Pengenalan
Kecantikan sering kali diukur dengan kulit wajah yang cerah dan berseri serta bebas daripada cela. Bagi mendapatkan tona wajah yang diidamkan, ada yang sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk mencuba pelbagai jenis produk pencerah/pemutih wajah yang terdapat di pasaran.
Tidak dinafikan bahawa permintaan terhadap produk sedemikian amat tinggi khususnya di kalangan wanita tanpa mengira peringkat usia. Bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini, pengguna seharusnya perlu mendapatkan maklumat yang mencukupi sebelum mengambil keputusan untuk mencuba sesuatu produk.
Bahan-bahan lazim dalam produk pemutih/pencerah kulit dan kesannya
Formulasi produk pencerahan kulit lazimnya terdiri daripada satu atau kombinasi beberapa bahan pencerah seperti vitamin C, kojic acid, tranexamic acid, alpha hydroxy acids (AHA), nicotinamide (vitamin B3), arbutin, ekstrak tumbuhan-tumbuhan dan sebagainya.
Secara umumnya, bahan- bahan tersebut bertindak ke atas proses penghasilan melanin, iaitu sejenis bahan dalam badan yang mempengaruhi warna kulit manusia.
Sesuatu produk tidak semestinya mempunyai kesan yang sama ke atas setiap individu. Kesan yang berbeza berkemungkinan berpunca daripada perbezaan struktur kulit atau tahap pemasalahan kulit antara individu yang turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuklah amalan diet, tekanan, aktiviti fizikal, tahap pendedahan terhadap cahaya matahari dan sebagainya
Kawalan produk pemutih/pencerah kulit di Malaysia
Produk pemutih/pencerah kulit yang dibenarkan dalam pasaran adalah merujuk kepada krim, losyen atau sediaan lain yang digunakan secara luaran sahaja. Ianya sama sekali tidak termasuk produk yang digunakan secara suntikan atau dimakan.
Produk suntikan perlu melalui prosedur penilaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan yang terperinci sebelum dibenarkan untuk didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan hanya boleh diaplikasi ke atas individu yang memerlukan oleh doktor perubatan yang bertauliah. Produk pemutih/pencerah kulit yang dimakan juga turut dikawal oleh KKM dan perlu melalui prosedur regulatori tertentu bergantung kepada komposisi atau kandungan bahan yang digunakan.
Berdasarkan rekod pengawasan mutu produk kosmetik di pasaran, produk yang digunakan untuk pencerahan wajah seringkali dicemari oleh bahan-bahan yang dikategorikan sebagai racun berjadual seperti hydroquinone, tretinoin, azelaic acid dan merkuri. Merujuk kepada Akta Racun 1952, hydroquinone (kecuali bagi sediaan kuku palsu), tretinoin, azelaic acid hanya dibenarkan dalam produk farmaseutikal yang berdaftar dengan KKM. Produk sedemikian hanya boleh digunakan di bawah pengawasan profesional kesihatan kerana tanpa pengawasan yang sewajarnya, ianya boleh mendatangkan kesan mudarat yang serius kepada pengguna. Selain bahan-bahan tersebut, merkuri, iaitu sejenis logam berat yang merbahaya terhadap kesihatan, juga turut dikesan dalam sesetengah produk pencerah wajah.
Senarai terkini bagi produk kosmetik yang telah dikesan mengandungi bahan-bahan larangan turut dipaparkan untuk rujukan orang ramai di laman sesawang rasmi Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my. Ironinya, produk pencerah wajah yang mengandungi bahan larangan sering dipromosikan sebagai dapat memberikan kesan pemutihan yang ketara dalam tempoh masa yang singkat.
Tips kepada pengguna
Pengguna dinasihatkan agar lebih rasional terhadap kesan yang dijangka ekoran penggunaan sesuatu produk kosmetik. Faktor keselamatan hendaklah diutamakan berbanding kesan terhadap kecantikan. Ini kerana produk yang memberikan hasil yang diingini terutama dalam masa yang singkat tidak semestinya telah turut terbukti sebagai selamat untuk digunakan.
Berikut adalah tips yang boleh diikuti oleh pengguna:
- Membaca maklumat yang tertera pada label produk dengan teliti dan mematuhi saranan yang ditetapkan.
- Sentiasa melindungi kulit daripada faktor yang boleh merosakkan kulit seperti cahaya matahari dan persekitaran yang tercemar serta mengamalkan gaya hidup sihat dan diet yang seimbang.
- Tidak mudah terpedaya dengan iklan produk yang menjanjikan perubahan drastik. Produk kosmetik memerlukan masa untuk bertindak secara selamat ke atas punca yang boleh menyebabkan kegelapan kulit.
- Merujuk kepada profesional kesihatan/kecantikan yang bertauliah bagi mengenalpasti masalah sebenar yang dihadapi dan jenis produk yang bersesuaian.
- Berhenti menggunakan sesuatu produk kosmetik sekiranya mendapat tindakbalas sampingan yang tidak diingini dan merujuk kepada doktor jika perlu.
Selain itu, semakan status notifikasi produk kosmetik boleh dibuat pada laman sesawang NPRA. Sebarang aduan atau kesan sampingan yang serius akibat penggunaan produk kosmetik juga perlu dirujuk kepada pihak NPRA.
Semakan Akhir | : | 05 Februari 2014 |
Penulis | : | Nik Shamsiah bt. Nik Salleh |
Akreditor | : | Zuraida bt. Abdullah |