Pterygium adalah ketumbuhan yang tidak berbahaya dan bukan sejenis kanser. Ia terjadi pada konjuntiva iaitu tisu mukosa yang melitupi bahagian mata putih. Pterygium biasanya berbentuk segi tiga. Dalam sesetengah kes pterygium yang teruk akan melibatkan permukaan kornea iaitu bahagian tengah mata yang melitupi mata hitam. Kebiasaannya pterygium tidak mendatangkan masalah yang serius atau memerlukan rawatan, walau bagaimanapun dapat dibuang sekiranya mengganggu penglihatan.
Gambar di ambil dari Kanski’s clinical ophthalmology |
http://rjkoptometry.com.au/wp-content/uploads/2012/11/pterygium.jpg |
Penyebab
Pendedahan terhadap sinaran ultra-ungu dipercayai menjadi penyebab yang signifikan dalam pertumbuhan pterygium. pterygium lebih kerap terjadi pada mereka yang tinggal di kawasan bercuaca panas dan kering serta mereka yang kerap berada di luar bangunan di bawah sinaran matahari. Risiko terjadinya pterygium lebih tinggi dikawasan yang lapisan ozon yang telah menipis disebabkan kurangnya penapisan sinaran ultra-ungu. Faktor lain yang boleh menyumbang kepada terjadinya pertumbuhan pterygium adalah mereka yang berkulit cerah.
Gejala dan Tanda
- Mata merah
- Rasa tidak selesa dalam mata (berpasir)
- Rasa seperti ada bendasing di dalam mata
- Mata kering
- Kabur penglihatan sekiranya pterygium telah merebak ke lapisan kornea
Rawatan
Rawatan pterygium bergantung kepada saiz , status, gejala pterygium, dan sama ada mengganggu penglihatan atau tidak. Pterygium dapat dirawat secara medikal atau pembedahan.
Rawatan Medikal
Ubat titis mata (air mata palsu – pelembab) digunakan untuk mengurangkan ketidakselesaan mata dan mata merah.
Rawatan Pembedahan
Pembedahan dinasihatkan sekiranya pterygium telah mengganggu penglihatan. Pembedahan dijalankan dibawah pengaruh bius setempat dan prosedur mengambil masa dalam 30 minit. Ubat titis mata(kombinasi antibiotik dan steroid) akan diberi selepas pembedahan untuk mengelakkan berlakunya jangkitan kuman dan membantu dalam proses penyembuhan.
1) http://lindavision.com/wp-content/uploads/2013/09/Linda-Vu-MD-Pterygium-Carnosidad-Gallery-32.jpg 2) http://openi.nlm.nih.gov/imgs/512/148/2629906/2629906_kjo-22-147-g002.png |
Pencegahan
Bagi mengurangkan risiko pertumbuhan pterygium:
- Guna cermin mata yang dapat menapis sinaran ultra-ungu
- Amalkan memakai cermin mata hitam dan topi bila berada di luar bangunan
Rujukan
- Pterygium: Causes, Symptoms & Diagnosis – Healthline
www.healthline.com › Reference Library - Pterygium (conjunctiva) – Wikipedia, the free encyclopedia
https://en.wikipedia.org/wiki/Pterygium_(conjunctiva) - Pterygium – causes, symptoms, treatment & prevention
https://www.southerncross.co.nz/../ - Kanski’s Clinical Ophthalmology
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis/Penterjemah | : | Dr. Rosniza bt. Ab Razak |
Akreditor | : | Dr. Shamala a/p Retnasabapathy |
Penyemak | : | Dr. Rosniza bt. Ab Razak |