A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pewarna Rambut

Pengenalan

Pewarna rambut dikenali juga sebagai cat rambut yang digunakan untuk menukar warna rambut. Kebiasaannya, ia digunakan bertujuan untuk menutupi rambut beruban, memberi warna yang diingini pada rambut untuk tujuan fesyen atau mengembalikan/mengubah warna asal rambut. Sumber warna boleh diperolehi daripada alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan atau warna sintetik.

Perubahan warna rambut daripada warna asli rambut kepada warna yang lebih terang perlu melalui proses pemudaran rambut atau “bleaching”. Namun yang demikian, proses ini mempunyai risiko yang boleh mengakibatkan rambut menjadi rosak seperti mudah putus dan bercabang.

Bahan asas di dalam pewarna rambut kebiasaannya adalah hidrogen peroksida dan ammonia. Kandungan hidrogen peroksida di dalam sediaan pewarna rambut akan menentukan jenis pewarna rambut tersebut. Pewarna rambut kekal mengandungi kepekatan hidrogen peroksida yang lebih tinggi berbanding pewarna rambut separa kekal manakala pewarna rambut sementara mengandungi kepekatan hidrogen peroksida yang paling sedikit.

Pewarna rambut terbahagi kepada 3 jenis iaitu:

  1. Pewarna rambut sementara

    Pewarna rambut sementara hanya bertindak seketika dengan cara menyaluti helaian rambut (coating). Ia tidak merubah warna asli rambut dan pewarna tersebut akan hilang dengan bilasan/basuhan.

  2. Pewarna rambut separa kekal

    Pewarna jenis ini memiliki daya lekat yang tidak terlalu lama dan akan bertahan dalam jangka masa yang pendek kebiasaanya selama beberapa minggu. Rambut yang disaluti pewarna jenis ini akan pudar dengan setiap bilasan/basuhan.

  3. Pewarna rambut kekal

    Pewarna rambut kekal memiliki daya lekat yang jauh lebih lama dan warna akan kekal sehingga rambut baru tumbuh, rambut dipotong atau dilunturkan.

Adakah produk pewarna rambut boleh memberikan kesan alergi?

Pewarna rambut mempunyai potensi untuk memberikan kesan alergi kepada penggunanya. Oleh yang demikian, pengunaan pewarna rambut perlu dilakukan secara berhati-hati dan langkah-langkah keselamatan perlu diambil untuk memastikan penggunaannya tidak mendatangkan mudarat.

Antara bahan di dalam pewarna rambut yang boleh menyebabkan kesan alergi adalah para-phenylenediamine (PPD). Simptom-simptom alergi disebabkan oleh bahan ini adalah seperti dermatitis di kawasan kelopak mata, telinga, kulit kepala, leher dan muka. Ia juga boleh menyebabkan kesan yang serius kepada seluruh tubuh badan seperti kulit menjadi gatal dan membengkak.

Gambar 1: Kesan alergi yang dialami akibat bahan PPD

Gambar 2: Dermatitis Kontak disebabkan oleh produk pewarna rambut yang mengandungi para-phenylenediamine (PPD)

Bagaimana kesan alergi dapat dielakkan dan apa yang perlu dibuat sekiranya pengguna mengalami kesan alergi?

Kesan alergi adalah berbeza di antara seorang individu dengan individu yang lain. Ia bergantung kepada sensitiviti individu. Kejadian alergi boleh dielak atau dikurangkan dengan:

