatilah diri anda dengan ajaran agama, bantulah rakan yang memerlukan pertolongan serta menabung untuk masa depan anda.
Kesimpulan
Zaman remaja atau akil baligh adalah menyeronokan sekiranya anda memahami mengenai perubahan fizikal, emosi, mental dan sosial semasa remaja, anda mahu belajar dan bertanya mengenai alam remaja serta mahu berkongsi perasaan dan emosi anda dengan ahli keluarga kerana dari keluargalah segala sumber tentang ilmu akil baligh dan remaja diperolehi.
Semakan Akhir | : | 26 Mac 2014 |
Penulis | : | Mohd Safie bin Zakaria |