Apa itu pneumothorax?
Pneumothorax adalah pengumpulan udara atau gas di bahagian rongga di antara paru-paru dan dinding dada disebabkan terdapatnya kebocoran di antara rangka dada dan paru-paru (ruang pleura) atau paru-paru itu sendiri. Ini akan menyebabkan paru-paru menjadi kecut.
Apakah penyebab dan jenis-jenis pneumothorax?
- Pneumothorax primer atau spontaneous pneumothorax berlaku secara spontan/tiba-tiba. Ia berlaku kepada mereka yang mempunyai gelembung udara nipis (dipanggil subpleura blebs/bullae) pada paru-paru sejak lahir. Ia pecah secara tiba-tiba mungkin kerana terdapat perubahan tekanan yang berlebihan di antara atmosfera dan rongga dada.
- Pneumothorax sekunder atau complicated pneumothorax berlaku disebabkan oleh penyakit paru-paru seperti jangkitan paru-paru, kanser paru-paru, penyakit asma/chronic obstructive pulmonary disease (COPD) atau disebabkan oleh kecederaan/trauma fizikal pada dinding dada seperti keretakan/patah pada tulang rusuk atau kecederaan pada dinding dada akibat tikaman dan tembakan dan komplikasi dari bantuan pernafasan (ventilasi).
Apakah komplikasi pneumothorax?
Tension pneumothorax adalah komplikasi yang boleh membawa kematian dan memerlukan rawatan serta-merta. Mekanisme injap satu arah berlaku di mana udara boleh memasuki rongga dada dan paru-paru semasa menyedut nafas (inspirasi) tetapi udara tidak dapat keluar semasa menghembus nafas (ekspresi). Akibatnya tekanan pada rongga dada meningkat, paru-paru mengecut dan pengaliran darah tersekat.
Apakah faktor risiko pneumothorax?
- Kebanyakan pneumothorax disebabkan oleh subpleura blebs/bullae yang terbentuk di paru-paru.
- Lelaki muda yang tinggi atau Sindrom Marfan’s.
- Merokok. Perokok lelaki- risiko meningkat 22 kali ganda. Perokok wanita- risiko meningkat 8 kali ganda. Risiko juga bertambah mengikut banyaknya bilangan rokok- perokok tegar berisiko tinggi.
- Jangkitan atau penyakit paru-paru seperti penyakit tuberculosis(tibi) paru-paru, sarkoidosis, cyctic fibrosis, kanser paru-paru dan pneumocystic carinii dalam pesakit AIDS.
Apakah tanda-tanda/gejala pneumothorax?
- Pneumothorax spontan selalunya berlaku semasa rehat.
- Sepertiga pesakit mengalami sakit dada dan sesak nafas.
- Batuk
- Jantung berdebar/ degupan laju
- Kulit menjadi biru disebabkan kurang oksigen
Bagaimana pneumothorax dikesan/diagnos?
- Pemeriksaan dada dengan stetoskop menunjukkan kurang kemasukan udara ke dalam paru-paru yang terlibat.
- Pemeriksaan x-ray dada.
Bagaimana pneumothorax dirawat?
- Pneumothorax yang kecil boleh baik dengan sendirinya dalam masa dua minggu.
- Pneumothorax yang besar memerlukan tiub dada (chest tube) di masukkan di antara paru-paru dan dinding dada (ruang pleura) untuk mengeluarkan udara yang terperangkap serta memastikan paru-paru tidak terus mengecut.
Apakah kesan/prognosis pneumothorax?
Kesan pneumothorax bergantung kepada jenis dan keterukan pneumothorax. Pneumothorax yang kecil akan baik dengan sendirinya tanpa rawatan. Pneumothorax sekunder berkaitan dengan penyakit paru-paru walaupun kecil, adalah serius dan boleh membawa kematian dan perlu rawatan segera. Pesakit yang pernah mengalami pneumothorax mempunyai risiko tinggi berulangnya pneumothorax. Kadar berulangnya pneumothorax adalah lebih kurang 40% dan mungkin berlaku dalam masa 1.5 hingga 2 tahun.
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2021 |
Penulis | : | Dr. Wan Fadhilah bt. Wan Ismail |
Akreditor | : | Dr. Norzila bte. Zainudin |
Penyemak | : | Dr. Nazhatussima bt. Suhaili |