Pengenalan
Kajian Kesihatan Pergigian Murid-murid Sekolah Peringkat Kebangsaan 1997 (NOHSS 1997) mendapati, permukaan mengunyah (occlusal) gigi adalah empat kali ganda lebih berpotensi untuk mendapat kerosakan gigi berbanding permukaan gigi yang licin .
Apa itu Selan Fisur?
Selan Fisur merupakan suatu bahan plastik khas, digunakan oleh doktor pergigian untuk menutup lubang-lubang kecil (pits) dan alur yang dalam (fissures) pada permukaan mengunyah gigi geraham (molar). Lapisan ini mencegah pengumpulan bakteria dan makanan di permukaan gigi tersebut.
Mengapa Rawatan Selan Fisur diperlukan?
Kerosakan gigi-gigi yang beralur dalam dapat dicegah jika rawatan selan fisur dilakukan sekali dengan penjagaan kesihatan pergigian yang baik dan diet yang sihat.
Siapa yang Memerlukan Selan Fisur?
Kanak-kanak yang mempunyai:
- kerosakan pada gigi susu.
- Kerosakan gigi melibatkan sebatang atau lebih gigi molar kekal pertama dan kedua.
Kanak-kanak dengan:
- Keperluan khas; contoh: kanak-kanak istimewa, masalah perubatan dan taraf sosial rendah.
- Kerosakan gigi yang teruk semasa kegigian campuran (gigi susu dan gigi kekal).
Bila Rawatan Selan Fisur dilakukan?
Rawatan ini dilakukan ke atas gigi beralur dalam yang telah tumbuh sepenuhnya bagi memudahkan kawalan lembapan.
Bagaimana Rawatan ini Dilakukan?
Gigi dibersihkan dan dikering sebelum rawatan selan dilakukan. Bahan selan disapu ke atas permukaan gigi tersebut untuk menutupi alur dalam dan lubang-lubang kecil (pits). Gigi dilindungi sepenuhnya apabila selan keras.
Adakah Ianya Menyakitkan?
Rawatan selan adalah mudah dan tidak menyakitkan. Struktur gigi yang sihat tidak perlu dipotong (buang).
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar |
Penterjemah | : | Dr. Muhammad Farid b. Nurdin |
Penyemak | : | Dr. Roshima bt. Mohd Sharif |