Jika anda menghidap penyakit kanser anda mungkin dirujuk ke pusat radioterapi untuk mendapatkan rawatan.
Apa Itu Radioterapi?
Radioterapi (RT) ialah satu modaliti atau kaedah rawatan yang digunakan dalam pengurusan rawatan penyakit kanser. Kaedah ini menggunakan radiasi mengion bertenaga tinggi untuk membunuh sel-sel kanser. Pemberian dos tinggi ditujukan kepada sasaran (ketumbuhan) untuk menyembuh, mengawal atau menggurangkan simptom-simptom yang dialami. Walau bagaimanapun, kawasan yang berdekatan juga akan menerima sebahagian daripada dos radiasi yang boleh mengakibatkan kesan-kesan sampingan.
Dalam pengurusan penyakit kanser, RT boleh diberi secara bersendirian atau digabungkan dengan modaliti lain seperti berikut:
- Pembedahan
- Kemoterapi
- Terapi Hormon
Bagaimanakah Pemberian Radioterapi?
Radioterapi boleh diberi dengan dua cara iaitu:
- Teleterapi (RT Bim Luaran)
- Brakiterapi (RT Bim Dalaman)
Teleterapi
Dalam penyampaian cara rawatan ini, radiasi yang dihasilkan oleh mesin yang dikenali sebagai Pemecut Linear (atau peralatan yang seumpama dengannya), akan ditujukan kepada bahagian badan yang dirawat.
Pemecut Linear (Mesin Teleterapi) | Pesakit menjalani Teleterapi |
Semasa rawatan, pesakit akan dibaringkan di atas couch (katil khas) dan beberapa bim atau alur radiasi akan ditujukan kepada bahagian badan dari pelbagai sudut kerana pemecut linear ini boleh berpusing mengelilingi pesakit.
Radioterapi diberi dalam beberapa sesi rawatan mengikut preskripsi dan arahan doktor. Sebagai contoh, dos radiasi bagi rawatan kanser payudara boleh diberi sebanyak 5000cGy untuk 25 kali dalam jangka masa lima (5) minggu. Preskripsi rawatan adalah berbeza bagi pelbagai kanser dan bergantung juga pada tahap penyakit, keadaan pesakit dan sama ada RT digabungkan dengan modaliti lain.
Pesakit boleh memilih untuk berulang dari rumah atau tinggal di wad semasa menjalani radioterapi bim luaran.
Brakiterapi
Brakiterapi melibatkan penggunaan sumber radioaktif semula jadi. Rawatan diberi dengan menempatkan sumber asli yang mengeluarkan radiasi, di dalam kaviti, lumen, tisu atau di permukaan kulit, bahagian badan pesakit yang dirawat.
Mesin Brakiterapi High Dose Rate | Pesakit menjalani rawatan brakiterapi |
Sumber radiasi akan disalurkan melalui tiub penyambung yang menghubungkan mesin dengan aplikator (alat) yang ditempatkan dalam kaviti, lumen atau tisu. Bagi applikasi permukaan kulit acuan khas akan dibina daripada lilin atau seumpamanya untuk menempatkan aplikator bagi tujuan rawatan.
Kebiasaannya, rawatan ini diberi dalam beberapa sesi di antara 2 – 4 sesi untuk mencapai dos yang diperlukan. Ianya diberi sekali atau dua kali seminggu mengikut preskripsi doktor. Brakiterapi lazimnya digunakan dalam rawatan kanser serviks, rahim dan nasofarinks dan ianya digabungkan dengan RT bim luaran.
Apakah Matlamat Radioterapi?
Apa jua cara yang digunakan, sama ada Teleterapi atau Brakiterapi, RT diberi untuk membunuh sel-sel kanser dengan memusnahkan DNA (deoxyribonucleic acid) sel-sel tersebut untuk mencapai matlamat-matlamat rawatan berikut:
- Kuratif (penyembuhan)
- Paliatif (mengawal penyakit dan simptom)
Kesan Sampingan Radioterapi
Seperti lain-lain rawatan, RT juga mungkin memberi kesan sampingan kepada pesakit. Ini adalah kerana sel-sel normal yang terdapat di kawasan rawatan juga akan menerima radiasi. Kesan sampingan yang mungkin dialami bergantung kepada faktor-faktor berikut:
- Bahagian badan yang dirawat.
- Isipadu (Volume) tisu yang dirawat.
- Jumlah dos yang diberi.
- Gabungan RT dengan modaliti lain seperti kemoterapi.
Sila dapatkan keterangan lanjut mengenai kesan sampingan RT.
Pasukan Radioterapi
Pasukan Radioterapi terdiri daripada anggota pelbagai disiplin yang bertanggungjawab di atas pengurusan, rawatan dan penjagaan pesakit-pesakit kanser.
- Pakar Onkologi Klinikal dan Pegawai Perubatan
– Bertanggungjawab secara menyeluruh di atas pengurusan, rawatan dan penjagaan pesakit kanser.
- Pegawai Sains Fizik
– Bertanggungjawab di atas aktiviti penjaminan mutu dan perlindungan radiasi.
– Penjanaan pelan-pelan rawatan dan pengiraan dos rawatan (Dosimetri).
- Juru X-ray Terapi
– Bertanggungjawab dalam perancangan (simulasi) dan pemberian rawatan radioterapi kepada pesakit-pesakit.
– Penyediaan peralatan dan aktiviti penjaminan mutu harian peralatan.
- Jururawat
– Bertanggungjawab di atas pengurusan kejururawatan dan penjagaan pesakit di klinik, wad dan bilik prosedur brakiterapi.
Pusat Rawatan Radioterapi
Kementerian Kesihatan Malaysia menyediakan perkhidmatan radioterapi di pusat radioterapi berikut:
Institut Kanser Negara, Putrajaya
No 4, Jalan P7, Presint 7, 62250 Putrajaya
No. Tel.: 03-8892 5555
Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Hospital Kuala Lumpur
Jalan Pahang, 50586 Kuala Lumpur
No. Tel.: 03-2615 5555
Pusat Rawatan Radioterapi dan Onkologi, Hospital Sultan Ismail
Jalan Persiaran Mutiara Emas Utama, Taman Mount Austin, 81100 Johor Bharu, Johor
No. Tel.: 07-356 5000
Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Hospital Umum Sarawak
Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, 93586 Kuching, Sarawak
No. Tel.:082-276 662
Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas
Karung Berkunci 187, 88996 Kota Kinabalu, Sabah
No. Tel.: 088-522 600
Kementerian Pelajaran juga menyediakan perkhidmatan radioterapi di pusat-pusat berikut:
- Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, Selangor
- Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur
- Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan
Terdapat beberapa pusat radioterapi swasta di seluruh Negara. Sila layari website Malaysian Oncological Society (MOS) untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Rujukan
- Griffiths, S. & Short, C. (1994). Radiotherapy: Principles to Practice, Churchill Livingstone
- http://en.wikipedia.org/wiki/Ionozing_radiation
- http://www.mos
Semakan Akhir | : | 23 Mac 2017 |
Penulis | : | Rubiah binti Mohd Pakeh |
Akreditor | : | Nafisah binti Hamid |