Pengenalan
Penyebab utama penyakit gusi ialah bakteria dalam bentuk lekitan dan pembentukan plak tidak berwarna yang sering terdapat pada leher gigi. Walau bagaimanapun terdapat juga faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi atau menyumbang kejadian penyakit gusi.
Tanda dan Gejala Penyakit Gusi
Penyakit Gusi bermula dengan sedikit keradangan pada gusi dan melarat hingga merosakkan tisu lembut dan tulang yang menyokong gigi. Keadaan ini jika dibiarkan boleh menyebabkan kehilangan gigi.
Gingivitis (Radang Gusi)
Penimbunan plak dan kalkulus membahayakan. Bakteria menyebabkan keradangan gusi yang dinamakan gingivitis di mana gusi menjadi merah, bengkak dan mudah berdarah.
Periodontitis
Jika gingivitis tidak dirawat, periodontitis akan terjadi. Periodontitis menyebabkan gusi tertarik menjauhi leher gigi dan membentuk poket yang terinfeksi. Toksin yang dihasilkan oleh bakteria boleh memusnahkan tulang dan tisu penghubung yang berfungsi sebagai tapak pemegang gigi.
Komplikasi Penyakit Gusi
Jika tidak dirawat tulang, gusi dan tisu berhampiran yang menyokong gigi akan musnah. Gigi mungkin menjadi longgar dan perlu dicabut.
Rawatan
Tujuan utama rawatan penyakit gusi adalah mencegah berlakunya jangkitan. Terdapat pelbagai jenis rawatan mengikut keparahan penyakit gusi tersebut. Semua rawatan memerlukan penjagaan yang baik di rumah oleh pesakit. Selain itu, cara hidup juga perlu diubah seperti menghentikan penggunaan tembakau untuk membantu proses pemulihan.
Gingivitis merupakan penyakit gusi yang kurang serius. Gingivitis boleh berbalik dan biasanya ia dapat disembuhkan dengan pemberusan setiap hari, mengguna flos serta pembersihan secara berkala oleh doktor pergigian. Penyakit gusi jenis ini tidak mengakibatkan kehilangan gigi atau tisu yang memegang gigi.
Selepas penskaleran, kebanyakan pesakit tidak memerlukan rawatan aktif selanjutnya. Walau bagaimanapun, majoriti pesakit akan memerlukan terapi yang berterusan untuk mengekalkan kesihatan gusi.
Pembedahan akan dilakukan apabila tahap kesihatan periodontium yang baik tidak dicapai.
- Rawatan periodontal tanpa pembedahan, termasuk penskaleran dan ‘root planing’ (suatu cara membersih permukaan akar untuk membuang plak dan kalkulus dari poket periodontal dan melicinkan akar gigi). Pembedahan ini diikuti dengan rawatan tambahan seperti anti microbials yang diperlukan dalam kes-kes biasa.
- Terdapat beberapa pembedahan untuk penyakit periodontium termasuk:
- Pembersihan terbuka – kalkulus dibuang dari permukaan akar gigi di dalam poket.
- Grafting tulang – tulang pesakit atau tulang tiruan diletakkan dalam kawasan yang terlibat (contoh: kawasan kehilangan tulang).
- Regenerasi Tisu Terkawal – Membran diletakkan di antara tulang dan gusi untuk menggalakkan pertumbuhan tisu periodontium.
Apakah peranan anda sebagai pesakit yang sedang menerima rawatan?
Keberkesanan rawatan bergantung pada keupayaan anda untuk mengekalkan kesihatan mulut yang baik di rumah. Ikut arahan Pakar/ doktor pergigian dan patuhi temu janji anda.
Hal ini penting terutamanya selepas pembedahan. Anda perlu ikut arahan doktor (contoh: pengambilan ubat seperti analgesia dan antibiotik jika diberi) dan beritahu jika terdapat sebarang masalah (contoh: terdapat bahagian yang bengkak atau demam).
Semakan Akhir | : | 20 April 2012 |
Penulis | : | Dr. Uma Subramaniam |