  1. Memastikan produk kosmetik yang hendak digunakan telah bernotifikasi dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA)), Kementerian Kesihatan Malaysia. Status produk kosmetik boleh disemak melalui laman sesawang rasmi NPRA di pautan www.npra.moh.gov.my
  2. Semak senarai bahan-bahan yang terkandung di dalam produk terlebih dahulu untuk mengenalpasti dan mengelakkan daripada menggunakan bahan-bahan yang boleh menyebabkan kesan alergi berdasarkan pengalaman penggunaan produk seumpamanya sebelum ini.
  3. Melakukan ujian sensitiviti kulit (patch test) terlebih dahulu iaitu dengan meletakkan sedikit produk yang hendak digunakan di bahagian belakang pergelangan tangan (inner wrist) atau bahagian siku selama 24 jam untuk melihat sekiranya ada reaksi alergi.
  4. Baca dan ikut arahan tatacara penggunaan produk yang telah ditetapkan pada produk.
  5. Menggunakan produk dengan berhati-hati apabila digunakan pada kawasan berhampiran mata.
  6. Elakkan dari mewarnakan bulu kening dan bulu mata.
  7. Elakkan dari mewarnakan rambut kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.
  8. Elakkan dari menggunakan pewarna rambut jika mengalami ruam pada muka atau pada individu yang mempunyai masalah kulit kepala dan kulit kepala sensitif.
  9. Berhenti menggunakan produk tersebut untuk seketika pada kawasan yang terlibat.
  10. Dapatkan khidmat nasihat perubatan atau rawatan daripada doktor sekiranya simptom berterusan walaupun penggunaan telah diberhentikan.

Kawalan Produk Pewarna Rambut di Malaysia

Di Malaysia, produk pewarna rambut dikategorikan sebagai produk kosmetik. Oleh itu, kawalan pengimportan, pengilangan dan/atau penjualannya adalah tertakluk di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 di mana semua produk kosmetik perlu dinotifikasi kepada Agensi Regulatori Farmasi Negara (National Regulatory Pharmaceutical Agency (NPRA)) terlebih dahulu sebelum sesuatu produk kosmetik tersebut boleh dikilang, dijual, diedar atau diimport. Notifikasi kosmetik hanya boleh dibuat secara atas talian (online) melalui laman sesawang www.npra.moh.gov.my.

Pihak syarikat yang bertanggungjawab membuat notifikasi dan memasarkan produk kosmetik di Malaysia perlu memberikan maklumat yang diperlukan seperti nama dan jenama produk, jenis produk, kegunaan produk, presentasi produk dan senarai bahan yang digunakan di dalam produk.

Pihak syarikat perlu memastikan produk tersebut mematuhi keperluan yang telah ditetapkan di dalam Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia dan lain-lain garis panduan, akta dan peraturan yang berkaitan.

Notifikasi produk kosmetik yang tidak memenuhi keperluan peraturan dan garis panduan yang ditetapkan akan ditolak atau dibatalkan dan produk kosmetik tersebut tidak dibenarkan untuk berada di pasaran Malaysia. Ini adalah untuk melindungi pengguna daripada menggunakan produk tidak berkualiti dan tidak selamat.

Rujukan

  1. Schlatter, H., Long, T. and Gray, J. (2007), An overview of hair dye safety. Journal of Cosmetic Dermatology, 6: 32–36. doi:10.1111/j.1473-2165.2007.00318.x
  2. Vicky Uhland (24 April 2008),Natural hair dyes offer safe option. Diakses pada 20 Mei 2016 melalui http://newhope.com/research-and-insights/natural-hair-dyes-offer-safe-option
  3. Hair dye reactions (03/09/2015). Diakses pada1 November 2016 melalui
    http://www.nhs.uk/Conditions/hair-dye-allergy/Pages/Introduction.aspx
  4. Laman sesawang rasmi Agensi Regulatori Farmasi Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia diakses pada 5 Jun 2016 melalui www.npra.moh.gov.my
Semakan Akhir : 25 Februari 2017
Penulis : Hairanie bt. Sa’ban
Penyemak : Noor Hidayah bt. Mohd Nor

Artikel Berkaitan

Bolehkah ubat dihancurkan?

Pengambilan ubat biji secara oral merupakan kaedah rawatan yang paling kerap dan paling mudah dilakukan. Namun begitu, masalah akan timbul apabila pesakit tidak berupaya menelan makanan pepejal dan menyebabkan pengambilan ubat biji secara oral turut terjejas.

Antiepileptik (Sawan)

Epilepsi merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh perubahan cas elektrik yang tidak terkawal secara tiba- tiba pada bahagian otak dan mengganggu fungsi sistem saraf yang normal. Ini menyebabkan penghidapnya mengalami sawan berulang kali atau tidak sedarkan diri dan tidak dapat mengawal pergerakan badan secara tiba-tiba.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,135

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia